Rabu, 7 Ogos 2013

Suruhanjaya siasat PRU13 Sgor bermula Oktober

 
Pihaknya kini sudah mengenal pasti beberapa tokoh akademik dan profesional yang akan dilantik sebagai anggota panel suruhanjaya tersebut.



PETALING JAYA: Selangor akan mula menjalankan siasatan terhadap kepincangan proses Pilihan Raya Umum (PRU) negeri itu melalui satu suruhanjaya khas bermula Oktober depan.

Timbalan Speaker Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya akan membentangkan garis panduan dan terma rujukan bidang kuasa suruhanjaya tersebut agar tidak bercanggah dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 atau mana-mana kuasa mahkamah.

Beliau yang juga penyelaras sekretariat berkata, pihaknya kini sudah mengenal pasti beberapa tokoh akademik dan profesional yang akan dilantik sebagai anggota panel suruhanjaya tersebut

“Mereka terdiri daripada tokoh yang dihormati termasuk bekas pegawai kerajaan dan bekas hakim,” katanya kepada FMT.

Katanya, selepas proses lantikan anggota selesai, suruhanjaya ini akan memulakan prosedur memanggil saksi berkaitan termasuk individu dan beberapa agensi kerajaan sehingga dijangka selesai pada hujung tahun ini.

“Suruhanjaya mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana individu hadir memberikan keterangan dan boleh dihadapkan ke mahkamah jika engkar,” katanya.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Jun lalu mengumumkan penubuhan Suruhanjaya itu akan menyiasat dakwaan penipuan dan pelanggaran peraturan pilihan raya di negeri itu semasa PRU13 Mei lalu.

Menurut Khalid, kerajaan Selangor berpendirian bahawa penyelewengan pilihan raya adalah kesalahan serius yang boleh merosakkan sistem demokrasi negara ini dan amat penting untuk kerajaan negeri menyiasat dakwaan itu bermula dari akar umbi.

Suruhanjaya itu nanti bagaimanapun tidak mempunyai kuasa mengisytiharkan atau membatalkan sesuatu keputusan pilihan raya, seperti kuasa petisyen yang ada pada Badan Kehakiman.

Nik Nazmi menegaskan hasil siasatan itu nanti tidak akan difailkan ke mahkamah sebaliknya akan dibentangkan secara terbuka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebaliknya, pembentangan hasil siasatan itu kemudiannya akan dijadikan sebagai rujukan oleh kerajaan negeri dan didokumenkan supaya satu sistem penambahbaikan pilihan raya dapat diwujudkan.

Tiada ulasan: