Ahad, 7 Oktober 2018

Kempen Anwar hampir semua kawasan PD

THE MALAYSIAN TIMES
 


PORT DICKSON: Kempen calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson telah meliputi hampir semua kawasan meskipun berhadapan dengan cabaran mengejar masa daripada satu lokasi ke lokasi yang lain.

Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata dalam kempen yang telah memasuki setengah daripada 14 hari tempoh berkempen, semua program yang diaturkan berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden.

“Itu (lokasi) adalah salah satu daripada kekangan yang kita hadapi semasa berkempen ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) di sini, hari ini.

Ditanya mengenai sokongan pengundi dan orang ramai terhadap Anwar setakat ini, beliau berkata sokongan terhadap Ketua Umum PKR itu didapati semakin meningkat.

Ahmad Fahmi berkata bagi mengekalkan momentum itu, pihaknya akan berusaha mengadakan lebih banyak program menyantuni semua lapisan masyarakat Port Dickson.

Sementara itu, beliau berkata PH kini juga berusaha keras untuk memastikan pengundi di luar Parlimen Port Dickson supaya pulang mengundi pada 13 Okt ini.

“Bagi ibu bapa yang mempunyai anak atau saudara-mara yang tinggal di luar kawasan Port Dickson, kita akan mula memberi mesej kepada mereka ‘kalau anda gembira, bukan tepuk tangan tetapi hubungi (telefon) anak anda dan saudara-mara, jemput mereka pulang untuk mengundi pada 13 Okt ini’.

Dalam pada itu, beliau meminta para majikan supaya dapat memberi kelepasan kepada pekerja masing-masing menjalankan tanggungjawab mereka.

PRK berkenaan menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Anwar, calon PAS Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Okt ini sebagai hari pengundian dan Selasa depan sebagai hari pengundian awal.– Bernama

Tiada ulasan: