Ahad, 7 Oktober 2018

Penganjur konsert di PD kata kos 'tak terlalu tinggi'

 
   

PRK PD | Penganjur konsert Picnic @ PD menjelaskan bajet bagi acara itu malam tadi tidak terlalu tinggi dan ia disumbangkan oleh Pertubuhan Khidmat Kebajikan Masyarakat Madani (Madani) serta beberapa individu lain.

Perkara itu timbul berikutan kebimbangan wang rakyat digunakan dalam kempen calon Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya Port Dickson.

Anwar dan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut menghadiri konsert berkenaan dan menyampaikan ucapan mereka di hadapan lebih 2,000 penonton yang menghadiri konsert percuma itu.

Picnic @ PD menampilkan beberapa artis popular tanah air seperti Datuk M Nasir, Datuk Hattan dan Awie.

Wakil jawatankuasa penganjur, Arief Imran berkata Anwar dan Wan Azizah tidak diberikan undangan eksklusif ke konsert itu dan  calon-calon PRK yang lain turut diundang sama.




Sementara itu, Setiausaha Kelab Anwar Ibrahim (AIC), Azmi Nor, berkata konsert itu dirancang sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pilihan raya kecil berkenaan yang akan berlangsung pada 13 Okt ini.

Berdasarkan poster acara, Picnic @ PD dianjurkan oleh Madani, AIC dan Muafakat Anak Muda.
Azmi berkata AIC hanya bertindak sebagai "konsultan" kerana mempunyai pengalaman menganjurkan pelbagai acara.

Beliau berkata objektif utama konsert itu adalah untuk memperkenalkan Port Dickson sebagai destinasi pelancongan, membantu usahawan tempatan dan mengumpul dana bagi anak-anak anggota tentera.

Beliau berkata sumbangan yang dikumpulkan pada acara itu akan disalurkan kepada Persatuan Veteran ATM (PVATM).

Bagaimanapun, Arief dan Azmi tidak memberikan angka yang tepat bagi penganjuran konsert berkenaan.

Azmi berkata beliau tidak mengetahui kos keseluruhan memandangkan kebanyakan tugas untuk menyempurnakan konsert tersebut diserahkan kepada kontraktor tempatan di Port Dickson.

"Perkara yang paling penting ialah kami ingin bantu usahawan tempatan terutamanya di Port Dickson.

"Ini adalah projek perintis pertama kami di Port Dickson dan kami ingin tunjukkan potensinya untuk menjadi destinasi pelancongan utama seperti Batu Ferringhi atau Langkawi," katanya.




Menurut Azmi, tapak jualan pada konsert itu diberikan secara percuma kepada kontraktor atau orang tengah yang kemudian menyewakannya kepada peniaga.

"Dia (orang tengah) yang mencari peniaga, dia yang sewakan tapak. Kami bagi tapak secara percuma, dia yang mencari perniaga untuk dapatkan tapak," katanya.

Menurutnya beliau difahamkan peniaga dikenakan caj sewa sebanyak RM1,000 oleh kontraktor berkenaan.

Minggu lepas, badan pemantau pilihan raya BERSIH menyeru semua calon PRK Port Dickson menunjukkan komitmen mereka terhadap pilihan raya yang bebas dan adil.

SPR menggesa semua pihak tidak melanggar undang-undang pilihan raya termasuk memberi makanan percuma dan menyalahgunakan kemudahan kerajaan semasa kempen masing-masing.

Khamis lalu, Pemangku Pengerusi BERSIH Shahrul Aman Mohd Saari dalam sebuah portal membangkitkan isu mengenai kos konsert Picnic @ PD yang tidak diketahui.

Katanya, SPR harus memastikan tiada calon PRK menggunakan konsert untuk memancing undi.


Tiada ulasan: