Sabtu, 13 Jun 2020

Sejuk mata memandang di Chini – Najib

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Chini, Pahang bagi melihat suasana persiapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri kawasan itu.

Barisan Nasional (BN) dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) dilihat bersedia untuk berkempen pada hari penamaan calon yang dijadualkan pada 20 Jun ini.

Bagaimanapun, MN dijangka menang tanpa bertanding apabila Pakatan Harapan dan PKR mengesahkan tidak meletakkan calon bagi PRK DUN itu.

Namun, perlu menunggu sehingga hari pencalonan bagi melihat sekiranya terdapat calon bebas akan bertanding bagi merebut kerusi berkenaan.

“Sejuk mata memandang. Bendera BN dengan Pas ada di sekitar Chini.”

Demikian kata Najib dalam Facebook yang turut disertakan gambarnya bertemu beberapa penduduk tempatan di sana.

 BACA > Pemuda PKR tolak Dr. Mahathir Perdana Menteri ke-9 — Suara Merdeka

MN bagaimanapun masih belum mengumumkan calon yang akan bertanding dalam DUN tersebut.

Sebelum ini, Suara Merdeka melaporkan terdapat ura-ura anak Najib, Mohd. Nizar Mohd. Najib akan diangkat sebagai calon.

Bagaimanapun, calon itu disokong Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Menurut beliau, Mohd. Nizar dikenali sebagai tidak sombong dan mempunyai hubungan yang baik dengan rakyat.

Terdahulu, kerusi DUN Chini diisytiharkan kosong oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, meninggal dunia akibat serangan jantung.

Allahyarham Abu Bakar dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 7 Mei lalu selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Allahyarham yang bertanding atas tiket BN mempertahankan kerusi dengan majoriti 7,675 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun kemudian menetapkan 4 Julai, Sabtu sebagai tarikh pengundian bagi PRK DUN Chini.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 30 Jun, Selasa iaitu 10 hari selepas tarikh penamaan calon.

SPR turut menetapkan 14 hari tempoh berkempen yang akan berakhir pada pukul 11.59 malam 3 Julai.

PRK DUN Chini adalah pertama kali diadakan ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Koronavirus Covid-19.

SPR bagaimanapun menyatakan bersedia untuk menghadapi PRK berkenaan dalam suasana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

BACA > Petronas perlu bayar cukai jualan Sarawak — Suara Merdeka

Menurut suruhanjaya itu, persediaan termasuk menyediakan khemah khas di 13 kawasan pusat mengundi bagi menempatkan pengundi yang mengalami gejala atau tidak sihat pada 4 Julai nanti. – SM

Tiada ulasan: