PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) bersama agensi berkaitan akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk membolehkan individu yang dijangkiti wabak Covid-19 mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Chini 4 Julai ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, SOP yang bakal diwujudkan itu tidak melibatkan pesakit yang berada di wad dan berstatus tenat.
“Kita akan lihat daripada senarai kes pesakit Covid-19 yang dikuarantin atau pun mereka yang dimasukkan ke wad.
“Tapi kalau pesakit yang tenat contohnya, jadi mungkin mereka tidak dibenarkan untuk keluar wad untuk melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi.
“KKM akan adakan SOP yang diteliti oleh pelbagai agensi sebelum kita boleh dilaksanakan untuk membenarkan (mereka positif Covid-19) mengundi,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan pengundi yang dijangkiti Covid-19, bergejala atau sedang dikuarantin mengundi dalam PRK DUN Chini.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun yang dipetik akhbar Sinar Harian bagaimanapun berkata, SOP itu adalah tertakluk kepada kelulusan KKM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan