Memaparkan catatan dengan label PRK DUN CINI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK DUN CINI. Papar semua catatan

Ahad, 5 Julai 2020

Menang 6 PRK bukti BN masih relevan, diterima rakyat, kata Zahid

Calon BN, Mohd Sharim Md Zain meraikan kemenangannya pada PRK Chini
bersama kepimpinan BN di pusat penjumlahan undi di IKBN Pekan semalam.
(Gambar Bernama)

PEKAN: Kemenangan 6 kali dalam pilihan raya kecil (PRK), termasuk yang terbaru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini semalam membuktikan Barisan Nasional (BN) masih relevan dan diterima rakyat.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, berkata lambang dacing (BN) tidak lagi diterima rakyat terbukti tidak benar.

“Saya yakin 6 PKR ini (selepas pilihan raya umum ke-14) jelas memberikan suatu bukti BN bukan sahaja masih relevan, tetapi mempunyai masa depan cerah jika parti komponen serta sokongan Muafakat Nasional dapat membawa kejayaan pada PRU ke-15 nanti.

“Apatah lagi sekarang kita menyokong Perikatan Nasional. Kombinasi ini juga menyumbang kejayaan (kemenangan) selain pengundi Chini sendiri mahu kesinambungan perkhidmatan BN,” kata presiden Umno itu selepas pengumuman rasmi keputusan PRK Chini di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan malam tadi.

BN sebelum ini memenangi PRK Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Tanjung Piai dan Parlimen Kimanis.

PRK DUN Chini menyaksikan calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, menang dengan majoriti 12,650 selepas memperoleh 13,872 undi.

Pencabarnya, iaitu 2 calon bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, meraih 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, hanya mendapat 137 undi, menyebabkan kedua-duanya hilang deposit.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan formula calon muda yang diketengahkan membuahkan hasil dengan majoriti besar yang diperoleh BN.

Katanya, selain faktor calon muda, Sharim sudah dikenali segelintir besar penduduk DUN Chini kerana aktif dalam pelbagai persatuan belia, selain kerap membantu Adun sebelum itu, Abu Bakar Harun.

“Tapi sudah pasti kita sendiri mahu mengetengahkan calon muda untuk menjadi pelapis kepada perjuangan parti. Selain itu, faktor pengundi muda yang berusia antara 21 hingga 39 tahun lebih 55% di DUN Chini menjadikan beliau calon yang tepat.”

Selain itu, Wan Rosdy juga menyifatkan kerjasama jentera BN yang turut disokong PAS berdasarkan semangat Muafakat Nasional dan juga PPBM atas kerjasama PN sebagai faktor utama kemenangan Sharim.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian Abu Bakar, 60, pada 7 Mei lalu akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak PRU11 pada 2004.

Sokongan PAS itu boleh dilihat apabila Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, yang tewas kepada Abu Bakar pada PRU14, menjadi penyokong kepada Sharim pada hari penamaan calon 20 Jun lepas.

Fadhil berkata, sokongan PAS adalah keputusan pimpinan parti itu supaya akar umbi menyokong calon BN menerusi kerjasama dalam Muafakat Nasional.

“Kita bagi sokongan padu dan bersatu untuk beri komitmen terhadap calon BN dan inilah hasilnya,” katanya.

Khamis, 2 Julai 2020

Maklum balas awal petanda Chini kekal milik BN

Muhammad Azizul Osman
MGF020720_SARAPAN-BERSAMA-MASYARAKAT-DAN-ATLET_01-681x454
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah)
beramah mesra bersama penduduk semasa sarapan bersama masyarakat setempat dan atlet negara sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di sekitar Paloh Hinai, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK

CHINI – Keputusan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon anak muda bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadualkan 4 Julai ini adalah sangat tepat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yakin calon BN itu akan mendapat sokongan kukuh berdasarkan maklum balas pengundi.

“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya bangga apabila calon dalam kalangan pertubuhan belia yang juga Presiden Belia Felda ditampilkan.

“Melihat kepada reaksi positif rakyat tempatan, mudah-mudahan ia menjadi petanda awal.

”Reaksi yang diberikan itu memberi isyarat Chini akan tetap dipertahankan sebagai kubu kuat BN dan mudah-mudahan diberikan kemenangan yang cukup meyakinkan,” katanya kepada wartawan selepas mengadakan lawatan sempena siri kempen PRK DUN Chini di Paloh Hinai, hari ini.

MGF020720_SARAPAN-BERSAMA-MASYARAKAT-DAN-ATLET_06-1024x683
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina
Merican bercakap kepada media semasa sarapan bersama
masyarakat setempat dan atlet negara sempena Pilihan Raya
Kecil N.23 Chini di sekitar Paloh Hinai, Pahang. foto SYAFIQ
AMBAK

Dalam pada itu, pihak Kementerian Belia dan Sukan telah meluluskan dua projek gelanggang silat dan futsal bagi kemudahan riadah anak muda di Chini.

Ia selaras dengan dasar kerajaan yang mahukan golongan belia lebih aktif dan mengutamakan sukan.

“Saya sudah lihat kepada fasiliti sukan terutama gelanggang futsal. Hari ini sahaja saya terima tiga permohonan untuk bina gelanggang futsal, saya tidak mahu gunakan pentas ini sebagai gula-gula politik tapi hakikatnya ini adalah kesempatan yang saya ada untuk turun ke Chini.

“Saya dapati kawasan ini jauh dari bandar, memerlukan prasarana sukan seperti gelanggang futsal, silat kerana ramai daripada atlet yang terlibat dengan silat sehingga menjadi pemenang pingat emas dunia datang daripada Chini,” katanya lagi yang memberitahu anak-anak muda mahu lebih banyak kemudahan sukan diwujudkan di sekitar Chini.

Untuk rekod, segala fasaliti sukan hanya terdapat di Felda Chini Timur.

PRK DUN Chini yang berlangsung pada 4 Julai ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

DUN Chini merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan mempunyai 20,990 pengundi berdaftar, terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis. – MalaysiaGazette

Sabtu, 27 Jun 2020

Kempen PRK calon BN sudah meliputi 60 peratus

Muhammad Azizul Osman
MGF260620_MAJLIS-MEMPERKENALKAN-CALON-BN_10-681x454
Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) bergambar bersama
calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain (kanan) pada Majlis
Memperkenalkan Calon Barisan Nasional sempena sempena Pilihan Raya
Kecil N. 23 Chini di Dewan Mempelas, Kampung Salong, Pahang. foto
SYAFIQ AMBAK

CHINI – Mengakhiri kempen minggu pertama bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain berkata, kempen pilihan raya yang digerakkannya sudah meliputi 60 peratus.

Tambah beliau, kawasan yang sudah dikunjunginya meliputi kawasan perkampungan Orang Asli, kampung tradisi serta sekitar gugusan Felda Chini.

“Untuk tujuh hari akan datang kita akan menghabiskan saki baki peratusan kempen. Sekarang sudah 60 peratus dari segi berjumpa dengan pengundi dan kita akan cuba habiskan kepada semua pengundi di Chini.

“Saya akan berjumpa seramai mungkin pengundi muda dan orang lama untuk bersama beri kepercayaan kepada saya untuk calon BN,” katanya ketika berkempen bersama-sama Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Mohd Sharim dan Najib turut membuat lawatan ke Pusat Media yang disediakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

MGF260620_MAJLIS-MEMPERKENALKAN-CALON-BN_08-1024x683
Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi
Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan (dua kanan)
dan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain (dua kiri)
melaungkan kata-kata semangat pada Majlis Memperkenalkan
Calon Barisan Nasional sempena sempena Pilihan Raya Kecil N.
23 Chini di Dewan Mempelas, Kampung Salong, Pahang. foto
SYAFIQ AMBAK

Dalam pada itu, Mohd Sharim berkata, pengundi wanita terutamanya ibu tunggal tidak akan terpinggir.

Jelasnya, segala bantuan yang diterima akan terus dinikmati sekiranya beliau diangkat sebagai ADUN Chini yang baharu.

“Dulu masa allayarham Datuk Seri Abu Bakar banyak beri sumbangan kepada ibu miskin dan cara membantu mereka untuk berdikari dan meningkatkan pendapatan.

“Kita akan cuba untuk memastikan produk yang telah diusahakan oleh ibu tunggal jadikan satu produk untuk warga Chini.

“Pastinya kita akan cuba melihat daripada golongan wanita yang ada dan kita akan cuba melihat pada minat yang ada dan cuba untuk membantu melalui agensi yang ada di Pahang,” katanya lagi.

Untuk rekod, pengundi wanita di Chini berjumlah 10,721 orang yang meliputi 51 peratus daripada jumlah pengundi Chini manakala pengundi lelaki adalah pada 49 peratus dengan 10,267 orang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Chini, Pahang pada 4 Julai ini manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun. – MalaysiaGazette

Sabtu, 20 Jun 2020

SPR benar ceramah, ‘walkabout’, kempen rumah ke rumah untuk PRK Chini

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun (kanan) meninjau persiapan akhir di pusat penamaan
calon PRK DUN Chini di Pekan hari ini. (Gambar Bernama)

PEKAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminda beberapa prosedur operasi standard (SOP) dan membenarkan kembali 3 aktiviti kempen bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata, bagi memberi kelonggaran kepada calon dan parti untuk berkempen, aktiviti yang dibenarkan itu adalah berkempen secara berceramah, tinjauan mesra atau “walkabout” dan kempen dari rumah ke rumah.

Bagaimanapun, beliau berkata penganjur hendaklah memastikan pematuhan peraturan sedia ada serta SOP penjarakan sosial, memakai pelitup separuh muka, menggunakan pencuci pembasmi kuman, saringan suhu badan dan pengambilan rekod kehadiran.

“Bagi aktiviti ceramah politik, SPR membenarkan tidak lebih daripada 250 orang pada satu-satu masa dan tempat, tertakluk pada saiz kawasan serta terhad di premis tertutup sahaja.

“Aktiviti kempen dari rumah ke rumah pengundi dan ‘walkabout’ pula, hanya 3 orang sahaja dibenarkan sama ada calon atau penyokong parti pada satu-satu masa dan tempat,” katanya selepas melakukan tinjauan akhir di pusat penamaan calon PRK itu di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, di sini, hari ini.

Pindaan SOP bagi aktiviti kempen PRK Chini dibuat selaras dengan keputusan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diumum pada 16 Jun.

Azhar berkata, aktiviti bersentuhan atau bersalaman dengan bakal pengundi sama sekali tidak dibenarkan dan calon serta wakil calon yang terlibat dengan kempen ziarah dari rumah ke rumah dan program “walkabout” perlu mematuhi peraturan sedia ada dengan mengamalkan jarak 1 meter serta merekodkan senarai rumah yang dikunjungi.

Beliau berkata, calon digalakkan memaksimumkan kaedah kempen secara dalam talian atau melalui saluran media sosial.

Dalam pada itu Azhar turut mengingatkan calon yang akan bertanding serta parti politik untuk mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan pada hari penamaan calon esok.

Beliau berkata, kertas penamaan calon boleh dikemukakan mulai 9 pagi sehingga 10 pagi kepada pegawai pengurus pilihan raya di pusat penamaan calon di Dewan Utama IKBN Pekan.

Katanya hanya calon, pencadang dan penyokong, atau mana-mana 2 orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka, dibenarkan masuk ke dalam dewan utama itu bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Ditanya mengenai pembelian set borang pencalonan, Azhar berkata setakat ini sebanyak 10 set terjual dan ada daripada mereka telah membayar deposit pilihan raya berjumlah RM8,000 bagi setiap seorang.

DUN Chini, yang merupakan satu daripada 4 DUN dalam kawasan Parlimen Pekan, akan menyaksikan PRK pertama selepas PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

PRK DUN Chini dijadualkan pada 4 Julai berikutan kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung.

Pada PRU14 lepas, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065).

Sabtu, 13 Jun 2020

Sejuk mata memandang di Chini – Najib

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Chini, Pahang bagi melihat suasana persiapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri kawasan itu.

Barisan Nasional (BN) dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) dilihat bersedia untuk berkempen pada hari penamaan calon yang dijadualkan pada 20 Jun ini.

Bagaimanapun, MN dijangka menang tanpa bertanding apabila Pakatan Harapan dan PKR mengesahkan tidak meletakkan calon bagi PRK DUN itu.

Namun, perlu menunggu sehingga hari pencalonan bagi melihat sekiranya terdapat calon bebas akan bertanding bagi merebut kerusi berkenaan.

“Sejuk mata memandang. Bendera BN dengan Pas ada di sekitar Chini.”

Demikian kata Najib dalam Facebook yang turut disertakan gambarnya bertemu beberapa penduduk tempatan di sana.

 BACA > Pemuda PKR tolak Dr. Mahathir Perdana Menteri ke-9 — Suara Merdeka

MN bagaimanapun masih belum mengumumkan calon yang akan bertanding dalam DUN tersebut.

Sebelum ini, Suara Merdeka melaporkan terdapat ura-ura anak Najib, Mohd. Nizar Mohd. Najib akan diangkat sebagai calon.

Bagaimanapun, calon itu disokong Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Menurut beliau, Mohd. Nizar dikenali sebagai tidak sombong dan mempunyai hubungan yang baik dengan rakyat.

Terdahulu, kerusi DUN Chini diisytiharkan kosong oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, meninggal dunia akibat serangan jantung.

Allahyarham Abu Bakar dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 7 Mei lalu selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Allahyarham yang bertanding atas tiket BN mempertahankan kerusi dengan majoriti 7,675 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun kemudian menetapkan 4 Julai, Sabtu sebagai tarikh pengundian bagi PRK DUN Chini.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 30 Jun, Selasa iaitu 10 hari selepas tarikh penamaan calon.

SPR turut menetapkan 14 hari tempoh berkempen yang akan berakhir pada pukul 11.59 malam 3 Julai.

PRK DUN Chini adalah pertama kali diadakan ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Koronavirus Covid-19.

SPR bagaimanapun menyatakan bersedia untuk menghadapi PRK berkenaan dalam suasana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

BACA > Petronas perlu bayar cukai jualan Sarawak — Suara Merdeka

Menurut suruhanjaya itu, persediaan termasuk menyediakan khemah khas di 13 kawasan pusat mengundi bagi menempatkan pengundi yang mengalami gejala atau tidak sihat pada 4 Julai nanti. – SM

KKM sedia SOP untuk pesakit Covid-19 keluar mengundi dalam PRK Chini

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun dilaporkan berkata, SOP untuk pesakit Covid-19
keluar mengundi dalam PRK DUN Chini 4 Julai ini tertakluk kepada kelulusan KKM.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) bersama agensi berkaitan akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk membolehkan individu yang dijangkiti wabak Covid-19 mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Chini 4 Julai ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, SOP yang bakal diwujudkan itu tidak melibatkan pesakit yang berada di wad dan berstatus tenat.

“Kita akan lihat daripada senarai kes pesakit Covid-19 yang dikuarantin atau pun mereka yang dimasukkan ke wad.

Azhar Azizan Harun

“Tapi kalau pesakit yang tenat contohnya, jadi mungkin mereka tidak dibenarkan untuk keluar wad untuk melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi.

“KKM akan adakan SOP yang diteliti oleh pelbagai agensi sebelum kita boleh dilaksanakan untuk membenarkan (mereka positif Covid-19) mengundi,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan pengundi yang dijangkiti Covid-19, bergejala atau sedang dikuarantin mengundi dalam PRK DUN Chini.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun yang dipetik akhbar Sinar Harian bagaimanapun berkata, SOP itu adalah tertakluk kepada kelulusan KKM.

