Sabtu, 2 Mei 2009

Blogawan Tubuh Sekretariat.

Editor Buletin


KUALA TERENGGANU – Sekretariat Blogawan (Blogger) Terengganu telah berjaya ditubuhkan dalam satu perjumpaan yang diadakan di sini semalam.

Menurut jurucakap sekretariat blogawan yang menghantar e-mel kepada Buletinonline, seramai 21 orang blogawan telah hadir dalam perjumpaan tersebut termasuk lima blogger wanita.

Perjumpaan semalam telah bersetuju melantik 15 orang blogawan menerajui sekretariat yang diketuai oleh blogger Amdang81.

Sekreatariat tersebut juga melantik beberapa blogawan menyandang jawatan utama dalam sekretariat tersebut.

Antara objektif utama penubuhan Sekretariat Blogawan Terengganu adalah untuk meletakkan seluruh blogawan dalam satu bumbung.

Selain itu sekretariat tersebut akan menjadi satu organisasi pertukaran maklumat dan ilmu serta berusaha menjaga kebajikan diantara blogawan.

Antara aktiviti awal yang akan dilaksanakan adalah mewujudkan satu blog Kelab Blogger, mendaftarkan Sekretariat sebagai sebuah organisasi yang sah, menarik seramai mungkin blogawan menjadi dan mengadakan majlis sosial bertaaruf dan ber ‘Barbeque’ sambil bersantai.

Turunkan harga ayam

Oleh RASIDAH MISNI


KUALA LUMPUR - Orang ramai mendesak Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (PPPM) menurunkan harga runcit ayam di pasaran yang kini membebankan mereka.

Dalam tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Pasar Pudu di sini hari ini, orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati dengan kenaikan harga runcit ayam yang diumumkan PPPM semalam.

Seorang tukang masak, Ahmad Saifulrizan Ahmad Zabidi, 29, berkata, harga runcit ayam yang tidak menentu sejak kebelakangan ini mengelirukan rakyat.

"Kadang-kadang kenaikan harga ayam terlalu tinggi dan berubah- ubah seolah-olah tiada harga pasaran yang tetap.

"Kami berharap kerajaan akan menetapkan harga siling ayam kepada pemborong kerana peniaga akan menjual ayam mengikut harga daripada pemborong," katanya.

Semalam, PPPM mengumumkan kenaikan harga ayam daging di seluruh negara antara 40 sen dan 60 sen sekilogram atas alasan faktor permintaan dan bekalan semasa.

Harga runcit ayam siang berserta kaki, kepala, hati dan hempedal naik kepada RM6.15 sekilogram berbanding RM5.65 sekilogram manakala harga runcit ayam siang tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal ialah RM6.90 sekilogram daripada RM6.30 sekilogram.

Seorang suri rumah, Jurinah Abu Bakar, 50, berkata, kenaikan harga runcit ayam tidak sepatutnya berlaku kerana ayam daging bukan barangan import dan tidak perlu dibayar cukai.

"Harga ayam kadang-kadang melambung, esok jatuh pula. Kenapa tidak diselaraskan atau ditetapkan saja? Harap pihak berkuasa tetapkan harga ayam di pasaran seperti harga daging yang tidak berubah," katanya.

Tambahnya, tindakan menaikkan harga ayam itu tidak sewajarnya berlaku tambahan pula ketika situasi ekonomi yang tidak menentu pada masa ini.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Mat Isa Mohd. Wadi, 33, berkata, pengguna sudah letih dengan putaran kenaikan barangan keperluan seperti yang berlaku sebelum ini.

"Keadaan ini menjejaskan ekonomi rakyat lebih-lebih lagi pelanggan seperti kami yang masih dibayangi kenaikan harga beberapa barangan sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di Pasar Pudu mendapati peniaga masih mengekalkan harga runcit ayam antara RM5.50 dan RM5.80 sekilogram.

Peniaga-peniaga tersebut mendakwa berbuat demikian kerana mengikut kehendak dan permintaan pelanggan.

Seorang peniaga, Zulkiflie Zainal, 30, berkata, memang tidak dinafikan harga ayam daging sentiasa berubah-ubah.

"Walaupun harga ayam sekejap naik dan sekejap turun, ia tidak menjejaskan perniagaan. Kami terpaksa akur dengan harga pasaran dan mengutamakan permintaan pelanggan.

"Kami tidak sesuka hati menaikkan harga runcit ayam kerana takut pelanggan lari," katanya.

Rakannya, Khairudeen Jamaludin, 34, yang turut sependapat berkata, mereka tetap menjual ayam daging pada harga asal sejak dua minggu lalu.

"Kami masih menjual ayam daging pada harga tetap iaitu RM5.80 sekilogram kerana jika kami naikkan harga ayam, permintaan pelanggan akan berkurangan," katanya.

Seorang lagi peniaga, Lukman Hakim, 45, berkata, walaupun pemborong mengenakan harga borong RM4.70 sekilogram kepada peniaga namun mereka masih mengekalkan harga asal

Peraturan kerja separa masa dilaksana bulan depan - Subramaniam

BERNAMA


MELAKA: Kementerian Sumber Manusia menjangkakan Peraturan Kerja Separa Masa untuk pekerja sektor awam dan swasta bekerja selepas waktu kerja dapat dilaksanakan pada bulan depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, kementeriannya kini di peringkat akhir menggubal peraturan itu di bawah Akta Kerja 1955.

"Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pekerja sektor awam untuk bekerja separa masa tetapi tidak ada peraturan khusus mengenainya hingga menimbulkan beberapa isu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, hari ini.

Dr. Subramaniam berkata isu, berkenaan antaranya berkaitan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), bayaran kerja lebih masa dan cuti sakit.

Peraturan itu digubal antaranya bagi menetapkan peraturan berkaitan penggajian pekerja separa masa, menentukan faedah minimum kepada pekerja separa masa, mengurangkan pergantungan majikan kepada pekerja asing dan menggalakkan penyertaan tenaga kerja terbiar, katanya.

Beliau berkata, kebenaran untuk kerja separa masa itu bagi membantu pekerja yang berpendapatan rendah untuk menambah pendapatan.

Sementara itu, Presiden CUEPACS Omar Osman berkata, CUEPACS memohon kepada kerajaan supaya membuat penambahbaikkan terhadap skim perjawatan bagi memberi peluang yang lebih baik dalam kenaikan pangkat.

Katanya jawatan berkenaan termasuk operator pemprosesan data, pembantu tadbir rendah dan operator mesin.

"CUEPACS juga meminta kerajaan memberi insentif khas kepada kakitangan yang berkhidmat tengah malam iaitu 12 tengah malam hingga 6 pagi supaya mereka ini lebih selesa bekerja dan tahap kesihatan mereka terjamin," katanya.

Omar turut berharap dapat bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum 14 Mei ini bagi mengemukakan beberapa perkara berkaitan kebajikan kakitangan sektor awam.

Beliau berkata surat untuk pertemuan itu telah dihantar tiga minggu lepas dan masih belum mendapat jawapan.

Pada majlis itu, Omar dipilih menerima Anugerah Tokoh Terbilang CUEPACS manakala Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Lok Yim Pheng menerima Anugerah Gemilang Wanita CUEPACS dan Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia menerima Anugerah Kesatuan Gemilang CUEPACS.

Jumaat, 1 Mei 2009

Perang psikologi Umno di Penanti

Athi Veeranggan


Calon PKR di Penanti yakin Umno akan meletakkan calonnya di kerusi DUN tersebut dalam pilihanraya kecil yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, Mansor Othman berkata Umno malah akan memilih seorang calon yang berwibawa untuk menyukarkan laluannya.

"Bukan gaya Umno tidak bertanding, bukan budaya parti tersebut. Parti itu akan meletakkan calon walaupun ia mendakwa underdog (tidak mudah menang)," katanya.

"Umno sedang menggunakan (taktik) permainan psikologi dengan meletakkan kita (PKR) calon pilihan.

"Kita tidak boleh sambil lewa, terbawa-bawa atau tertipu dengan perang psikologi (Umno) ini. Kita mesti bersatu, berkempen bersungguh-sungguh dan menemui semua pengundi bagi memastikan kemenangan."

Ditanya peluang beliau memenangi pilihanraya kecil ini yang bermula 23 Mei ini, Mansor meletakkan "harapannya 60 peratus".

"Bukan kerana (saya) sombong atau terlalu yakin. Ia kerana Penanti berada dalam kawasan Permatang Pauh - kubu (penasihat PKR Datuk Seri) Anwar (Ibrahim).

"Beliau mempunyai sokongan kuat di kalangan pengundi Penanti," katanya lagi.

2,000 pekerja pembersihan bakal hilang pekerjaan

BERNAMA


PETALING JAYA: Seramai 2,000 orang akan kehilangan pekerjaan ekoran tindakan Alam Flora Sdn Bhd menamatkan kontrak 40 syarikat kontraktor sisa pepejal dan pembersihan yang beroperasi di sekitar Petaling Jaya berkuat kuasa 15 Mei ini.

Sehubungan itu, Persatuan Kontraktor Sisa Pepejal dan Pembersihan kawasan Petaling Jaya (SPPPJ) merayu Alam Flora supaya mengkaji semula langkah itu dengan mengambil kira kebajikan pekerja terbabit.

"Pihak Alam Flora perlu mengambil kira nasib pekerja kontraktor yang mempunyai tanggungan masing-masing untuk menyara keluarga mereka sekiranya mereka dibuang kerja dan mereka juga akan menghadapi kesukaran mencari kerja dalam kegawatan ekonomi sekarang," kata Presiden SPPPJ Datuk Mohd Abdullah Mohd Mohaidin.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata penamatan kontrak itu dimaklumkan kepada kontraktor berkenan menerusi notis bertarikh 15 April lalu yang dikeluarkan oleh Alam Flora.

Demo bantah kabinet isu agama anak disekat polis

Anna Yusof


KUALA LUMPUR : Pemuda Pas hanya sempat menganjurkan perhimpunan membantah keputusan kabinet berhubung status agama anak selepas solat Jumaat hari ini di kampung baru, Kuala Lumpur selama sepuluh munit sahaja.

Berikutan puluhan psukan polis telah memaksa membubarkan perhimpunan yang dihadiri oleh lebis seratus penyokong yang terditri daripada badan kebajikan dan amal NGO yang turur membantah keputusan jemaah menteri minggu lepas.

Antara NGO berkenaan termasuk NGO Islam, Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Selain keputusan membesarkan anak di bawah umur mengikut agama asal ibu bapanya, kabinet juga memutuskan pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan segala isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil.

Langkah itu selaras dengan pendirian jemaah menteri bahawa enakmen syariah hanya boleh digunakan terhadap perjanjian berkaitan perkahwinan yang dibuat bermula dari tarikh individu itu memeluk Islam dan bukannya sebelum itu.

Keputusan terbaru kabinet itu berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes K Pathmanaban atau nama Islamnya Mohd Ridzuan Abdullah.

Dalam satu kenyataan bersempena perhimpunan tersebut, ketua Pemuda Pas negeri tersebut Kamaruzaman Mohamad menggesa kabinet menarik balik keputusan itu yang dianggapnya “paling biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong, mufti, Parlimen dan juga sistem kehakiman negara.”

“Sesungguhnya kabinet sedar bahawa mereka hanyalah berkuasa dalam sudut eksekutif bukannya legistatif dan kehakiman.

“Maka tidak selayaknya mereka mengeluarkan keputusan dan arahan melangkaui bidang kuasa mereka terutamanya dalam isu yang membabitkan soal agama,” katanya.

Sivakumar selar Setiausaha Kerajaan Negeri Campur Urusan Dun Sekat Media

Anna Yusof

KULA LUMPUR : Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar menyelar tindakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Abdul Rahman Hashim menyekat anggota media membuat liputan persidangan Dun yang dijangka bermula 7 Mei depan.

Sivakumar memberi amaran kepada Dr Abdul Rahman supaya tidak mencampuri urusan perjalanan Dun.

“Beliau membuat keputusan sendiri secara sewenang-wenangnya. Saya memberi amaran kepada beliau supaya tidak campurtangan dalam urusan Dewan Negeri. Saya berharap beliau sebagai penjawat awam akan berpeganag kepada prinsip neutraliti.

Beliau berkata tidak ada sebab munasabah media disekat membuat liputan berita berhubung sidang Dun dan menambah rakyat berhak mengetahui apa sebenar yang berlaku dalam persidangan pada hari itu.

“Kenapakah syarat-syarat dikenakan untuk menghalang media massa menghadiri persidangan dewan negeri kali ini? Mereka bukannya datang untuk menimbulkan kekecohan dalam dewan.

“Mereka hanya datang untuk membuat liputan persidangan. Rakyat berhak mengetahui apakah sebenarnya berlaku dalam persidangan hari itu.

“Rakyat tidak boleh diperdayakan dengan berita ‘satu pihak’ dengan hanya membenarkan media yang menyokong kerajaan.

“Tindakan Datuk Setiausaha jelas menunjukkan satu lagi usaha yang mengancam demokrasi negara kita. Tindakan beliau adalah bertentangan amalan ‘kebebasan akhbar,” kata beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri dilaporkan mengeluarkan arahan membenarkan hanya sejumlah kecil wartawan memasuki DUN pada sidang 7 Mei.

Hanya tiga kakitangan TV dibenarkan membuat liputan dan dua wartawan media utama dibenarkan masuk kecuali RTM dan TV3 yang diberi kelepasan tiga wartawannya membuat liputan.

Menurut Pegawai Kanan Sekretariat Korporat & Perhubungan Awam Kerajaan Negeri Perak, Noor Aniza Mansor hanya pihak yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri akan dibenarkan untuk masuk ke dalam Dun kononya supaya mesyuarat boleh berjalan secara lancar.

Sivakumar berkata beliau akan bertemu dengan Abdul Rahman secepat mungkin bagi mendapat penjelasan dan membantah kekangan yang dikenakan ke atas media.

“Perjalanan persidangan Dewan Negeri terletak di bawah bidang kuasa Speaker, Setiausaha Kerajaan tidak berunding dengan Speaker berkaitan dengan hal ini.

Beliau menegaskan sebagai Speaker Dun beliau berpegang kepada prinsip-prinsip demokrasi yang subur.

“Dalam persidangan-persidangan Dun tahun yang lepas, saya membenarkan liputan TV internet secara langsung. Ramai orang dari dalam dan luar negara telah mengikuti persidangan dewan tersebut.

“Inilah namanya demokrasi, kerana rakyat yang memilih wakilnya berhak mengetahui apakah yang berlaku di dewan semasa persidangan. Ianya tidak boleh disorok-sorokkan.

“Oleh yang demikian, saya mahu semua media, termasuk media antarabangsa dan media internet untuk membuat liputan persidangan Dun pada 7 Mei secara adil dan saksama,” tegas beliau lagi.

Kejatuhan Umno kerana sekat kebebasan akhbar

Penulis Khas


Sebelum Perang Dunia Kedua, di bawah jajahan Inggeris, akhbar tidak juga bebas. Namun begitu, ia masih ada ruang besar untuk membicarakan banyak isu, khususnya mengenai Islam dan hal ehwal agama Islam serta juga soal kemerdekaan. Sememangnya pihak berkuasa penjajah mengambil perhatian terhadap apa yang dinyatakan oleh akhbar-akhbar, termasuk akhbar Melayu.

Secara umum, penjajah akan mengambil berat jika sesebuah akhbar itu menghasut dengan mengajak orang ramai bangkit menentang penjajah dengan menggunakan senjata. Tetapi kalau sekadar memperjuangkan nasib bangsa dan menentang ketidakadilan, bagi penjajah Inggeris itu tidak menjadi masalah. Secara umumnya,akhbar dalam zaman penjajah Inggeris adalah lebih bebas daripada masa sekarang. Untuk mengukur secara tepat, maka wajar dibuat penyelidikan sejarah.

Kongkongan British

Bagaimanapun kongkongan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Inggeris adalah juga tidak patut. Mengapakah Britain yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan akhbar di negara sendiri telah menafikan hak yang sama di tanah-tanah jajahan? Walau bagaimanapun, layanannya terhadap akhbar Melayu, Inggeris dan Cina adalah juga berbeza-beza.

Kajian sejarah akan membolehkan seseorang membuat penilaian akhbar mana di antara ketiga-tiga itu yang paling dikongkong. Tetapi akhbar bahasa Inggeris yang diterbitkan oleh orang Inggeris sendiri seperti The Straits Times, The Straits Echo dan The Malay Mail turut dikongkong. Andai kata mereka mengkritik dasar-dasar pihak berkuasa penjajah, maka pasti mereka ditegur.

Hakikatnya ialah dasar mengawal kebebasan akhbar adalah sebahagian daripada fahaman imperialisme yang bercanggah dengan demokrasi dan hak asasi manusia. Di Tanah Melayu pada zaman penjajah, kongkongan di negeri-negeri Melayu adalah lebih ketat daripada di negeri-negeri Selat.

Di negeri-negeri Melayu termasuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (UFMS), sebarang komen mengenai Melayu lebih-lebih lagi kaitannya dengan Raja-raja Melayu, adat istiadat Melayu dan apatah lagi mengenai agama Islam amat dikongkong.

Walaupun di bawah penjajahan Inggeris tetapi pihak berkuasa Inggeris mengiktiraf kedaulatan Raja-Raja Melayu dan penguasaannya terhadap agama Islam. Maka jika terdapat penerbitan Melayu yang kritikal terhadap soal bangsa dan agama, maka mereka pasti dikenakan tindakan. Soal politik pastinya dipandang dengan penuh curiga.

Justeru, penerbit-penerbit berasa bebas untuk menerbitkan akhbar-akhbar di negeri-negeri Selat khususnya Singapura dan Pulau Pinang. Maka tidak hairanlah Utusan Melayu yang mula diterbitkan pada tahun 1930-an memilih Singapura sebagai tempatnya. Tetapi bukan saja aktiviti penerbitan yang lebih bebas di negeri-negeri Selat, aktiviti lain seperti penubuhan persatuan lebih bebas di Singapura. Maka tidak hairanlah persatuan Melayu pertama yang ditubuhkan ialah di Singapura iaitu Persatuan Melayu Singapura.

Kawalan tambah ketat

Semasa pemerintahan Jepun, pengawalan akhbar bertambah ketat dan teruk tetapi wartawan Melayu tetap bekerja di bawah Jepun itu. Mereka cuba berusaha mengambil ruang-ruang yang ada untuk memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara. Kisah ini jelas dipaparkan oleh Samad Ismail dalam novelnya Patah Sayap Terbang Jua.

Selepas Jepun menyerah, akhbar mengecapi lebih kebebasan, pada awalnya lebih luas lagi kerana pihak berkuasa penjajah belum masuk mengawal. Pada masa ini Pentadbiran Tentera British (BMA) belum benar-benar menunjukkan taringnya. Maka sesiapapun boleh menerbitkan akhbar sendiri.

Kisah ini dipaparkan oleh Ahmad Boestamam dalam bukunya Merintis Jalan Ke Puncak yang menceritakan bagaimana beliau menerbitkan akhbar Suara Rakyat dan Voice of the People di Taiping dengan mengkritik pihak penjajah secara bebas. Hanya kemudian BMA meminta akhbar itu memohon maaf setiap hari tetapi tidak menganggu tulisan yang tersiar.

Namun begitu, kawalan yang ada oleh pihak penjajah tidaklah seketat berbanding zaman merdeka. Itu ironinya. Akhbar lebih merdeka sebelum merdeka daripada selepas merdeka. Utusan Melayu bebas melaporkan apa saja. Selain itu terdapat juga akhbar Melayu lain yang bebas iaitu Warta Malaya.

Keadaan berubah selepas merdeka. Utusan Melayu dibeli oleh Umno dan bermulalah kawalan terhadap akhbar itu. Walaupun keberatan, Yusof Ishak, pemiliknya terpaksa tunduk kepada kehendak penguasa politik ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman. Wartawannya membantah dipimpin oleh pengarangnya Said Zahari. Tetapi mereka tidak berkuasa dan sejak itu Utusan Melayu dikawal oleh Umno.

Kongkongan terhadap Utusan Melayu berlaku selepas ia berhijrah ke Kuala Lumpur. Maknanya di Singapura, ia lebih bebas. Tetapi kemudian walaupun Yusof Ishak menjadi Presiden Singapura, akhbar Utusan Melayu diharamkan masuk ke Singapura. Ini ekoran laporannya yang dikatakan sebagai menghasut rusuhan kaum di Singapura. Maka zaman penjajah lebih memberi kebebasan daripada era Tunku Abdul Rahman dan Lee Kuan Yew.

Akhbar mulanya lebih bebas


Bagaimanapun ketika pilihan raya tahun 1964, terdapat tiga akhbar Melayu yang utama iaitu Utusan Melayu, Berita Harian dan Warta Negara. Keadaan masa itu, walaupun berdepan dengan konfrontasi dari Indonesia, suasana akhbar adalah lebih bebas daripada hari ini.

Sememangnya Utusan Melayu dan Berita Harian cenderung menyokong Perikatan yang memerintah. Tetapi Warta Negara yang teredar luas di bahagian utara Semenanjung memberi liputan yang saksama kepada PAS. Selepas pilihan raya, Warta Negara dibeli oleh Utusan Melayu.

Bertambah maju negara ini, bertambah terkongkong akhbarnya. Elit politik negara pimpinan Umno tidak menghormati atau menghargai kepentingan kebebasan akhbar. Akhirnya polisi ini memakan tuan.

Setelah generasi bergenerasi, rakyat hilang keyakinan terhadap akhbar arus perdana. Pada asalnya kongkongan akhbar bertujuan untuk mengukuhkan kuasa, tetapi akhirnya apabila kekuasaan itu tidak berasaskan pada kejujuran, maka keyakinan seseorang kepada penguasa terjejas, sekali dengan akhbar kongkongannya.

Kebenaran sendiri tidak boleh dikongkong. Kalau di zaman Kersatuan Soviet dahulu, ada dua akhbar utama yang dikongkong iaitu Pravda yang bermakna kebenaran dan Izvestia bermaksud berita, maka di Malaysia ada Utusan Malaysia dan ada Berita Harian. Hakikatnya tidak ada kebenaran dalam Pravda, dan juga tidak ada berita dalam Izvestia. Orang lebih mempercayai Samizdat, lembaran gelap pada zaman Soviet.

Di Malaysia orang lebih percaya surat layang pada tahun 70-an. Ini diikuti dengan kaset pada tahun 80-an, dan kemudian laman web pada tahun 90-an dan blog pada tahun 2000-an. Kebenaran akan mencari jalan sendiri dan akhirya Parti Komunis Kesatuan Soviet tumbang dengan Kesatuan Soviet juga tamat tempohnya. Kini akhbar bebas di sana.

Begitu juga di Indonesia. Akhirnya rejim Suharto tumbang dan kini akhbar bebas di sana. Lihatlah dalam sejarah. Penjajah Inggeris yang menguasai akhbar akhirnya tumbang. Begitu juga dengan penjajah Jepun. Begitu juga dengan parti komunis Soviet. Begitu juga dengan Suharto.

Siapa mengawal akhbar akhirnya akan tumbang. Ini adalah satu ingatan kepada Parti Komunis China dan kerajaan PAP di Singapura. Terhadap Malaysia, fikirlah sendiri. Ingatan ini bukan saja ditujukan kepada kerajaan Barisan Nasional tetapi juga Pakatan Rakyat.

PAS cadang wakil kesatuan sekerja dalam lembaga pengarah syarikat-syarikat

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan menggubal undang-undang yang menetapkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia melantik wakil kesatuan sekerja sebagai ahli lembaga pengarahnya.

Cadangan itu terkandung dalam lima cadangannya kepada kerajaan sempena Hari Buruh hari ini.

"Perkara itu telah lama dipraktikkan di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

"Kerajaan hendaklah menunjukkan teladan yang baik dengan memulakan amalan ini di dalam GLC," katanya sambil mengucapkan Hari Buruh dari PAS kepada para pekerja.

Beliau juga menggesa kerajaan melaksanakan cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan melaksanakan skim gaji minima RM1,200 sebulan.

"Selain itu, oleh kerana dari masa ke masa banyak kilang dan syarikat yang memberhentikan pekerja, kerajaan mestilah melaksanakan skim pampasan atau insurans pemberhentian kerja," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mencadangkan kerajaan mewujudkan skim biasiswa dan derma siswa kepada pekerja yang ingin melanjutkan pelajaran.

"Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula mesti dirombak supaya lebih prihatin, bertanggungjawab dan bertimbangrasa kepada para pekerja serta tidak terlalu birokratik," katanya lagi._

Akhil Hayy mengaku Waheeda isterinya!

Oleh WAHIDA ASRANI


SETELAH sekian lama asyik menepis spekulasi dan persoalan ramaitentang hubungan sebenar mereka, penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy akhirnya membuat pengakuan bahawa penyanyi popular, Waheeda adalah isterinya.

Lebih setahun kisah 'panas' mereka hebat diperkatakan. Dalam tempohitu, banyak juga kenyataan yang dikeluarkan oleh Waheeda dan Akhil sendiri berikutan isu mereka dikatakan telah berkahwin dan Waheeda menjadi isteri kedua Akhil.

Enggan menyembunyikannya lagi, Akhil akhirnya mengaku tentang 'status'mereka itu.

"Saya ingin membuat pengakuan di sini bahawa Waheeda adalah isteri saya...tetapi hanya di dalam program Cafe Akhil Hayy untuk musim kedua," kata penceramah bebas berusia 39 tahun itu yang ditemui padamajlis pelancaran program itu di Ampang, semalam.

Ternyata 'gimik' yang dibuat oleh Akhil itu agak mengejutkan media yang hadir di majlis tersebut yang rata-ratanya merasakan mereka akan membuat satu 'pengumuman' istimewa di situ apatah lagi bila melihat ibu bapa Waheeda sendiri hadir ke majlis itu bersama anaknya.

Malah, sikap 'sporting' yang dipamerkan oleh Waheeda dan Akhil yang akhirnya sanggup bergambar secara berdua pada majlis itu meyakinkan ramai media bahawa 'pasangan' ini mungkin sudah bersedia untuk 'mendedahkan' status sebenar mereka.

"Saya dah jangka pasti ramai wartawan yang beranggapan sedemikian. Memang benar Waheeda adalah isteri saya, tetapi itu adalah wataknya di dalam program Cafe Akhil Hayy kali ini.

"Waheeda membawakan watak bernama Hani Az-Zahra. Sebenarnya nama Waheeda dicadangkan sendiri oleh pihak Astro Oasis...mungkin mereka melihat kredibilitinya sebagai penyanyi dan pelakon yang menampilkanimej Islamik dan pada masa yang sama, dia turut terlibat denganaktiviti dakwah.

"Waheeda juga merupakan 'facilitator' di Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID)dan sebab itu saya rasa dia memang sesuai untuk turut serta dalam program ini. Kami digabungkan di dalam program inisekadar untuk berdakwah.

"Saya tahu dia mampu bawakan tugasnya dengan baik dan memang dia sendiri tahu apa yang perlu dilakukan terhadap wataknya itu," kata Akhil berceritakan serba-sedikit tentang pembabitan Waheeda di dalamprogram berunsurkan dakwah dalam bentuk santai yang telah pun memulakan siaran pertama musim kedua ini pada Rabu lalu, pukul 7.30 malam di saluran Astro Oasis.

Musim kedua program yang berelemenkan bual bicara dan drama ini bukan saja menampilkan Waheeda, malah mereka turut ditemani oleh bakat baru, Afiq AF5 dan Mimie Haris yang akan turut sama melayan kerenah pelanggan-pelanggan yang hadir di cafe tersebut.

"Ada juga penonton yang memberikan respon berdasarkan musim lalu dan minta kami buatkan lebih 'drama'. Tetapi ini sebenarnya adalah program bual bicara, cuma kita adunkan dalam sedikit bentuk drama.

"Kali ini juga kita turut menjemput tetamu-tetamu yang berjaya di dalam bidang masing-masing seperti Azmil Mustapha, Tan Sri Jins Shamsudin, Datuk Aziz Sattar dan Ustaz Radhi, bekas vokalis kumpulan Melissa.

"Topik-topik yang dibincangkan juga lebih global. Semua idea itu kita bincangkan terlebih dahulu dengan produksi sebab kita kena melihat juga sasaran penonton.

"Berdasarkan musim pertama dulu, memang saya tidak nafikan golongan remaja yang sering mononton program ini. Kalau boleh, kali ini kita mahu kelompok penontonnya lebih luas, tidak hanya kepada remaja sahaja," kata Akhil.

Mengulas mengenai pembabitannya dalam Cafe Akhil Hayy musim kedua ini, kata Waheeda, tindakannya ini bukan sengaja untuk 'mengiyakan' kontroversi yang melandanya dan Akhil, tapi tawaran ini sanggup digalasnya kerana merasakan ini juga merupakan salah satu medium yang baik untuk berdakwah.

"Jika musim pertama dulu, kita saksikan Akhil banyak fokus kepada aspek hukum-hakam, tetapi saya akan kupaskan lebih dari segi psikologi.

"Apapun, saya tidak rasakan pembabitan saya sepatutnya menjadi isu. Kami ni sebenarnya degil sikit...lagi banyak orang bercakap, lagi kami akan buat saja apa yang kami suka," kata Waheeda.

Dalam pada itu, peluang bertemu media itu juga digunakan sebaikn mungkin oleh Akhil dan Waheeda untuk menjelaskan hal sebenar tentang pelbagai spekulasi panas yang melanda diri mereka, termasuklah dikatakan telah bernikah di sebuah kawasan di Selangor pada tahun lalu.

"Benda ini memang tidak akan selesai. Saya pun tidak tahu mengapa hidup saya dilanda tsunami seperti ini. Mereka boleh bercakap apa saja, tetapi kamu nampak ke kami diijabkabulkan?

"Saya hanya berdoa agar kami terus kuat mengharungi perkara ini. Memang selalunya, orang tidak akan nampak yang putih, tetapi sedikit saja kesan hitam itulah yang orang akan nampak dulu," kata Akhil.

Tambah Waheeda pula, "Seteruk mana sebenarnya kes kami ini? Saya mintamaaf kerana mengatakan ini, tapi kenapa artis yang keluarkan kenyataan sebagai contoh, tidak salah berpakaian seksi asalkan dirinya selesa dengan pakaian itu atau kerana rasa dirinya masih muda, tidakdijadikan isu?"

Namun, kata Akhil, dia bagaimanapun redha dengan apa yang melanda hidupnya dan tidak merasakan dirinya telah menjejaskan status 'ustaz'.

"Saya pun tidak pernah merasakan diri saya hebat. Tetapi saya tetap bersyukur kerana orang menggelarkan saya ustaz. Apapun, kita kenalah faham. Walaupun sebagai seorang ustaz, dia juga adalah manusia biasa.

"Mungkin saya juga ada terlepas pandang tentang hal-hal tertentu, tapi apapun, dakwah tetap perlu diteruskan," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan isterinya berikutan kontroversi tersebut, kata Akhil:

"Dia tidak ada masalah. TapiaAsam garam rumahtangga bagi saya adalah peribadi," tuturnya.

Diajukan pula pertanyaan bagaimana boleh timbulnya gosip tentang mereka itu, dalam nada tenang, kata Akhil, dia sendiri tidak pasti bagaimana perkara ini mula menjadi buah mulut ramai dan merebak dengan cepat.

"Isu ini bukan kami yang mulakan. Dan sebab itulah kami tidak berdaya untuk hentikan. Jika diikutkan, saya dan Waheeda mula kenal sejak tahun 2006 ketika terbabit di dalam program Hijrah Remaja di saluran Astro.

"Dari situ saya nampak dia adalah seorang wanita Malaysia yang jumlah sepertinya hanya boleh dibilang dengan jari. Saya lihat dia ni menjaga apa yang perlu dia jaga dan sehingga kini, dia masih seperti itu," kata Akhil.

Akhil tidak berdisiplin?


Tatkala isu kontroversinya dengan Waheeda masih hangat diperkatakan, timbul sebuah lagi perkhabaran yang mengatakan Akhil sering tiba lewat di mana-mana majlis atau program.

Dengan imej yang ditampilkan serta turut menjadi ikon eksklusif Astro Oasis, perkara ini dilihat mampu menjatuhkan reputasinya.

"Ini saya akui mungkin adalah 'bad attitude' saya dan janganlah mencontohi dari aspek ini. Hakikatnya, saya juga manusia biasa dan tidak sempurna," tutur Akhil ringkas sambil menambah adakalanya kelewatan itu berpunca kerana kesibukannya mengadakan ceramah di merata-rata tempat.

Bercerita tentang ikon eksklusif Astro Oasis itu pula, kata Akhil, dia amat terharu dengan tawaran tersebut.

"Ini tanggungjawab yang besar untuk saya galas. Sebelum ini saya hanya banyak berdakwah di kampung-kampung, tapi kali ini sudah mula berdakwah menerusi program-program di kaca televisyen.

"Saya tidak pula merasakan saya adalah ikon, tetapi mungkin perkataan yang sesuai adalah 'idola'. Saya bukanlah idola yang terbaik, tapi mungkin pihak Astro melihat sesuatu mengenai pendekatan yang saya gunakan untuk berdakwah dengan khalayak," katanya.