Sabtu, 1 Jun 2013

Fail Petisyen: BN sendiri tak percaya SPR – Saifuddin

Oleh: Mohd Arif Juhaini

KUALA LUMPUR : Tindakan Barisan Nasional (BN) untuk memfailkan lebih 50 petisyen di kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukti parti itu sendiri tidak percaya kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin

Secara tidak langsung, ujarnya, tindakan Umno BN itu ibarat ‘meludah ke langit’ kerana mereka sebelum ini bersungguh-sungguh mempertahankan ketelusan SPR.

“Tetapi sekarang, Umno BN pun tidak percayakan kepada SPR. SPR harus ingat inilah padahnya apabila cuba mengkhianati amanah yang rakyat berikan untuk menikmati proses demokrasi pilihan raya yang bersih dan adil,” ujarnya ketika dihubungi.

Beliau berkata, tindakan itu juga mengesahkan dakwaan Pakatan Rakyat bahawa memang wujud kelemahan dan kecurangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

“Ini beban baru SPR yang perlu mereka jawab selepas Pakatan berjaya membuktikan segala kecurangan yang wujud dalam pelbagai segi, seperti senarai daftar pemilih, isu dakwat kekal, blackout semasa pengiraan undi dan sebagainya,” ujar Saifuddin.

Tegasnya, mana-mana parti politik hanya akan memfailkan petisyen selepas meragui keputusan pilihan raya yang dikendalikan badan seperti SPR.

“Jadi tindakan Umno BN ini akan memalukan SPR sebagai badan bertanggungjawab yang  sebelum ini kerap kali mendakwa melaksanakan amanah dengan telus dan adil baik sebelum, semasa dan selepas pilihan raya,”.

“Kalau sebelum ini, SPR sekadar mencuci tangan sahaja dengan memberikan pelbagai alasan dangkal apabila Pakatan kemukakan bukti kecurangan, sekarang mereka tidak boleh ambil ringan lagi bukti yang rakyat berikan,” katanya.

PKR gesa PM jawab isu tahanan mati dalam lokap

Wartawan Sinar Harian

PKR gesa PM jawab isu tahanan mati dalam lokap
N.Surendran menunjukkan gambar kesan lebam badan Dhamendran yang mati dipukul dalam tahanan polis, di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. Foto: Sinar Harian Online-Nizam Zain
 
PETALING JAYA - PKR menggesa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi penjelasan berhubung kematian Dhamendran yang dipercayai mati dibunuh akibat dipukul ketika dalam tahanan polis.

Naib Presiden PKR, N.Surendran mendakwa laporan bedah siasat dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur mendedahkan tubuh mangsa mempunyai banyak kesan lebam di seluruh badan dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

"Kami mahu Perdana Menteri menjelaskan bagaimana Dhamedran boleh mati dalam tahanan polis walhal mangsa hanyalah suspek.

"Laporan bedah siasat dari hospital kerajaan adalah bukti kukuh dan jangan kata mangsa mati disebabkan masalah kesihatan kerana perkara itu disahkan doktor patologi yang membuat bedah siasat itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Najib: Kawal selia, fungsi SPR bakal dipindah ke satu jawatankuasa khas

SINAR HARIAN

Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan untuk memindahkan fungsi dan kawal selia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang sebagai langkah memperkukuhkan kewibawaan serta kredibiliti badan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan langkah ini, diharap kebebasan SPR tidak dipersoal lagi dan keyakinan rakyat terhadap SPR akan dapat diperkukuhkan.
 
"Kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada SPR untuk menambah baik wibawa perjalanan pilihan raya di negara ini walaupun pilihan raya umum ke-13 (PRU13) telah berlangsung dengan baik dan lancar.

"Janganlah kerana kepentingan diri dan kelompok tertentu, ada pihak cuba merosakkan kebolehpercayaan institusi itu dengan melempar pelbagai persepsi liar.
 
"SPR bukanlah sebuah agensi atau jabatan kerajaan, sebaliknya sebuah mekanisme yang ditubuh berasaskan peruntukan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan anggotanya mendapat perlindungan jawatan yang sama dengan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan," katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena hari keputeraan Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana Negara.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan berangkat menghadiri majlis itu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet.

Tambah Najib,selesainya proses pilihan raya bermakna penerusan kembali pelayaran bahtera negara untuk tempoh lima tahun akan datang menuju matlamat wawasan kebangsaaan.

"Dalam tempoh itu kita akan menamatkan Rancangan Malaysia (RMK) ke-10 dan memulakan RMK ke-11, rancangan pembangunan lima tahun terakhir sebelum tercapainya Wawasan 2020 yang akan menyaksikan Malaysia, dengan izin ALLAH SWT, menyertai kelab negara berpendapatan tinggi dunia," katanya.

Najib turut melaporkan kepada Tuanku Abdul Halim bahawa buat kali ke-13 sejak merdeka, Malaysia berjaya menyelesaikan secara aman dan tertib pilihan raya umum bagi memilih wakil rakyat, seterusnya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan 12 negeri mengikut lunas-lunas yang digariskan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara.
 
"Patik ingin menjunjung kasih di atas perkenan kepercayaan Tuanku melantik patik selaku Perdana Menteri Malaysia selaras dengan mandat yang telah diberikan rakyat di bawah sistem raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.
 
"Amanah ini akan patik dan rakan-rakan jemaah menteri serta anggota pentadbiran lain lunaskan dengan penuh keinsafan bagi membawa rakyat dan negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan dengan bimbingan Tuanku dan izin ALLAH SWT," kata Najib. - Bernama

Anggota Rakan Cop, URB ditambah tangani jenayah

SINAR HARIAN
Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
 
KAJANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhasrat menambah keanggotaan Rakan Cop dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu menangani masalah jenayah dalam negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu secara tidak langsung akan membantu mempercepatkan laporan mengenai sesuatu kejadian jenayah.

"Siasatan mengambil masa kerana ia antara lain, tertakhluk kepada kerjasama orang ramai kerana polis perlukan maklumat tambahan bagi melakukan tangkapan...ia memerlukan tindakan cepat masyarakat.

"Oleh sebab itu, saya dan timbalan menteri berhasrat memperbesarkan lagi Rakan Cop, agar mereka dapat membantu bagi maklumat segera," katanya pada sidang media di ibu pejabat Jabatan Penjara Kajang, semalam.

Terdahulu, Ahmad Zahid bersama timbalannya, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar melawat Kompleks Penjara Kajang diiringi Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Ahmad Zahid berkata, rondaan bersama, URB dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan diadakan dengan lebih kerap berbanding secara berskala sekarang.

Selain itu, beliau berkata lokasi kerap berlaku jenayah berulang juga akan dipantau dan dikaji secara terperinci dan akan dimasukkan ke senarai lokasi 'hotspot' sedia ada, sekiranya perlu.

Latihan khas juga akan diberikan kepada badan-badan di bawah kementerian seperti Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia bagi memotivasi mereka membantu anggota polis mencegah jenayah. - Bernama

Pemilihan Umno: Najib sedia dicabar

HASLINA KAMALUDIN

Najib sedia dicabar
Najib (kanan) bersama Muhyiddin pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn di sini, semalam.
 
KUALA LUMPUR - Pemilihan pucuk pimpinan Majlis Tertinggi Umno akan dibuat pada tahun ini.

Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Menurutnya, sebagai parti demokrasi, beliau bersifat terbuka jika ada yang ingin bertanding jawatan presiden.

“Kita bukan macam parti lain. Kita terima jika ada yang mahu bertanding,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat tersebut.

Selain itu, satu jawatankuasa khas juga akan ditubuhkan untuk turun padang ke negeri-negeri bagi mendapatkan respons ahli parti sebelum pemilihan dibuat.

“Ia akan diketuai Tan Sri Tajol Rosli Mohamed Ghazali. Pasukan ini akan mendapatkan respons ahli mengenai perlembagaan baru parti yang akan digunakan penggal baru nanti.

“Perlembagaan baru parti sudah dibuat tiga tahun lalu dan akan dilaksanakan pada penggal baru ini.

“Selepas itu, barulah mesyuarat bahagian dibuat seterusnya perhimpunan agung. Semuanya akan dibuat dalam tahun ini dan akan bermula 15 Julai depan,” katanya.

 Menurut beliau, pemilihan pucuk pimpinan akan dibuka tetapi tidak kepada sayap seperti Pemuda, Puteri dan Wanita.

“Untuk pucuk sahaja, sudah ada lebih 150,000 ahli, jika nak disekalikan dengan sayap, pasti sukar.

“Keputusan juga harus dibuat dalam masa sehari itu nanti. Cuma mekanisme pemilihan itu masih belum diputuskan sama ada menggunakan biometrik, angkat tangan atau lain-lain kaedah,” katanya.

Najib turut berharap Umno akan terus kekalkan momentum sekarang memandangkan parti itu sudah mendapat kepercayaan rakyat pada PRU13 lalu.

Najib berkata ini terbukti dengan kejayaan Umno menambah bilangan kerusi Parlimen daripada 79 pada PRU12 tahun 2008 kepada 88 pada pilihan raya kali ini.

“Jika dibandingkan dengan pembangkang, mereka mempunyai 89 buah kerusi, bererti Umno sebagai parti tunggal boleh menyamai gabungan parti pembangkang yang terdiri daripada tiga parti tersebut (DAP, PKR dan Pas),” katanya.

Najib berkata prestasi Umno juga diukur berdasarkan kejayaan merampas kembali Kedah dan Perak berserta bilangan undi yang diperolehi yang semakin bertambah.

“Mengikut kajian kita, lebih kurang 30 peratus peningkatan undi diberikan kepada Umno berbanding tahun 2008, katanya.

Justeru,  Najib berkata Umno akan terus berjuang dengan memantapkan gerak kerjanya melalui beberapa penambahbaikan pentadbiran di peringkat ibu pejabat seperti dicadangkan oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan.

Beliau berkata antara penambahbaikan tersebut ialah mewujudkan beberapa bidang pengkhususan sepenuh masa seperti penyelidikan dan latihan, media sosial dan bidang penerangan.

Beliau berkata penyusunan semula perlu bagi memastikan usaha, mesej dan segala keputusan daripada Majlis Tertinggi itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Bersabarlah Dr Khir

Budiman Abdul Karim,


Antara berita yang menarik hari ini ialah keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada tahun 2011 terhadap bekas Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo.

Dr Khir yang hadir ke Mahkamah Rayuan dengan harapan yang tinggi kerana percaya beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan rasuah mahu pun pecah amanah, tetapi berpendapat bahawa beliau dikambinghitamkan atas sebab-sebab tertentu.

Bagi saya soal beliau bersalah atau tidak bukan isunya di sini, tetapi yang saya ingin lontarkan ialah kami pendokong Pakatan Rakyat telah lama menjadi “kambing panggang” oleh Umno-BN. Sejak sekian lama kami tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya dalam apa-apa juga kes dan keadaan. Jika ada pun, sekadar untuk berlakon seoalah-olah kerajaan juga berlaku adil.

Kami bukan sahaja menjadi “kambing panggang” di mahkamah, malah dalam media, urusan kerajaan pusat – kerajaan negeri, peruntukan wakil rakyat dan banyak lagi. Yang Dr Khir lalui hari ini hanyalah beberapa peratus berbanding keperitan yang kami lalui.

Moga perisiwa ini ada hikmah di sebaliknya. Bersabarlah jika berasa anda teraniaya dan jika anda benar-benar bersalah jadikanlah sebagai kafarah atas kesalahan yang dibuat.

Penduduk demo, banjir berminggu tidak surut

Khairil Abdul Rahim,




TEMERLOH: Kira-kira 100 penduduk Kampung Batu Satu  di sini berdemo hari ini memprotes sikap ‘lepas tangan’ pihak berkuasa sehingga gagal menyelesaikan masalah banjir yang memakan masa lama.

Akibatnya banjir yang tidak surut-surut sejak beberapa minggu itu menenggelamkan beberapa buah restoran, bengkel, kedai menjual kereta terpakai serta beberapa buah rumah penduduk.

Lebih malang, puluhan buah rumah penduduk di kampung yang terletak hanya satu kilometer dari pusat bandar itu terputus hubungan kerana banjir menenggelamkan hubungan jalan utama.

Pemilik restoran Shakira Cafe, Izuddin Nawawi, 57, mendakwa beliau hampir dua bulan tidak dapat berniaga akibat kedainya ditenggelami air sedangkan itulah satu-satunya sumber pendapatan keluarganya.

Katanya, beliau sudah bertemu Pegawai Daerah  Temerloh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dan pelbagai agensi yang terlibat tetapi bagi mendapatkan penjelasan, tetapi semuanya mengecewakan kerana seolah-olah saling tuduh menuduh.

“Ada juga saya cadangkan supaya dibina saliran air yang besar antara satu perumahan dengan perumahan yang lain kerana kawasan bandar Temerloh ini banyak kawasan perumahan tetapi seolah-olah pembangunannya tidak terancang.

“Sekarang sumber pendapatan saya sudah terputus sejak sekian lama, sedangkan kami sekeluarga masih memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan,” katanya sayu.

Tambah Izuddin, jika pihak berkenaan 'tidur', itulah jadinya dengan wang rakyat banyak yang dikeluarkan tetapi masalah penduduk kampung di sini tidak juga selesai.

“Mana janji rakyat didahulukan pencapaian diutamakan serta NKRA yang sering diulang-ulang pemimpin kerajaan?” soalnya.

Menurut penduduk, mereka sering kali terpaksa meredah banjir selama betahun-tahun sejak penaikan taraf jalan Temerloh-Mentakab terutama apabila hujan lebat kerana satu-satunya kalbat yang mengalirkan air persekitaran kawasan berkenaan didakwa sangat kecil dan tidak munasabah.

Difahamkan, kalbat besar tidak dapat digunakan kerana terdapat saluran paip besar bawah tanah di tempat yang sama.

Pada ketika ini kerja pengorekan serta pemasangan kalbat oleh kontraktor tidak siap-siap sejak hampir dua bulan iaitu sebelum pilihan raya umum lagi.

Seorang lagi pemilik kedai makan Restoran Setia Damai, Mulyadi Parmen, 42, (gambar) berkata walaupun kedainya tidak ampuh tetapi turut menjejaskan pendapatan kerana air banjir yang berhampiran berbau busuk dan mengundang banyak lalat.

“Saya lihat projek memasang kalbat menyeberang jalan ini sudah terlalu lama memakan masa dan tidak pernah selesai, sebab itu saya cadangkan supaya digunakan kalbat yang besar saja. Walaupun kosnya mungkin tinggi sikit tetapi penyelesaiannya besifat jangka panjang.

“Saya mahu projek ini mesti diselesaikan segera, kalau setakat korek-korek begini hingga bertahun-tahunpun  tetap tak boleh selesaikan masalah dan jejaskan perhubungan penduduk serta pendapatan kami,” tegasnya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Muhamad, yang turut hadir berkata beliau telah beberapa kali membangkitkan masalah berkenaan dalam sidang Dun.

Katanya, perkara tersebut berlaku kerana pembangunan yang tidak terancang dan tidak ada ‘master plan’ disediakan.

Rakyat Selangor mencipta sejarah



Oleh Faekah Husin

Saya terasa teringin untuk menulis sesuatu hari ini. Agak lama tidak menyatakan pandangan, mungkin kerana terpaksa menahan diri dari melakukannya kerana ada tugas penting yang perlu diselesaikan tanpa memberi peluang kepada mana-mana pihak mentelaah secara negatif.  

Semalam setelah semuanya selesai maka sementara duduk di rumah elok dituliskan sesuatu agar mampu memberi sedikit pencerahan.

Ramai melihat agenda melantik Menteri Besar di Selangor dan barisan Exco dengan kanta pandang dekat; seramai mungkin yang mahu memberi pandangan walaupun dalam banyak masa mereka tidak mempunyai sebarang maklumat tepat untuk membuat komen.

Maka wujudlah beberapa siri perbincangan panas antaranya Istana campurtangan dalam pemilihan Exco, politik kuno berpaksikan kaum, politik order lama yang tidak sensitif gender dan bermacam lagi.

Bila ada ura-ura kononnya istana atau lebih khusus lagi DYMM Sultan cuba memberi nasihat dan pandangan dalam pelantikan Exco maka terus sahaja kita membuat kesimpulan bahawa Tuanku mahu campurtangan dalam pentadbiran negeri, baginda seorang yang rasis dan hanya memihak kepada orang Melayu.

Tidak sedikit yang menyatakan rasa marah dan tersinggung serta kesedihan mereka dengan berita tersebut.

Ramai kita terlupa bahawa politik Pakatan Rakyat yang kita bawa adalah politik baru dengan semangat politik inklusif, yakni ruang bersuara dan memberi pandangan terbuka luas kepada semua pihak dan saya berpandangan ianya tidak terkecuali kepada pihak istana.

Lebih malang apabila timbul cerita bahawa pihak istana mahu formula 6:4 (Melayu: Bukan Melayu) digunapakai dan isu kaum terus dimainkan tanpa cuba melihat mungkin ada sudut lain yang lebih positif dan membina yang boleh dilihat.

Bila kita lihat keputusan 15:15:14 PAS DAP dan Keadilan, ini bermakna keputusan tersebut telah melonjakkan kerusi PAS yang dahulunya hanya 8 kepada 15 kerusi.

Sedar atau tidak dengan lonjakan tersebut telah sekaligus membenamkan tohmahan Umno-Najib bahawa PRU13 adalah Tsunami Cina hingga membawa kepada keceluparan melampau apabila mereka mengatakan “Apa lagi Cina mahu”.

Kawasan majoriti Melayu di Sepang dan Sabak yang dimenangi oleh PAS telah memusnahkan ego Datuk Seri Najib Razak dan kuncu utamanya Datuk Seri Ir Md Zin.

Justeru, dengan memperolehi 15 kerusi amat wajar PAS diberikan penghargaan kerana bukan sahaja memang mereka telah melonjakkan kerusi PR hingga mendapat 3/4 majoriti di dalam Dewan malahan telah menafikan jolokan Tsunami Cina yang cuba dimainkan oleh Umno.

Ianya saya lihat telah menggagalkan usaha Umno untuk memalukan masyarakat Melayu di Selangor hingga boleh mewujudkan ketegangan kaum.

Saya berpendapat inilah yang cuba dibayangkan oleh Tuanku semasa membuat keputusan untuk tetap memberi pandangan kepada MB bahawa rayuan MB di saat akhir dengan tujuan memberi 4 kerusi Exco kepada DAP tidak boleh dirai.

Namun, benar percakapan umum bahawa politik terbaca atas persepsi dan bukan dari niat sebenar. Maka persepsi menggambarkan Tuanku seperti anti Cina dan hanya mementingkan politik orang Melayu.

Bagaimana hari ini? Setelah melihat Pentadbiran PR Selangor dengan berani mencipta sejarah melantik YB Hannah Yeoh sebagai Speaker lantas menjadi Wanita (Cina) pertama yang menduduki kerusi tersebut adakah persepsi di atas masih terpakai?

Terbukti hari ini politik Selangor telah menjangkau ke hadapan — meninggalkan politik rasis dan gender ke belakang.

Tidak terfikirkah kita bahawa DYMM Tuanku juga memainkan peranan besar di dalam sejarah yang kita cipta ini?

Sejarah mampu dicipta di Selangor ekoran dari proses konsultasi, tawar menawar, tikaman lidah hingga mewujudkan kerjasama erat dan kebijaksanaan Menteri Besar, pemimpin Pakatan Rakyat hatta dari keperihatinan DYMM Tuanku sendiri.

Sebenarnya saya tidak hadir pada Majlis Angkat Sumpah Exco yang penuh istidat dan bersejarah semalam kerana khuatir kokokan batuk yang saya alami sejak PRU dahulu akan mengganggu keharmonian upacara.

Meskipun saya dijemput sendiri oleh Dato Pengelola Istana tapi saya terpaksa menolaknya walau dengan hati yang berat.

Biarlah acara gemilang berlangsung cemerlang tanpa ada bunyi atau suara sumbang-garau yang mencemar majlis.

Cukup sekadar menyediakan teks Sembah Ucapan Dato Menteri Besar kepada Tuanku menjadikan saya seolah-olah berada di sana merai hari bahagia rakyat Selangor.

Memandangkan saya ada kelapangan berada di rumah, saya mengambil kesempatan membuat catatan ini dengan hasrat mahu mengimbangi keghairahan kita memberi pendapat dengan harapan dapat mengecapi politik ideal.

Ghairah mengketengahkan harapan agar tiada campurtangan istana dalam pentadbiran negeri.
Harapan agar politik tidak diukur dengan ras dan kaum. Harapan agar politik kita terkeluar dari kekangan gender. Saya akui semua harapan itu memang baik dan ideal; tidak keterlaluan jika saya katakana itulah suasana politik yang didambakan oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Namun pada saya, apa yang lebih penting ialah natijah dan hasil dari proses yang kita ambil dalam berpolitik.

Maksud saya, apa yang kita lihat pada pagi tadi di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang. Pentadbiran Selangor membariskan barisan Exco yang mempunyai cukup representasi dari Melayu, Cina dan India.

Selangor lengkap dengan reprentasi Wanita dalam Exco yakni sebanyak 40 peratus.

Selangor mencipta sejarah apabila buat julung-julung kalinya melantik seorang Speaker Wanita berbangsa Cina dan Timbalan Speaker termuda di dalam sejarah politik negara.

Pakatan Rakyat Selangor berjaya membariskan barisan Exco profesional pelbagai bidang dan jurusan; peguam, doktor, arkitek, dentis hatta seorang ilmuan agama seperti Ustaz Solehin Muhyi.

Rakyat Selangor pula semuanya berbangga menjadi rakyat di negeri Selangor yang telah memilih pimpinan mereka yang pelbagai bidang.

Cuma satu perkara yang ingin saya ketengahkan, di sebalik kegembiraan dan kebanggaan yang kita semua rasai ketika ini, harus diketahui juga ianya bukan datang dengan sendiri.

Bukan juga dengan campurtangan mana-mana pihak.

Ianya adalah hasil dari proses bertikam lidah, konsultasi, perbincangan serta tawar menawar yang dilakukan semua pihak; parti-parti politik, pegawai eksekutif di pejabat Menteri Besar dan Pegawai di istana.

Malah yang lebih besar lagi apabila DYMM Tuanku sendiri yang ada ketika pada siri menghasilkan barisan Exco dan Speaker kebanggaan kita ini telah sanggup mencemar duli.

Pada saya, sejarah semalam telah dicipta semua orang baik dari keturunan Raja hinggalah pacal rakyat marhaen dan budak suruhan pejabat serta para Bentara di istana.

Syabas rakyat Selangor dan tahniah kepada pimpinan yang dilantik menerajui pentadbiran negeri. Selamat Menjalankan Tugas: bekerja demi rakyat tanpa memihak kepada sesiapa dan tanpa rasa takut kepada manusia. Sesungguhnya Rakyat Hakim Negara dan Allah pemilik sekalian alam.

* Faekah Husin merupakan setiausaha politik keada Dato Menteri Besar Selangor

Nurul Izzah akan cabar larangan memasuki Sabah di mahkamah

Oleh Mohd Farhan Darwis
 Nurul Izzah tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada petang Khamis bagi tujuan menyambut Pesta Kaamatan. - Gambar fail PETALING JAYA — Menyifatkan tindakan menghalangnya memasuki Sabah sebagai “penahanan anti demokratik”, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar akan mengambil tindakan perundangan terhadap kerajaan negeri barisan nasional (BN) Sabah atas tindakan mereka di mahkamah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bagaimanapun menegaskan, beliau tidak mempersoalkan undang-undang di negeri Borneo berkenaan, sebaliknya hanya menuntut kerajaan pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengemukakan sebab-sebab kukuh larangan yang dikenakan terhadapnya.

“Sekiranya saya dianggap mengancam keselamatan warga Sabah, maka kemukakan rasional serta penjelasan atas dakwaan tersebut,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen Malaysia, dan warganegara Malaysia, tindakan menyekat kemasukan yang tidak rasional dan bersebab ini merupakan salah guna kuasa yang melampau dan cukup anti-demokratik,” tegasnya lagi.

Beliau yang tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada petang Khamis bagi tujuan menyambut Pesta Kaamatan telah ditahan dan seterusnya dihantar pulang ke Semenanjung.

Pemimpin muda Pakatan Rakyat (PR) itu juga tidak menolak kemungkinan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dihalang daripada memasuki negeri berkenaan.

“Atas sebab kerahsiaan, permintaan saya untuk mendapatkan nama-nama pemimpin PR lain yang dihalang tidak dibenarkan.

“Saya percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan dihalang memasuki Sabah,” katanya kepada pemberita.

“Saya sudah berbincang dengan YB Darrell Leiking, ahli Parlimen Penampang untuk ambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Kota Kinabalu,” katanya, dan menambah,”sampai bila saya dilarang?”

Beliau menegaskan, PKR juga akan menghantar surat rasmi kepada Pejabat Ketua Menteri Sabah bagi menuntut penjelasan dan menggesa mereka kemuka kepada umum senarai nama pemimpin PR yang dihalang, supaya rakyat tahu apa sebabnya mereka mengancam keselamatan Sabah.

Insiden berkenaan turut mendapat reaksi negatif daripada pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah, iaitu ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin, yang menganggap keputusan kerajaan negeri perlu diubah segera sekiranya tiada alasan kukuh untuk mereka melakukan sedemikian.

“Jika tiada alasan kukuh untuk sekatan ke atas Nurul, dan menjadi yang benar-benar adil dan memberikan keadilan, keputusan itu harus diubah segera,” kata ahli majlis tertinggi Umno itu dipetik The Star Online.

Beliau meminta supaya rakyat diberikan penjelasan daripada kerajaan negeri Sabah mengenai kenapa Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dihalang masuk pada petang Khamis.

“Pihak berkuasa perlu mengeluarkan kenyataan yang kukuh dan diterima.

“Saya tidak melihat Nurul sebagai satu ancaman kepada negeri Sabah atau pun rakyat Sabah,” kata Bung.
Nurul Izzah turut melahirkan kekecewaan dan menggesa isu keselamatan negara dan persempadanan tidak boleh sama sekali dipolitikkan.

“Malang, tindakan menghalang saya daripada masuk ke Negeri di Bawah Bayu ini berlaku di kala Sabah berhadapan dengan kebolosan sempadan - termasuklah pengeluaran kad pengenalan secara haram seperti yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Sabah.

“Seharusnya tumpuan kerajaan negeri adalah mengawal selia masalah kebolosan yang mendesak ini, bukan menyalahgunakan kuasa dengan menafikan hak demokrasi dan aktiviti politik pimpinan Pakatan Rakyat demi mempertahan kedudukan Umno mahupun BN.”

Justeru itu, jelas beliau isu keselamatan dan kedaulatan negara sepatutnya tidak diperlekehkan dengan menjadikan ia alat politik menindas rakyat.

Umno wujudkan makmal khusus lihat cadangan BN parti tunggal

THE MALAYSIAN INSIDER
 


KUALA LUMPUR — Umno akan mewujudkan makmal khusus untuk memperinci cadangan menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Umno (gambar) itu berkata parti juga perlu mengadakan tinjauan pendapat daripada anggotanya sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan itu. Sebarang perubahan, katanya, perlu berdasarkan penerimaan anggota Umno sendiri.

“Kita faham Umno ini parti yang dekat di hati ahli... jadi sebarang perubahan perlu diperhalusi dengan mendalam supaya nanti tidak timbul isu ketidakterimaan terhadap parti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibu pejabat parti di sini hari ini.

Ini merupakan mesyuarat pertama MT Umno selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.
Cadangan menjadikan BN sebagai parti tunggal disuarakan pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn yang mahu BN bersifat sebagai satu parti.

Chang sebelum ini berkata usaha ke arah itu perlu dilakukan kerana PRU13 menunjukkan pengundi bandar dan pengundi muda tidak lagi mengundi berdasarkan kaum.

Sementara itu, Najib turut memaklumkan Lembaga Disiplin Umno menerima 99 aduan mensabotaj parti sepanjang PRU13. Keputusan kes itu akan ditentukan Lembaga Disiplin, katanya.

Seramai 192 anggota Umno yang bertanding secara bebas dan menyertai pembangkang pada PRU13 dipecat berdasarkan keputusan dasar parti.

Tindakan itu selaras dengan Fasal 20.10 Perlembagaan Umno yang menyatakan mana-mana anggota yang bertanding sebagai calon bebas akan dipecat daripada parti dan tidak akan diterima keanggotaannya selama-lamanya.

Antara yang dipecat ialah Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Seri Mohd Shariff Omar (bertanding calon Bebas di Parlimen Tasek Galugor dan DUN Sungai Dua) dan Ketua Pemuda Bahagian Sepang Datuk Suhaimi Mohd Ghazali.

Dalam pada itu Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata BN akan memfailkan lebih 50 petisyen mengenai keputusan pilihan raya umum ke-13 di Mahkamah Tinggi di negeri yang terbabit, tidak lama lagi.

Katanya peguam Umno sedang meneliti perkara itu termasuk keputusan di 37 kawasan di mana pencalonan pembangkang diragui kerana dipercayai tidak mengikut peraturan pilihan raya. — Bernama