Isnin, 8 Oktober 2018

TUMPANG KERETA MENTERI BUKANNYA BERKEMPEN – ANWAR




Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan BERSIH yang dilihat terlalu ketat menetapkan syarat kempen termasuk isu penggunaan jentera kerajaan pada kempen
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Menurut calon Pakatan Harapan (PH) itu, berkata SPR perlu mempertimbangkan kembali beberapa syarat kempen supaya calon diberi kelonggaran.

“Kadangkala perlu ada kelonggaran diberikan kepada calon.

“Seperti semasa saya menaiki kereta Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu untuk berbincang kira-kira 10 minit baru-baru ini yang ditegur sebagai salah guna. Bukannya saya berkempen. Saya fikir SPR perlu pertimbanglah.

“Yang penting tidak ada menteri umumkan projek semasa PRK, itu salah guna paling besar tetapi tidak berlaku kali ini,” katanya dalam sidang akhbar dalam Program Santai Pagi di Taman Tanjung Gemok, Port Dickson, pagi Isnin.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan baru-baru ini mengingatkan supaya aset atau kemudahan kerajaan tidak digunakan bagi tujuan kempen dan suruhanjaya itu mengambil perhatian terhadap perbuatan yang menimbulkan reaksi negatif semasa PRK kali ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau dan pemimpin PH menyambut baik arahan SPR supaya menteri Kabinet dan ahli politik yang memegang jawatan dalam kerajaan tidak berkempen semasa waktu bekerja.


Tiada ulasan: