Khamis, 1 September 2011

Wikileaks: 'Apa cara pun' Anwar akan didapati salah

MALAYSIA KINI


Berdasarkan penilaian bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus menjadi ancaman kepada Umno sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang, ketua pembangkang itu akan didapati bersalah kerana meliwat - hukuman keduanya dalam tempoh 10 tahun.

azlanPerkara itu didedahkan oleh kabel diplomatik Amerika Syarikat yang dibocorkan oleh portal Wikileaks yang juga melaporkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin utama Umno memutuskan segala padah dan kos politik bagi mendakwa Anwar "boleh diterima". Mereka juga mahu perkara berkenaan diteruskan secara agresif di dalam dan juga di luar mahkamah.

Menurut nota diplomatik 2009 yang diklasifikasikan sebagai sulit oleh Mark D Clark, kaunselor politik di Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, matlamat utama mereka adalah bagi memenjarakan Anwar semula dan menyingkirkannya secara tetap dari politik.

azlan"Walaupun mengakui perkara itu adalah semata-mata tindakan penguatkuasaan undang-undang, kerajaan berpendapat tekanan politik adalah diperlukan, dan sanggup menerima risiko reputasi dalam proses berkenaan supaya akhirnya mencapai keputusan bersalah selepas drama berprofil tinggi berbulan-bulan di mahkamah," kata kabel, yang telah dihantar kepada Jabatan Negara Amerika di Washington dua tahun lalu oleh Duta James R Keith.

"Mahkamah akan membicarakan dan menolak rayuan Anwar pada kadar yang segera sebelum menjelang pilihan raya umum negara pada tahun 2012 atau 2013," kata kabel itu.

Menurut Keith, senario itu berlaku semasa bulan-bulan awal kes itu dibicarakan terutamanya menjelang tarikh September 2008, di mana Anwar sepatutnya mengambil alih Putrajaya, tetapi kesannya berkurangan sejak itu.

Kabel yang bertajuk 'Perbicaraan liwat II Anwar Ibrahim' memberi tiga senario berhubung bagaimana kes itu akan berakhir.

Dalam senario berkenaan, Kedutaan Amerika mengandaikan bahawa Najib akan berperanan sebagai "suara pemutus" berhubung keputusan perbicaraan, walaupun beliau juga perlu mendapatkan pendapat dan pandangan golongan elit Umno yang lain.

Dalam senario pertama, kerajaan akan memastikan dalam “apa cara sekalipun” Anwar akan didapati bersalah.

azlanSenario kedua pula menurut Keith, kerajaan akan meneruskan pendakwaan tetapi tidak memberi tekanan yang sewajarnya untuk mendapatkan keputusan bersalah.

Ini akan berlaku sekiranya kerajaan percaya bahawa bukti-bukti yang dikemukakan semasa prosiding mahkamah itu sendiri cukup telah merosakkan maruah atau reputasi Anwar sehingga tidak mampu menjejaskan kredibiliti Najib, kata Keith.

Akhirnya Che Rosli Buat Pengakuan Tak Sokong Lynas

KELAN GREENBOC

Che Rosli: Saya tak langgar dasar PAS, tak sokong Lynas


KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Hulu Langat dari PAS Dr Che Rosli Che Mat berkata akan akur dengan sebarang tindakan parti Islam itu sambil menegaskan, beliau hanya muncul di TV3 atas kapasiti peribadinya sebagai seorang saintis.

Menjawab pendirian kontroversi mengenai loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng dan desakan agar dikenakan tindakan disiplin, Che Rosli berkata, beliau sebenarnya telah memaklumkan saluran swasta itu bahawa tidak akan hadir sebagai wakil PAS, sebaliknya selaku seorang pakar dalam bidang sains nuklear.

Che Rosli mengetepikan kritikan banyak pihak dengan berkata, “seperti Dr Ahmad Termizi Ramli (Pakar Keselamatan Radiologi dan Kesihatan), saya muncul di TV3 sebagai saintis. Itu sahaja.”

“Saya memberitahu wartawan TV3 bahawa saya perlu mendapatkan kebenaran presiden parti, tetapi oleh kerana wartawan Karam Singh Walia telah menelefon saya dua tiga kali, saya pun kata bahawa saya hanya akan hadir atas kapasiti sebagai seorang saintis,” kata bekas pensyarah sains nuklear kepada The Malaysian Insider.

Malangnya tegas Che Rosli, beliau telah diatribut sebagai wakil PAS — “Ahli Parlimen PAS” sehingga membawa kepada kontroversi sekarang.

“Bila saya disebutkan sebagai Ahli Parlimen PAS, maka ia menjadi kontroversi,” kata beliau.

“Saya hanya pergi sebagai seorang saintis, saya tidak bertindak bertentangan dengan parti, saya juga tidak menyokong Lynas,” katanya dengan merujuk kepada pandangannya bahawa hanya memberikan cadangan bagaimana sisa buangan loji Lynas boleh diuruskan.

“Sekarang sudah jadi isu kontroversi,” kata beliau yang bersedia untuk bertemu dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjelaskan perkara sebenar.

“Saya akan bertemu dengan presiden parti, tetapi kalau nak saya beri penjelasan... boleh, tiada masalah, sila hantar surat secara formal, melalui surat berdaftar... saya akan pergi, sekarang saya baru dengar melalui akhbar, belum ada surat rasmi,” kata wakil rakyat ini sambil menambah, “saya dengar akan dikenakan tindakan kerana melanggar disiplin, katanya nak panggil saya beri penjelasan.”

The Malaysian Insider difahamkan beliau akan dipanggil ke ibu pejabat parti pada minggu kedua bulan depan.

Dalam satu kenyataan Mac lalu, Che Rosli pernah berkata, negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat perlu mengorak langkah dengan mendahului kerajaan persekutuan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui ini demi masa depan rakyat dan lestari alam.

Katanya, jika sisa-sisa buangan ini dijana dengan betul satu penghasilan tenaga baru akan meningkat.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu The Malaysian Insider, partinya akan memanggil Che Rosli, yang dilaporkan menyokong pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng dekat Kuantan, untuk membuat penjelasan mengenai pendiriannya selepas cuti sambutan Aidilfitri.

Bagaimanapun pucuk pimpinan tidak menganggap kenyataan wakil rakyat itu sebagai satu tindakan melanggar disiplin parti walaupun bercanggah dengan pendirian PAS.

“Kami akan minta YB Che Rosli agar memberi penjelasan kepada pucuk kepimpinan kerana apa yang dikatakan oleh beliau bercanggah dengan pendirian parti,” kata Tuan Ibrahim sambil menambah, “setakat ini apa yang dikatakan oleh beliau tidak boleh dianggap sebagai isu disiplin.”

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, Che Rosli kemungkinan telah memberi pandangannya mengikut kepakaran beliau dalam bidang nuklear, tetapi pendirian parti adalah berlainan iaitu tidak bersetuju dengan loji Lynas didirikan di Gebeng.

Akhir minggu lalu, pemimpin Pakatan Rakyat Pahang membidas TV3 ekoran pengakuan Che Rosli yang menyokong pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas.

Naib Presiden PKR Fuziah Salleh, yang mendesak agar loji bernilai RM700 juta itu dihentikan, mahu TV3 menarik balik dan meminta maaf termasuk Ketua MCA Kuantan, Datuk Ti Lian Ker yang telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap dirinya.

PAS Pahang juga meminta kepimpinan pusat agar memanggil Che Rosli untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Md Saad memberitahu The Malaysian Insider tindakan Che Rosli itu tidak boleh diterima kerana beliau sepatutnya menyatakan sokongan melalui akhbar rasmi parti, Harakah.

“Kita tahu beliau menyokong loji itu semasa kali pertama kita bincangkan isu ini pada 2009. Tetapi selepas berunding dengan pakar lain, pendirian PAS adalah membantah projek itu. Tetapi sekarang beliau telah masuk ke musuh untuk serang parti sendiri,” katanya.

TV3 menyiarkan satu laporan khas oleh wartawan alam sekitar Karam Singh mengatakan Dr Ahmad Termizi dan Che Rosli mendakwa Fuziah memperdayakan orang awam dengan membandingkan Lamp dengan kemudahan nuklear.

Che Rosli didakwa bertindak menuduh PKR memutarbelitkan isu itu untuk kepentingan sendiri dan beliau “malu” dengan hujah-hujah yang dibuat tanpa asas saintifik atau akademik.

Fuziah berkata, Che Rosli hanya bercakap tentang soal bahaya radiologi sedangkan beliau dan penduduk di sekitar loji itu telah berunding dengan ramai pakar dalam beberapa bidang termasuk kesihatan awam, kejuruteraan kimia, fizik nuklear dan undang-undang alam sekitar. -TMI

Ulasan GB

Dan kita berharap isu ini sekali lagi memberi pengajaran kepada YB-YB dan pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat.

Isu ini menjadi kontroversi kerana Che Rosli tidak dapat menepis pelawaan Karam Singh Walia - yang kemudiannya "bersetuju" untuk pergi sebagai seorang saintis.

“Saya memberitahu wartawan TV3 bahawa saya perlu mendapatkan kebenaran presiden parti, tetapi oleh kerana wartawan Karam Singh Walia telah menelefon saya dua tiga kali, saya pun kata bahawa saya hanya akan hadir atas kapasiti sebagai seorang saintis,”


Kita tidak dapat memisahkan diri kita menjadi dua. Seorang YB PAS, seorang saintis. Orang sudah kenal siapa kita. Dan apa-apa juga perkataan kita yang berbeza pandangan dengan dasar parti di kaca TV arus perdana sepastinya dieksploitasi dan dimanipulasi sepuasnya oleh mereka.

Che Rosli akhirnya membuat kenyataan beliau tidak bersetuju dengan projek Lynas. Baguslah.

“Saya hanya pergi sebagai seorang saintis, saya tidak bertindak bertentangan dengan parti, saya juga tidak menyokong Lynas,”

Kenyataan seperti itu sepatutnya disuarakan semasa wawancara berkenaan untuk mengelakkan ia menjadi kontroversi. Tetapi Che Rosli terus bercakap dengan menyerang YB Pakatan Rakyat pula. Jadi beliau tidak boleh menyalahkan pihak yang berpersepsi negatif terhadapnya.

Natijahnya, berlakulah apa yang dikatakan kontroversi itu.

Episod ini sepatutnya membuka mata semua pemimpin parti komponen PR. Jangan mudah terpedaya dengan bujukan media arus perdana. Jangan timbulkan kekecohan menjelang pilihanraya.

Ulasan GB sebelum ini di SINI. Petikan:

Kita sentiasa mengingatkan supaya berhati-hati terhadap mikrofon wartawan dari media arus perdana, tetapi yang kali bukan sekadar mikrofon, siap dengan paparan kaca TV lagi!

Dan yang aneh beliau berdalih menyatakan hendak dicakapkan adalah hal-hal teknikal sedang yang berlaku ialah serangan sesama ahli parlimen di kalangan Pakatan. Bukankah itu pendustaan namanya di bulan puasa?

TV3 menyiarkan satu laporan khas oleh wartawan alam sekitar Karam Singh Walia mengatakan Pakar Keselamatan Radiologi dan Kesihatan Dr Ahmad Termizi Ramli dan Che Rosli mendakwa Fuziah memperdayakan orang awam dengan membandingkan Lamp dengan kemudahan nuklear.

Che Rosli bertindak menuduh PKR memutarbelitkan isu itu untuk kepentingan sendiri dan beliau “malu” dengan hujah-hujah yang dibuat tanpa asas saintifik atau akademik. -TMI


dan tanpa segan silu beliau menghentam akhbar Harakah melalui kaca TV3:

Che Rosli turut mengkritik akhbar rasmi PAS, Harakah kerana bersikap tidak adil terhadap beliau berbanding Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fauziah Salleh yang sering disiarkan kenyataan-kenyataannya berhubung nuklear dan isu Lynas yang bertentangan dengan pendiriannya. -Harakahdaily

DARIPADA TAUKE BALAK KE TAUKE PASIR?

Oleh : WONG YAU CHEN

THE Untouchable Michael Chia Tien Foh yang sebelum ini menggemparkan dunia dengan Skandal Penggubahan Wang Haram di Hong Kong kini mendakwa berada di atas undang-undang kerana hubungan baiknya dengan pemimpin politik Malaysia; malah turut menjual nama DYMM Yang DiPertuan Agong.

Setelah gagal melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dalam Skandal Penggubahan Wang haram dan Kegiatan Membiayai Keganasan; Michael Chia telah menggunakan pengaruh wang dan harta yang ada padanya untuk memikat beberapa Menteri Kabinet Malaysia menjinakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melengahkan kesnya ke arah impian ‘No Case To Answer’.

Seorang Menteri Kanan Kabinet Malaysia kelihatan memandu Hummer Hitam milik Michael Chia dan telah melancong bersama Michael Chia ke Australia, United Kingdom, Dubai dan beberapa Negara Eropah.

Menteri berkenaan sedang berusaha menutup kes rasuah Michael Chia yang kini sedang dibicarakan di Mahkamah Seksyen Sandakan yang diadili Hakim Elsie Primus kerana menipu seorang Jutawan Malaysia, Datuk Agus Hassan Tan sejumlah RM2.5 juta berhubung penjualan konsesi pembalakan Yayasan Sabah; melalui beberapa pindaan pertuduhan dan menukar saksi utama sebagai defendan.

Menurut maklumat dalaman, Michael Chia kini mendakwa beliau tidak lagi risau dengan kes rasuah yang dihadapinya kerana Wanita Nombor Satu Negara, Datin Seri Rosmah Mansor berada di belakangnya, sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan beliau bebas daripada sebarang kes rasuah.

Tidak cukup dengan itu, Michael Chia mendakwa bahawa semua menteri kabinet Malaysia berada di dalam genggamannya; apatah lagi beberapa menteri kabinet kelihatan memandu uji hampir kesemua kenderaan mewah milik Michael Chia tanpa segan silu.

Mungkin agak melucukan apabila Michael Chia turut mengaitkan DYMM Yang Di Pertua Agong sebagai rakan rapat beliau dan bersedia mengampunkan beliau jika didapati bersalah di mahkamah Malaysia!

Michael Chia kini berani mendabik dada mendakwa bahawa nasib Musa Aman sekarang berada di dalam genggaman beliau dan terpaksa tunduk kepada desakan beliau demi memanjangkan tali hayat politik.

Berita terbaru diterima, seorang Taikoon di Semenanjung Malaysia telah terperdaya dengan lakonan Michael Chia yang mengaku sebagai Billionare Pasir atau ‘Sand Man’ di Johor Bahru yang mempunyai kontrak jangkapanjang dengan Singapura.

Taikoon tersebut sanggup membawa beg Michael Chia kerana percaya dengan dakwaan Michael Chia bahawa beliau seorang Billionaire terkemuka di Asia Tenggara, namun kini memaki Michael Chia setelah mengetahui kisah sebenar ‘The Sand Man’ yang hanya mempunyai simpanan tidak sampai RM50 juta lagi.

Muhyiddin Sedih Kemalangan Jalan Raya Meningkat

MSTAR ONLINE

PAGOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu melahirkan rasa sedih dengan peningkatan jumlah kemalangan di jalan raya pada musim perayaan ini.

Beliau berkata peningkatan itu terutama sekali di jalan-jalan negeri dan bandaran tidak sepatutnya berlaku kerana pelbagai kempen telah diadakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai, sehingga Jabatan Keselamatan Jalan Raya ditubuhkan bagi menangani perkara itu.

Jumlah kes kemalangan jalan raya terutamanya yang melibatkan motosikal membimbangkan kerajaan, katanya.

"Saya rasa sedih.., paling banyak kes melibatkan motosikal. Kempen dah lama kita jalankan sehingga kita tubuhkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya tetapi malangnya perkara ini masih berulang sama ada pada musim perayaan atau bukan musim perayaan," katanya.

Muhyiddin diminta mengulas mengenai peningkatan kemalangan jalan raya di musim perayaan ini semasa ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Kompleks Seri Pekembar di sini Rabu.

Sebanyak 15 kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal dicatatkan pada hari kelapan Ops Sikap-24 semalam.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus meneliti langkah terbaik bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini dan meskipun langkah memperketatkan peraturan mungkin menerima bantahan banyak pihak.

Pengguna jalan raya, kata beliau boleh menyalahkan jalan yang berlubang-lubang atau sempit sebagai punca kemalangan namun ia boleh dielakkan jika mereka berhati-hati dan tidak memandu laju.

Justeru, Muhyiddin menasihati pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab, menghargai nyawa, menghormati satu sama lain dan ingat kepada orang yang disayangi ketika memandu. - BERNAMA

Sepuluh Buah Kanopi Di Bazar Ramadan Padang MPK 2 "Musnah Di Pukul Ribut" Pada Ahad Lalu!

PAHANG DAILY


KUANTAN - Sebanyak 10 buah gerai jualan di Bazar Ramadan di Padang MPK2 dekat sini telah rosak teruk akibat dipukul ribut pada Ahad (28 Ramadan) lalu. Kejadian yang dipercayai berlaku semasa umat Islam sibuk berbuka puasa itu tidak mengakibatkan kecederaan kerana orang ramai sudah mula berkurangan di kawasan terbabit.

Difahamkan, ketika kejadian hujan lebat turun di kawasan terbabit dan disertai dengan ribut yang cukup dasyat. Menurut seorang saksi, kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku di kawasan Bazar Ramadan Padang MPK2 berhadapan dengan Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Sebelum ini kejadian yang sama melibatkan lokasi lain seperti bazar di Mahkota Square, berhadapan Masjid Negeri Sultan Hj.Ahmad Shah 1. Malah, awal Ramadan yang lalu kejadian yang sama berlaku di tapak Expo Jualan di Teluk Chempedak yang mengakibatkan lima buah kanopi rosak teruk. Kejadian terbaru yang berlaku ini sungguh mengejutkan ramai pihak terutamanya mereka yang berkunjung ke bazar Ramadan terbabit.

Namun, ramai juga yang mengatakan kejadian yang berlaku itu adalah satu peringatan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya yang cuai terhadap kewajipan masing-masing. Ini kerana, ramai dikalangan peniaga bazar Ramadan sebenarnya membuka gerai jualan mereka sejak dari jam 4.00 petang lagi iaitu sebelum Asar.

Ini menyebabkan ramai dikalangan mereka terlepas menunaikan solat Asar semata-mata mahu mencari rezeki berniaga di bulan Ramadan. Malah, selepas waktu berbuka puasa ketika itulah mereka sibuk mengemas barangan jualan masing-masing dan masih dilihat dikawasan terbabit hingga malam pada kebiasaannya. Ini menyebabkan, ramai yang terlepas menunaikan solat Maghrib, semata-mata mengejar keuntungan duniawi. Mungkin inilah yang dikatakan peringatan dari Allah.



Musnah, beginilah keadaan beberapa buah gerai jualan bazar Ramadan itu



Besi kanopi patah remuk akibat dipukul oleh ribut pada petang hari kejadian


[Justeru itu kepada umat Islam yang mencari rezeki di bulan Ramadan adalah dinasihatkan supaya lebih berhati-hati selepas ini. Janganlah kerana ingin mencari keuntungan, mereka sanggup meninggalkan kewajipan kepada Allah SWT.

Langkah membuka gerai jualan sebelum Asar juga antara penyebab masing-masing tidak sempat untuk bersolat. Apatah lagi selepas waktu tersebutlah begitu ramai orang berpusu-pusu untuk mendapat juadah berbuka puasa mereka. Senario ini sebenarnya berlaku di mana-mana sejak sekian lama.

Ramai yang berniaga di Bazar Ramadan atas hasrat untuk mencari rezeki tapi akhirnya sia-sia bila meninggalkan tanggungjawab mereka itu. Malah, lebih mengecewakan lagi ada yang tidak menutup aurat dan berpakaian menjolok mata semasa berniaga. Ini amat bertentangan dengan kesucian bulan Ramadan itu sendiri. Lantaran itulah terkadang bala Allah datang tanpa diundang. Semuanya adalah satu peringatan untuk manusia-manusia yang lalai. Oleh itu berhati-hatilah].

Umno-BN makin tidak dipercayai rakyat

WARTA UTARA


Pilihan Raya Umum ke-13 sudah semakin hampir. Walaupun tempoh tamat Kerajaan Barisan Nasional hanya akan berakhir pada Mac 2013, namun terlalu banyak faktor yang menghantui Perdana Menteri untuk kekal berkuasa.

Pertama ia berkaitan dengan faktor politik. Iaitu kuasa politik yang dimenangi Umno-BN pada PRU 2008 terlalu tipis. Tonggak kekuasaan yang menunjangi kerajaan Umno- BN hanya berpaksi kepada orang-orang Melayu, sedangkan kaum-kaum lain sudah menolak mereka;Umno-BN tidak akan mampu berfungsi dengan sempurna tanpa sokongan semua kaum dalam negara.

Kedua faktor ekonomi. Akibat daripada krisis ekonomi yang melanda Amerika Syarikat, seluruh dunia terpaksa mengalami kemelesetan dan kemerosotan. Kelemahan kerajaan dalam menangani krisis ini akan mendorong kejatuhannya.

Ketiga adalah faktor sosial. Hari ini kita dapat melihat bagaimana ada usaha diwujudkan pihak tertentu memainkan isu perkauman. Masyarakat dipecahbelahkan dengan warna kulit dan bahasa pertuturan. Mereka diajar dengan membezakan antara Melayu dan Cina, India serta lain-lainnya. Jika menyokong pembangkang kata mereka bermakna menyokong Cina. Ini isu yang dimainkan oleh media arus perdana yang dikuasai Umno.

Faktor keempat adalah soal sentimen keagamaan. Keharmonian tidak lagi wujud jika media talibarut Umno memainkan sentimen Islam-Kristian sehingga menggugat keamanan dan kesejahteraan. Isu sebegini adalah amat sensitif, tetapi sengaja dibiarkan berlarutan untuk mempengaruhi Melayu, supaya terus menyokong Umno-BN.

Dalam dunia serba canggih dan moden ini, mana mungkin sebuah kerajaan boleh ditegakkan hanya dengan sokongan satu kaum sahaja.

Faktor kelima adalah soal ketirisan dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran. Tiada GLC, tiada agensi, tiada institusi yang tidak dipertikaikan rakyat. Hari ini rakyat tidak mudah untuk mempercayai Polis untuk menjaga keamanan negara. Rakyat tidak yakin lagi dengan keadilan sistem kehakiman, SPRM dipertikaikan, SPR diragui ketelusan dan ketulusannya. Banyak lagi yang dipertikaikan rakyat. Faktor yang keenam ialah tiada kesepaduan dalam

gabungan BN. Gerakan mengalami krisis kepimpinan yang teruk, MCA gagal pulihkan sokongan Cina terhadap BN, MIC juga tidak yakin dengan PM. Parti yang dilancar PM, Makkal Sakhti sudah berpecah belah. Parti Cinta Malaysia juga entah ke mana. Suara Umno-BN hanya datang daripada pencacai upahan, Ahli Parlimen Bebas yang ‘menyalak’ siang malam memaki Pakatan Rakyat.

Faktor ketujuh yang terpenting sekali ialah keper cayaan rakyat kepada PM masih tidak meyakinkan Umno. Malah hari ini, kedengaran suara-suara sumbang dalam Umno yang mempertikaikan kepimpinan PM yang juga Presidennya.

Keselesaan dengan jelas tidak wujud dalam Umno apabila ahlinya sendiri yang menukilkan sebuah buku bertajuk ‘Najib PM Terakhir’. Tetapi media arus perdana menyembunyikan berita ini kerana bimbangkan nasib Umno-BN.

Walaupun PM, sudah menegaskankan berkali-kali bahawa mereka akan mempertahankan Putrajaya dan merampas negeri-negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat pada 2008, walau dengan apa cara sekalipun, namun Umno-BN masih menemui jalan buntu, selagi tujuh faktor di atas masih menghantui mereka.

PM bukan sahaja dihantui dan diselaputi kegagalan demi kegagalan. Rakyat sudah mengetahui bahawa, seluruh jentera kerajaan akan dikerahkan, dimanipulasi dan diperkudakan untuk mencapai cita-cita jahat mereka.

Oleh sebab itu, rakyat akan terus membuat tuntutan, selagi demokrasi tulen tidak diamalkan dalam negara. Rakyat tidak akan berdiam diri untuk membiarkan mana-mana institusi, agensi dan GLC dari menjadi kuda tunggangan Umno-BN.

Sedarlah bahawa, kepercayaan rakyat terhadap Umno- BN tidak lagi wujud. Malah rakyat sedang menyiapkan keranda untuk menghumban Umno-BN ke liang lahad.

Kopi kecubung tewaskan kekebalan Mat Indera

Sumber Berita Harian


NAMA Jawa Ponorogo pernah terkenal dengan berita penangkapan anggota komunis, Ahmad Indera atau dikenali sebagai Mat Indera, berdarah pahlawan daripada keturunan Datuk Bentara Husin Lela Pahlawan Siak Seri Inderapura yang menjadi panglima kanan Sultan Sharif di Siak.

Meskipun Mat Indera dikaitkan sebagai pengganas oleh sesetengah orang kerana pembabitannya dalam komunis dan dilabelkan sebagai petualang oleh kerajaan Inggeris, ramai masyarakat Jawa Ponorogo menganggapnya pejuang dalam menuntut kemerdekaan, cuma memilih jalan yang salah.

Pemuda kelahiran Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat itu mempunyai peribadi tinggi dan dikatakan kuat beribadat serta tinggi pengetahuan agamanya. Justeru, dia disenangi penduduk di Sri Medan yang kerap membantunya membekalkan makanan ketika dia dalam parti komunis.

Namun, tekanan yang diberikan Inggeris terutama kepada rakan karibnya, Mat Tukyo supaya menangkap Mat Indera atau tindakan tegas dikenakan terhadap penduduk Sri Medan menyebabkan mereka tiada pilihan selain memastikannya ditangkap. Namun, bukan kerja mudah menangkapnya kerana kehebatan dan ketinggian ilmu Mat Indera.

Ugutan Inggeris terus menjadi tekanan kepada penduduk Sri Medan termasuk untuk memindahkan mereka dan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang membantu membekalkan makanan kepada Mat Indera.

Penangkapan Mat Tukyo oleh Inggeris sebelum ditawarkan beberapa ganjaran selain hidup bebas di Sri Medan menjadi kemuncak tindakan nekad penduduk Jawa Ponorogo, namun perlu melalui kaedah terancang kerana semua mengetahui kesaktian Mat Indera.

Pada 14 Oktober 1952, lima lelaki Jawa Ponorogo yang diketuai Md Sham dan dibantu Ismail Mustakim (Misban), Beladang, Mat Tukyo dan Bajuri menggunakan tipu helah untuk memberkas Mat Indera.

Ia bermula dengan jemputan Mat Tukyo dan Misban untuk mengadakan perbincangan mengenai pelan bantuan orang kampung kepada Mat Indera. Dalam perbincangan itu, dia dijamu dengan tempe dan kopi yang dicampur kecubung. Akibat itu Mat Indera mabuk dan mengantuk.

Kesempatan itu digunakan untuk menanggalkan semua tangkal serta mengikat tangannya dengan lalang. Dikatakan, kerana itulah ilmu ghaib dan kehebatan Mat Indera tidak lagi dapat digunakan.

Bekas ketua kampung Parit Warijo, Malik Samuri menjadi saksi bagaimana Mat Indera dibawa dengan basikal sedang tangannya diikat daun lalang. Peristiwa itu sebenarnya menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat Jawa Ponorogo. Ada yang gembira dan ada yang sebak.

Mohd Abidin Ismail iaitu anak salah seorang yang menangkap Mat Indera, Misban, berkata meskipun terbabit secara langsung dalam tipu helah itu, sepanjang hidup ayahnya tidak pernah menyatakan kebanggaan atas kejayaan itu, malah tidak sesekali melabelkan Mat Indera sebagai petualang.

“Cuma apa yang kerap diceritakannya ialah tindakan mereka ketika itu adalah disebabkan tekanan yang dihadapi akibat ugutan Inggeris. Mungkin ada melabelkannya sebagai petualang tetapi saya merasakan dia seorang pejuang tetapi memilih jalan yang salah.

“Tidak adil terus melabel Mat Indera sebagai pengkhianat kerana dia juga berjuang untuk menuntut kemerdekaan. Cuma kumpulan yang disertainya itu tidak sesuai, itupun disebabkan tiada kumpulan lain ketika itu. Kumpulan Melayu lain terlalu lambat bertindak” katanya.

ADUN cina menyertai takbir Raya rumah ke rumah

Oleh: bumiperak


IPOH - ADUN Simpang Pulai YB Chan Ming Kai turut serta dalam majlis ziarah dan bertakbir dari rumah ke rumah di Taman Panglima Ipoh bersama dengan lebih 50 orang penduduk di sini. Chan Ming Kai berpakaian baju Melayu bersongkok telah bersama dari awal hingga ke 12 rumah terakhir.

Tuan rumah menyambut penuh mesra dengan tetamu istimewa wakil rakyat dari Keadilan ini yang turut serta dalam rombongan penduduk. Turut bersama anak-anak yang lebih ceria dengan duit raya yang diterima.





"

UMNO perjuang kemerdekaan sebenar?

Oleh Hishamuddin Rais


Hari hari maut United Malays National Organisation semakin dekat. Parti yang didirikan atas sokongan penjajah British pada tahun 1946 dahulu ini semakin malap cahaya sokongan dari orang ramai. Nafasnya semakin terdesak.

United Malays National Oganisation ditubuh, dilonjak dan dijaga oleh British. Parti ini diperlukan untuk dijadikan barua oleh British kerana pada ketika itu (1948), penjajah British sedang menghadapi Perang Rakyat.

Perang Rakyat adalah perjuangan angkat senjata yang di terajui oleh pakatan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Parti Komunis Malaya (PKM), Hisbul Muslimin, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan berbelas-belas lagi kumpulan patriotik yang anti-British.

Para patriot tanahair dari semua bangsa telah bangun bermandi darah dalam usaha untuk memerdekakan Tanah Melayu. Ini sejarah gilang gemilang rakyat negara kita yang terus dibohongi oleh United Malays National Organisation. Kita diberi tahu bahawa negara kita merdeka tanpa pertumpahan darah.

Ini bohong. Pergi ke hadapan Dewan Bahasa Pustaka dan lihat berapa luas kubur British di situ. Pergi ke Taiping dan lihat berapa luas kubur British di situ. Pergi ke Lubuk Kawah dan tanya berapa ratus anak muda Melayu yang masuk hutan. Pergi ke Behrang Selangor dan tanya berapa banyak anak muda Melayu yang ke hutan mengangkat senjata.

Nama nama seperti Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh, Ahmad Boestaman, Chin Peng, Ishak Haji Muhamad, Wahi Anwar, Abdullah Sidi, Rashid Maidin, Abu Samah adalah para nasionalis dan para patiotik yang telah bangun menentang penjajah British.

KMM ada parti politik Melayu yang tertua di Tanah Melayu dengan garis politik nasionalis yang menolak semua bentuk sifat perkauman dan sifat rasis keMelayuan. KMM adalah parti politik awal yang melaungkan slogan Ketuanan Rakyat. KMM juga adalah parti politik yang pertama melaungkan MERDEKA. Ini sebelum United Malays National Organisation berani menuntut merdeka dari tuannya – penajah British.

Apabila penjajah British kalah maka British telah memunculkan apa yang kita ketahui sebagai United Malays National Organisation. Nama parti ini higga ke hari ini masih lagi dalam bahasa Inggeris – United Malays National Organisation – ini kerana parti ini adalah parti yang telah dijadikan barua oleh British.

Selama 50 tahun orang Melayu telah dibodohkan oleh United Malays National Organisation. Peranan dan proses pembodohan ini telah dilakukan melalui akhbar, media dan sekolah. Lihatlah betapa bodohnya penyokong-penyokong United Malays National Oganisation.

Mereka menjerit-jerit sebagai berjuang untuk Melayu. Tanya pada mereka kenapa nama parti mereka dipanggil United Malays national Organisation. Kenapa TIDAK pakai nama Melayu?

Tanya ini dahulu. http//tukartiub.blogspot.com

Bukan tokoh Umno saja perjuang kemerdekaan negara

Oleh Azamin Amin


Keberanian perlu ada untuk merungkai semula fakta sejarah dan memberi pertimbangan adil dalam mendedahkan pengorbanan para pejuang seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestamam melalui pertubuhan-pertubuhan pimpinan mereka seperti Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Baris Tani Se-Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) untuk memerdekakan negara ini.

Inilah antara lontaran hujah dan perbincangan di antara ahli panel yang terdiri daripada Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Dzulkifli Ahmad; bekas Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM),Rustam Sani; AJK DAP, Ronnie Liu dan Ketua Strategik Analisis Malaysia(SAM), James Wong dalam forum 'Pensejarahan Semula Perjuagan Merdeka' semalam.

Forum yang dianjurkan 'Youth for Change' (Y4C) di Dewan Perhimpunan Cina Selangor itu dimoderatorkan oleh Lee Khai Loon dihadiri oleh seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Perjuangan sebenar menuntut kemerdekaan sedari awal bukanlah dipelopori oleh Umno/Perikatan tetapi pemimpin-pemimpin dan pertubuhan-pertubuhan di labelkan radikal dan berhaluan kiri oleh British," kata Dr Dzulkifli.

"Perlu ada keberanian untuk mendedahkan perkara ini. Justeru, selagi mana fakta sejarah sebenar dirahsiakan dengan menonjolkan pejuang-pejuang kemerdekaan secara selektif; dengan menyatakan perjuangan menuntut kemerdekaan hanyalah dipelopori oleh pertubuhan moderat Melayu iaitu Umno, lantas menafikan peranan para pemimpin dan pertubuhan lain, maka selagi itulah semangat meraikan kemerdekaan secara bersama tidak akan tercapai," katanya lagi.

Kata beliau Umno dan Perikatan hanya menyambung usaha menuntut kemerdekaan daripada British setelah pemimpin-pemimpin yang dilabelkan radikal ini ditahan oleh British.

Rustam Sani pula mahu penafsiran dan definisi kemerdekaan dikaji semula dengan fikiran yang telus dan tajam supaya jati diri dan keperibadian bangsa Malaysia serta maksud kenegaraan sebenar dapat dicapai di samping mengelak pertembungan perbezaan, keistimewaan, hak dan konflik antara kaum dapat diatasi dengan sebaiknya.

"Sewajarnya kemerdekaan bukanlah dengan membahagi-bahagikan penduduk negara ini kepada kaum Melayu, Cina dan India yang menjurus ke arah konflik antara kaum dan inilah rangka kemerdekaan yang dimahukan oleh British pada masa itu," katanya.

Selain itu, isu sensitif perjuangan Parti Komunis Malaya bersama parti-parti nasionalis Melayu yang diharamkan telah mengangkat senjata menentang British turut dibincangkan demi memberikan keadilan dalam sejarah menuntut kemerdekaan.

"Bayangkan Ketua Polis Negara (KPN) yang pertama selepas merdeka menggelar anak tempatan seperti Adullah CD, Rashid Mydin, Shamsiah Fakeh dan Musa Ahmad sebagai pengganas," kata James Wong.

" Dia (KPN) adalah British yang lahir dari London dan ini hampir sama dengan Bush yang lahir di Amerika pergi ke Afganistan memanggil anak tempatan Osama ben Laden sebagai pengganas," katanya.

Dr Dzulkifli menegaskan pensejarahan semula perjuangan kemerdekaan negara ini amat penting demi menjamin keadilan dan kebenaran fakta sejarah kemerdekaan keseluruhannya.

Secara sinis menyatakan kepada khalayak bahawa tidak mahu berlaku seperti pepatah 'The victor writes history, the loser writes poetry' (Yang juara menulis sejarah, yang kalah menulis sajak).

Majlis tersebut menjadi rancak apabila ahli panel dihujani dengan pelbagai soalan termasuk isu-isu sensitif tentang perjuangan Chin Peng dan Komunis berakhir sekitar jam 12 tengah malam.