Ahad, 24 Mei 2020

‘Lupakan’ sahaja PRK Chini, Umno beritahu PH

PRK DUN Chini, Pahang bakal diadakan berikutan kematian penyandang
kerusi itu 2 minggu lepas.

PETALING JAYA: Seorang ahli Majlis Tertinggi Umno menggesa Pakatan Harapan (PH) supaya tidak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Chini di Pahang bulan depan berikutan pencapaiannya yang lemah di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada pilihan raya umum 2018.

Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, kerusi itu dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 4,622 undi dalam pertandingan 3 penjuru melibatkan PAS dan PH, yang berjaya memperolehi hanya lebih 1,000 undi atau 6% daripada jumlah undi.

Beliau berkata, dalam keadaan BN kini bekerjasama dengan PAS, keputusan PRK itu kelak “sudah hampir pasti”.

Mohd Sharkar Shamsuddin.

PRK akan menjadi “beban yang tidak perlu ke atas kewangan kerajaan, selain menimbulkan risiko kesihatan kerana wabak Covid-19”.

Sekiranya persaingan pada 2018 seimbang, maka PRK kali ini boleh dianggap demokratik dari segi keperluan mendapatkan mandat baru, tetapi berdasarkan keadaan semasa dan rendahnya kemungkinan PH meraih sokongan pengundi di situ, adalah lebih baik PH tidak bertanding,” katanya.

Beliau berkata, parti kerajaan dan pembangkang harus memperlihatkan semangat setiakawan demi kepentingan rakyat.

“Lagipun BN tidak bertanding dalam PRK Port Dickson demi kepentingan negara,” katanya merujuk kepada kerusi yang dimenangi presiden PKR Anwar Ibrahim dalam pertandingan 7 penjuru.

PRK Chini dijadualkan diadakan pada 4 Julai depan. Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Abu Bakar Harun 2 minggu lepas.


Sabtu, 23 Mei 2020

PAS sudah bincang, terima siapa saja calon BN, PN di Chini

PRK CHINI | PAS telah mengadakan perbincangan berhubung pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berikutan kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, pada 6 Mei lalu.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata perbincangan lanjut bersama Perikatan Nasional (PN) akan dibuat dalam masa terdekat ini.

"Kita dah bincang di peringkat kita (PAS) dan memandangkan kerusi tersebut adalah kerusi yang dimenangi oleh BN (sebelum ini), jadi kita akan mengadakan perbincangan yang lebih lanjut dengan BN dan PN untuk kerusi DUN Chini.

"Dan nanti keputusan akhir adalah daripada PN," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menjelaskan lanjut, Kamaruzzaman berkata PAS juga sepakat untuk memberi sokongan kepada sesiapa saja calon yang akan dipertaruhkan BN-PN pada PRK itu nanti.

"Dari sudut calon kita akan menerima siapa sahaja calon yang diputuskan... InsyaAllah oleh PN. Maknanya siapa sahaja calon PN kita akan terima dan kita akan mendukung calon tersebut," katanya.

Kamaruzzaman berkata demikian ketika diminta mengulas calon PRK DUN Chini, Julai depan.

PRK Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.

Pada PRU14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan calon PH (Bersatu) Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

Mengulas kaedah yang akan digunakan PN sepanjang kempen PRK DUN Chini memandangkan ia bakal berlangsung dalam suasana perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), Kamaruzzaman berkata jentera pilihan rayanya akan meneliti perkara itu.

"Kempen dalam keadaan PKPB ini, jentera pilihan raya kita nanti kita akan tengok bagaimana kaedah kempen yang terbaik untuk kita dekati pengundi di DUN Chini nanti.

"Jadi, bergantung kepada keadaan semasalah," katanya.

Pada 14 Mei lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan mengesahkan Umno akan meletakkan calon pada PRK DUN Chini.

Wan Rosdy yang juga menteri besar Pahang berkata, PAS juga tidak mempunyai masalah untuk Umno bertanding mempertahankan kerusi itu walaupun kedua-dua parti itu bertembung pada PRU14 lalu.

Umno dan PAS mula membentuk Muafakat Nasional (MN) sejak PRK Cameron Highlands pada Januari 2019 dan kerjasama itu diteruskan dalam beberapa siri pilihan raya kecil selepas itu.

MN bersama-sama dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin, GPS dan parti-parti kecil lain, membentuk kerajaan Perikatan Nasional yang runtuh susulan "Langkah Sheraton."


Jumaat, 22 Mei 2020

PRK Chini menguji MOU PN



PRK DUN Chini, Pahang telah ditetapkan pada Sabtu 4 Julai, manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun, pengundian awal 30 Jun 2020. Seperti sebelum ini PRK DUN Chini juga menetapkan masa mengundi 8 pagi hingga 5.30 petang, dengan 20 saluran baharu berbanding 46 saluran pada PRU14 mengikut kata Pengerusi SPR.

Walaupun lambat lagi PRK ini akan menguji MOU parti-parti yang bersama Pakatan Nasional (PN) dan kita akan lihat bagaimana BERSATU akan membantu UMNO dalam PRK nanti. Berstu boleh ambil peluang ini untuk turun berkempen kerana turun main-main pun PN pasti memang besar dan BERSATU boleh tumpang sekali dan kerjasama PN makin erat.


Berdasarkan kepada keputusan PRU-14 yang lalu. Nampaknya PH tak ada harapan langsung.

Bayangkan undi UMNO + PAS akan menjadi 15, 432 undi berbanding PH 1,065. Sah hilang deposit.


Hari ini Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata bahawa partinya masih sedang membuat tinjauan lapangan sebelum mengambil sebarang keputusan berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini.

"Memandangkan PKR bertanding di kerusi tersebut sejak PRU ke-10 (tahun 1999) parti sedang membuat tinjauan lapangan sebelum mengambil keputusan lanjut," katanya.

PKR bertanding di DUN Chini pada tahun 1999, menang dengan majoriti tipis, sebelum kalah di empat PRU berikutnya termasuk pada PRU ke-14 yang lalu.

Tapi jangan fikir banyak yang kita akan dengar nanti PKR akan kata demi untuk menjimat wang rakyat PH tidak akan bertanding. Ayat biasa untuk kencing rakyat. Daripada Malu hilang wang pertaruhan lebih baik kencing!

MR :  Alasan covid boleh juga! atau taja parti bebas


Rabu, 20 Mei 2020

PRK Chini: PKR sedang buat tinjauan lapangan

Malaysiakini


PRK CHINI | Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata bahawa partinya masih sedang membuat tinjauan lapangan sebelum mengambil sebarang keputusan berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini.

"Kami telah berbincang di mesyuarat Pakatan Harapan (PH) mengenai PRK Chini.

"Memandangkan PKR bertanding di kerusi tersebut sejak PRU ke-10 (tahun 1999) parti sedang membuat tinjauan lapangan sebelum mengambil keputusan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian katanya ketika ditanya tentang persediaan PKR menghadapi PRK DUN Chini yang dijadualkan pada 4 Julai ini.

Menurutnya, pusat PKR telah mengarahkan Pengerusi PKR Pahang Fuziah Salleh untuk membuat tinjauan di lapangan termasuk peluang partinya untuk memenangi PRK itu.

"Beliau (Fuziah) akan memberikan laporan kepada pusat. PKR masih menunggu laporan itu untuk mengambil langkah seterusnya," katanya lagi.

PKR bertanding di DUN Chini pada tahun 1999, menang dengan majoriti tipis, sebelum kalah di empat PRU berikutnya termasuk pada PRU ke-14 yang lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 15 Mei menetapkan PRK DUN Chini, Pahang diadakan pada Sabtu, 4 Julai depan.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun turut mengumumkan hari penamaan calon pada 20 Jun manakala tarikh mengundi awal ialah pada 30 Jun.

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 6 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi, dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

Kerusi itu mempunyai 20,990 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis.