Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui gembira mendapat ruang berkempen
untuk calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Perdana Menteri berkata beliau tidak akan membiarkan apa yang berlaku
pada masa lampau menggugat kesepakatan dalam HARAPAN dan masa depan
negara.
“Ya, memanglah Anwar dengan saya tidak berapa baik (sebelum ini),
tapi jangan lupa dia masuk Umno dan menjadi menteri (dulu) kerana saya
juga,” katanya semasa berucap dalam majlis Ceramah Mega Mahathir-Anwar
Gandingan Mantap Harapan Malaysia di PD waterfront di Port Dickson,
malam tadi.
Ini kali pertama Dr Mahathir selepas 20 tahun berkongsi pentas dengan
Anwar bagi membantu Ketua Umum PKR itu menghadapi PRK, Sabtu ini
"Kalau saya nak fikir tentang perkara itu, kalau Anwar nak fikir
tentang apa terjadi kepada dia saya tidak fikir kita boleh bersatu,"
katanya Dr Mahathir, yang juga Pengerusi HARAPAN.
Ketepikan permusuhan lama
Beliau berkata sekiranya perkelahian lama masih dibangkitkan, maka
sukar pemimpin yang ada bersatu dan mencapai matlamat yang lebih besar
berbanding peribadi dan juga parti.
Dr Mahathir berkata demi menjatuhkan kerajaan yang menekan rakyat
sebelum ini, beliau bersama kesemua pemimpin HARAPAN sanggup
mengetepikan masalah peribadi demi menyelamatkan negara.
"Kalau mahu menang, kita kena berpakat, jelas dan ikhlas dan untuk ini tidak boleh ingat kembali permusuhan lama,” tegasnya.
Sementara itu, Anwar menyifatkan Dr Mahathir sebagai individu terbaik untuk memimpin negara ketika ini.
Katanya, dalam kemelut politik dan ekonomi yang getir, Malaysia
bertuah kerana mempunyai seorang tokoh seperti Dr Mahathir untuk
menyelamatkan negara daripada keruntuhan.
"Apa yang dilakukan oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak merosakkan semua institusi termasuk institusi yang diasaskan untuk
memelihara kepentingan rakyat seperti Felda dan Tabung Haji.
"Kalau ditanya kepada saya, dalam keadaan sekarang lebih baik, Tun Dr
Mahathir pimpin Malaysia. Saya sebut ini dengan ikhlas. Saya kenal
dia...Dia adalah orang terbaik memimpin Malaysia,” katanya semasa
berucap sebelum giliran Dr Mahathir.
Turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang
juga Timbalan Perdana Menteri, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH),
Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Menteri Besar
Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, berkata, jika terpilih sebagai
anggota Parlimen, beliau mahu menumpukan kepada usaha mereformasikan
insitusi Parlimen dan memperkasakan fungsinya membantu kerajaan.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk semua anggota pimpinan
dalam HARAPAN untuk memberikan sokongan dan dokongan kepada Dr Mahathir
untuk terus memimpin negara.
"Saya tahu, sebagai perdana menteri beliau datang kempen untuk
pilihan raya kecil, bila dia datang ke Port Dickson saya rasalah,
agaknyalah kasih yang dahulu terpendam menyemarak semula," katanya.
Kira-kira 9,000 orang hadir ceramah itu.
PRK itu pada Sabtu ini akan menyaksikan pertandingan tujuh penjuru
antara Anwar, calon PAS, Lt.Kol (B) Mohd Nazri Mokhtar dan lima calon
Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa
Samad.
- Bernama