Oleh Khalid Samad
Beberapa hari yang lalu telah saya bahas dari
sudut ijtihad atau keputusan strategi. Hari ini saya ingin bahas dari sudut yang lebih berat iaitu akhlak jamaah Islam.
Untuk membahas dari sudut akhlak jamaah Islam, satu persoalan utama perlu dijawab terlebih dahulu.
Persoalan ini ialah samada
wakil rasmi PAS dalam mesyuarat perundingan kerusi
di peringkat PR
Pusat telah memberi persetujuan untuk menerima Dr. Nasir sekiranya
beliau diturunkan sebagai calon PKR atau sebaliknya? Sekiranya
persetujuan telah diberi oleh
wakil rasmi PAS di
mesyuarat tersebut, maka walau apa pun alasan yang diberi oleh kawasan
dan cawangan-cawangan, tindakan PAS bertanding adalah salah dari segi
akhlak jamaah Islam.
Sekiranya ianya tidak dibincang
dan wakil PAS di mesyuarat perundingan kerusi PR Pusat telah dengan
jelas menyatakan bahawa walau apa pun, calon PSM tidak boleh diterima,
maka tindakan PKR meletak Dr. Nasir sememangnya menempah masalah.
Sememangnya setiap kerusi dibincang dan diputuskan di mesyuarat PR
Pusat. Bukan untuk Kota Damansara sahaja tetapi untuk semua kerusi yang
ditandingi. Setiap kerusi dibincang dan diagihkan di antara parti yang
terlibat berdasarkan maklumat dari Negeri yang telah diambil dari
kawasan. Oleh kerana PAS tiada pertindihan kerusi dengan DAP maka
biasanya PAS akan berunding dengan PKR sambil PKR pula akan berunding
dengan DAP berhubung kerusi majoriti bukan Melayu.
Dalam soal
KD ianya telah ditandingi oleh PKR pada tahun 2008 dan Dr. Nasir
jugalah calon yang diturunkan oleh PKR. PKR menurunkan Dr. Nasir
sebagai calonnya di Kota Damansara pada 2008 dengan persetujuan
mesyuarat PR dan beliau telah menang. Semua yang terlibat dengan
mesyuarat PR mengetahui bahawa Dr. Nasir adalah dari parti PSRM pada
asalnya tetapi keluar PSRM apabila PSRM disatukan dengan PKR. Dr. Nasir
dan beberapa rakannya kemudiannya berusaha untuk mendaftarkan ‘PSM’
sejak sebelum 2008 lagi. Tanpa adanya parti sendiri maka mereka
bersetuju untuk bertanding dengan menggunakan lambang PKR. PKR pun
bersetuju untuk mengelak berlakunya 3 penjuru dan mesyuarat PR
meluluskannya.
Pada 2013 PSM telah didaftarkan. Maka pada
ketika itu mereka ingin bertanding atas lambang PSM. Perkara ini,
sefaham saya, telah dibawa ke mesyuarat PR.
Keputusan mesyuarat
PR pada ketika itu ialah sekiranya mereka bertanding atas lambang PKR
maka status quo akan kekal dan mereka akan diterima sebagai calon PKR
dan dengan itu calon PR. Dan ini dipersetujui oleh wakil PAS di dalam mesyuarat tersebut yang turut menegaskan supaya elak pertandingan 3 penjuru.
Sebaliknya,
sekiranya mereka bertanding atas lambang PSM maka mereka tidak
mewakili PR. Dalam keadaan itu PKR akan bertanding juga walaupun
berlaku 3 penjuru! Yang akan bertanding melawan PSM pada ketika itu adalah
PKR bukan PAS! PAS tiada kena-mengena dengan kerusi tersebut kerana ianya kerusi PKR. Itu yang dipersetujui oleh wakil rasmi PAS.
Berbekalkan keputusan ini maka PKR berusaha memujuk ahli PSM untuk
bertanding atas lambang PKR seperti pada 2008. Ini adalah untuk mengelak
dari berlakunya 3 penjuru yang mungkin akan menyebabkan PKR dan PR
kehilangan kerusi berkenaan. Calon PSM untuk DUN Semenyih yang
bertanding atas lambang PKR pada tahun 2008 telah menolak tawaran
tersebut. Maka PSM turun sebagai calon PSM dan oleh itu berlakulah 3
penjuru di antara PKR, PSM dan BN di Semenyih. PKR bertanding walaupun 3
penjuru adalah
sepertimana yang diputuskan dan dipersetujui dalam mesyuarat PR. Hasilnya BN menang di Semenyih dan PSM dianggap membantu BN untuk mencapai kemenangan.
Di Kota Damansara, PKR berjaya memujuk Dr. Nasir untuk bertanding
dengan lambang PKR. PKR mengarahkan bakal calon PKR sendiri, iaitu Sdr
Razlan Jalaluddin seorang peguam untuk menarik diri dan beri laluan
kepada Dr. Nasir. Sdr Razlan akur dengan keputusan tersebut dan menarik
diri.
Dr. Nasir seterusnya diturunkan sebagai calon PKR.
PKR yakin keadaan 3 penjuru telah dielak dan terkejut apabila didapati
PAS menurunkan calonnya untuk Kota Damansara pada pagi penamaan calon!
Pada ketika itu, dan biarlah kita bercakap ikhlas dalam soal ini,
jangan berputar-belit macam Yahudi,
PAS turunkan calon menentang calon PKR bukan calon PSM!
Wakil rasmi PAS dalam mesyuarat PR Pusat telah dihubungi. Beliau berada
di Sabah dan tidak ketahuan apa dan mengapa perkara tersebut berlaku.
Setelah dimaklumkan, beberapa hari kemudian, beliau telah turun dari
Sabah ke Kota Damansara untuk mengisytiharkan Dr. Nasir sebagai calon
rasmi PR! Malangnya ahli PAS Kota Damansara menolak pendirian beliau
sedangkan
beliau adalah wakil rasmi PAS dalam soal perundingan kerusi!
Apa yang ditulis di atas adalah apa yang saya dimaklumkan oleh wakil
rasmi PAS ke mesyuarat perundingan kerusi PR Pusat, iaitu Setiausaha
Agung PAS, Dato Mustaffa Ali. Sekiranya apa yang diceritakan adalah
benar, maka amat jelas PAS telah mungkiri janji.
Sekiranya
begitu maka amat sangat malanglah keadaannya, lebih lebih lagi
sekiranya PAS ingin terus menafikan bahawa PAS telah melakukan
kesalahan dengan melanggar apa yang telah dipersetujui bersama. Soal
perjanjian dan berpegang kepadanya adalah sesuatu yang amat dipentingkan
oleh Islam. Oleh itu tindakan melanggar janji adalah satu tindakan
yang tidak boleh dibenarkan dan didiamkan. Allah berfirman di dalam
Al-Quran:
“Dan janganlah kamu jadikan
perjanjian yang kamu sertai di antara kamu (sebagai bahan mainan). Akan
tergelincir kaki setelah berdiri teguh. Dan akan kamu dilemparkan
dengan kehinaan kerana kamu menjadi penghalang kepada jalan Allah
(dengan perangai buruk kamu) dan di akhirat akan kamu menerima azab
yang dahsyat.”
(An-Nahl 94)
Tindakan langgar perjanjian di dalam ayat ini di samakan Allah dengan
tindakan menghalang manusia dari jalan Allah! Kerana dilihat oleh mereka
bahawa orang Islam tidak berpegang pada janji. Maka mereka memandang
hina terhadap orang Islam dan dengan itu menjadi punca mereka menjauhkan
diri dari jalan Allah. Fikir-fikirkanlah. Tindakan tersebut sebagai
sebuah ‘Parti Islam’ mempunyai implikasi luas dan terus terhadap
tanggapan manusia mengenai Islam itu sendiri.
Untuk makluman,
di peringkat Negeri Selangor, soal PAS bertanding di kerusi Kota
Damansara tidak pernah timbul walau dalam apa-apa perbincangan. PAS
Negeri dan Kawasan telah bersetuju bahawa kerusi itu adalah milik PKR
dan PAS tidak akan bertanding di situ! PAS Kawasan Subang, iaitu
kawasan di mana terdapat DUN Kota Damansara, bertemu berkali-kali
dengan PAS Negeri tetapi hanya untuk berbincang persoalan calon Paya
Jaras SAHAJA! Pendirian Negeri inilah yang diulangi di peringkat Pusat.
Adalah merupakan kebiasaan bahawa janji dan persetujuan yang dibuat oleh
wakil rasmi
sesebuah pertubuhan adalah merupakan janji dan persetujuan pertubuhan
tersebut. Sekiranya PAS mempunyai tanggapan berbeza, di mana janji dan
persetujuan wakil rasmi yang diberi mandat untuk mewakili PAS di dalam
sesuatu perbincangan tidak mengikat PAS, maka perlu diberitahu pada
semua dari awal. Dalam ertikata lain, PAS perlu beritahu bahawa wakil
PAS boleh berjanji tetapi janji dan persetujuan itu boleh dibatalkan dan
dilanggar pada bila-bila masa mengikut keseuaian tempat dan keadaan
semasa.
Saya minta pendirian jelas dikeluarkan yang mengatakan
begitu sekiranya benar itulah sikap PAS terhadap janji dan persetujuan
yang diberi. TETAPI ketahuilah, sekiranya itulah sikap PAS maka tiada
siapa akan membuat perjanjian dengan PAS kerana janji tersebut tidak
bermakna!
Dalam soal ini hujjah ‘ijtihad pemimpin’ tidak boleh
diguna-pakai. Kerana pemimpin tidak boleh berijtihad untuk melanggar
perjanjian dan persetujuan yang telah dicapai sebelumnya dengan begitu
sahaja. Untuk makluman di antara matlamat utama PR ialah untuk
menentukan satu lawan satu menentang BN. PAS telah beri komitmennya
untuk mengukuhkan PR. Tindakan bertanding di Kota Damansara bercanggah
dengan apa yang dijanji dan dipersetujui.
عَÙ†ْ عَائِØ´َØ©َ رضي الله عنها Ù‚َالَتْ : Ù‚َالَ رَسُولُ اللَّÙ‡ِ صلى الله عليه وسلم :
" Ø¥ِذَا Ø£َرَادَ اللَّÙ‡ُ بِالأَÙ…ِيرِ Ø®َÙŠْراً ، جَعَÙ„َ Ù„َÙ‡ُ Ùˆَزِيرَ
صِدْÙ‚ٍ ، Ø¥ِÙ†ْ Ù†َسِÙŠَ ذَÙƒَّرَÙ‡ُ ، ÙˆَØ¥ِÙ†ْ ذَÙƒَرَ Ø£َعَانَÙ‡ُ ، ÙˆَØ¥ِذَا
Ø£َرَادَ اللَّÙ‡ُ بِÙ‡ِ غَÙŠْرَ ذَÙ„ِÙƒَ ، جَعَÙ„َ Ù„َÙ‡ُ Ùˆَزِيرَ سُوءٍ ، Ø¥ِÙ†ْ
Ù†َسِÙŠَ Ù„َÙ…ْ ÙŠُذَÙƒِّرْÙ‡ُ ، ÙˆَØ¥ِÙ†ْ ذَÙƒَرَ Ù„َÙ…ْ ÙŠُعِÙ†ْÙ‡ُ "
[ رواه أبو داود والنسائي ] .
Dari Ayesyah (RA): Telah berkata Rasulullah (SAW):-
Sekiranya
Allah inginkan kebaikan bagi seseorang pemimpin, akan diadakan
untuknya wazir yang bersifat benar. Sekiranya dia lupa akan
diingatkannya dan sekiranya dia ingat akan dibantunya. Sekiranya
diinginkan Allah sebaliknya, maka diadakan untuknya wazir yang jahat.
Sekiranya dia lupa tidak diingatkannya dan sekiranya dia ingat, tidak
dibantunya.
(Riwayat Abu Daud dan An-Nasaii)
Biarlah ahli PAS menjadi sebagai wazir yang Siddiq yang membantu kearah
pengukuhan PR sepertimana yang diinginkan PAS. Maka apabila pimpinan
lupa, sama-sama kita ingatkan dan apabila pimpinan ingat dan berusaha
keras untuknya, sama-sama kita bantu.
Maka sekali lagi saya nyatakan,
sekiranya persetujuan telah diberi oleh wakil rasmi PAS dalam
mesyuarat PR bahawa PAS tidak akan bertanding di Kota Damansara
apabila PKR menurunkan calon, walaupun calon itu adalah Dr. Nasir, maka
tindakan PAS bertanding di Kota Damansara adalah salah, bercanggah
dengan akhlak jamaah Islam dan menjatuhkan imej PAS dan Islam dikhalayak
ramai.
Saksikan ya Allah bahawa saya telah tunaikan tanggung jawab saya kepada pimpinan saya!
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD