SELEPAS dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana
didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42
juta dana SRC International Sdn Bhd minggu lalu, Datuk Seri Najib Razak
kembali ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan kes 1Malaysia Development
Bhd (1MDB) membabitkan RM2.3 bilion.
Bekas perdana menteri ketujuh itu, yang dibebaskan dengan jaminan
RM2 juta dan penyokongnya dilihat memakai pelitup muka sepanjang
perbicaraan.
Prosiding hari ini bermula dengan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed
meneruskan soal balas terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk
Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 50, yang memberikan keterangan sejak 23
September tahun lalu.
Selepas diajukan beberapa soalan berkaitan pengambilalihan sebuah
syarikat tenaga iaitu Mastika Lagenda Sdn Bhd oleh 1MDB, Shahrol Azral
bersetuju dengan cadangan Wan Aizuddin bahawa urus niaga itu hanyalah
satu wayang bagi menipu lembaga pengarah.
"Pada masa itu (2012), saya tidak tahu tetapi kini berdasarkan pengalaman, ya," kata saksi itu.
Mastika Lagenda memiliki 75 peratus saham dalam syarikat Genting
Sanyen Power Sdn Bhd (GSP), yang sebelum ini dilaporkan diambil alih
oleh 1MDB selepas mendapat persetujuan menyeluruh daripada Najib.
Wan Aizuddin berkata, berdasarkan fakta, tidak ada persetujuan
bertulis daripada lembaga pengarah dan Najib, yang ketika itu mewakili
Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) untuk meneruskan
pengambilalihan Mastika Lagenda.
Beliau berkata, perkara yang sama berlaku bagi tawaran opsyen untuk
pengambilan 49 peratus saham ekuiti dalam 1MDB Energy Holdings Ltd, anak
syarikat 1MDB.
Shahrol Azral bagaimanapun tetap mengatakan bahawa beliau mendapat persetujuan menyeluruh untuk meneruskannya.
Meskipun beliau diasak berkali-kali mengenai dakwaan bersubahat
dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan tokoh
lain yang terbabit dalam skandal 1MDB untuk menggelapkan berjuta-juta
ringgit daripada syarikat itu, Shahrol Azral tetap mengatakan bahawa
beliau tidak terbabit langsung dengan mereka.
Terdahulu, Hakim Collin Lawrence Sequerah bertanya berapa lama lagi
pembelaan akan menyoal balas saksi itu dan Wan Aizuddin menjawab dua
minggu.
Wan Aizuddin memaklumkan mahkamah bahawa peguam utama Najib iaitu
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan meneruskan soalan balas terhadap
saksi itu esok.
Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk
memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21
pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.
'Wallahi Wabilahi Watallahi bahawa saya tidak menuntut RM42 juta'
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melafazkan
sumpah laknat dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika diberi
peluang bercakap selepas penghujahan mitigasi pendakwaan dan pembelaan.
Dalam ucapannya, Najib antara lain
menegaskan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai wang milik SRC
International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta itu.
"Sebagai seorang muslim, walaupun saya
sudah katakan, izinkan saya mengucapkannya lagi. Wallahi Wabilahi
Watallahi … bahawa saya tidak menuntut RM42 juta, saya tidak merancang
RM42 juta itu dan RM42 juta tidak ditawarkan kepada saya dan belum ada
bukti mengatakan demikian. Hanya itu yang saya mahu katakan,” katanya
seperti dipetik media tempatan.
Tambah Najib, sejak beliau memegang
jawatan sebagai Perdana Menteri selama hampir 10 tahun, pelbagai
perubahan dari infrastruktur sehinggalah kepada pendapatan golongan
nelayan.
“Sejak saya memegang jawatan sebagai PM
selama sembilan tahun, saya berjaya membawa peningkatan ekonomi negara
kepada 5.9 peratus pada 2019. Kita juga melihat pasaran stok meningkat
kepada 1900 point tertinggi dalam sejarah Kuala Lumpur Stock Exchange
(KLSE).
“Pada pemerintahan saya, pelbagai
infrastruktur mega dibina termasuk pengangkutan awam, perkhidmatan
kesihatan awam. Saya juga memastikan golongan sederhana, nelayan,
penjawat awam ditingkatkan pendapatan mereka dengan program berskala
besar,” ujar veteran politik itu.
KUALA LUMPUR: Orang ramai terdiri daripada media tempatan dan
antarabangsa serta penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak mula berkumpul
di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini bagi mengikuti
keputusan kes beliau atas dakwaan penyelewengan RM42 juta dana SRC
International Sdn. Bhd.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, penyokong Najib mula berkumpul
sejak 6.30 pagi dan berpakaian serba merah tanda solidariti terhadap
bekas perdana menteri keenam itu.
Pasukan keselamatan turut berada di luar mahkamah bagi memastikan tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Najib dijangka tiba pada pukul 9 pagi ini. – UTUSAN ONLINE
Najib Razak merupakan perdana menteri pertama negara berdepan pertuduhan jenayah.
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia, dan mungkin juga penduduk dunia,
menanti dengan penuh debaran tarikh 28 Julai atau Selasa ini untuk
mengetahui nasib bekas perdana menteri Najib Razak didakwa
menyelewengkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Tarikh itu bakal dicatat sebagai detik penting dalam sejarah
kehakiman Malaysia yang menyaksikan Mahkamah Tinggi memutuskan sama ada
Najib, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-67 pada Khamis lepas,
didapati bersalah atau sebaliknya.
Beliau berdepan 3 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), 3 pertuduhan
pengubahan wang haram dan 1 pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan
dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang
kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.
Najib, perdana menteri ke-6 dari 2009 hingga 2018, menjadi ketua negara pertama di Malaysia yang diheret ke mahkamah.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan menjadi tumpuan
pada Selasa ini kerana beliau bakal menentukan nasib Najib apabila
memikul tanggungjawab untuk membuat keputusan dalam kes itu, yang
dijangka diumumkan pada kira-kira 10 pagi.
Pada 5 Jun lepas, beliau menetapkan 28 Julai untuk mengumumkan
keputusan dalam kes itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak pada
akhir kes pembelaan yang bermula pada 1 Jun.
Pada 11 Nov 2019, hakim mengarahkan Najib membela diri atas kesemua
pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membukti kes prima
facie terhadapnya.
Dalam penghakimannya, Mohd Nazlan antara lain memutuskan bahawa Najib
menggunakan kedudukan atau kuasanya bagi mendapatkan ganjaran dan
menggunakan dana SRC sebanyak RM42 juta, yang beliau mempunyai
kepentingan, untuk kepentingan peribadi dan manfaat sendiri.
Hakim itu juga memutuskan bahawa tertuduh mempunyai pengaruh yang
besar, di samping kuasa penuh dalam SRC dan pendakwaan berjaya
membuktikan terdapat unsur pecah amanah oleh Najib yang melibatkan dana
syarikat itu.
Bagi 3 pertuduhan pengubahan wang haram, Mohd Nazlan berkata, hasil
RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Najib adalah berasal daripada
aktiviti haram seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan CBT.
Pada 3 Dis 2019, Najib memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan untuk menjawab pertuduhan terhadapnya.
Pembelaan memulakan kesnya dengan Najib membaca penyataan saksi
setebal 243 muka surat yang menyentuh, antara lain, pelantikan pengarah
dana pelaburan negara 1MDB dan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).
Najib, yang juga menteri kewangan ketika beliau menyandang jawatan
perdana menteri, turut bercakap panjang tentang penubuhan 1MDB, peranan
ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai
Jho Low, dalam penubuhan TIA yang kemudian dikenali sebagai 1MDB, serta
idea di sebalik penubuhan SRC.
Ahli Parlimen Pekan itu juga memberitahu mahkamah bahawa beliau
“terkejut” semasa menerima RM42 juta daripada SRC dalam akaun bank
peribadinya pada Disember 2014 dan Februari 2015, namun beliau tidak
memulangkan wang itu kerana ingin melihat hasil siasatan yang dijalankan
pihak berkuasa.
Dalam keterangannya, Najib juga mengaku memasukkan perkataan
“bersetuju” dalam minit mesyuarat di atas sepucuk surat daripada SRC
yang meminta persetujuan beliau sebagai menteri kewangan bagi pinjaman
sebanyak RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)
(KWAP).
Najib berkata, beliau memasukkan perkataan itu ke dalam minit
mesyuarat untuk perhatiannya sendiri bagi menunjukkan sokongan kepada
permohonan pinjaman oleh SRC.
Beliau menambah bahawa ketika itu, perkara tersebut adalah isu semasa
dan menarik perhatiannya, jadi beliau memutuskan untuk memanjangkan
sokongan kepada permohonan yang dikemukakan SRC pada 3 Jun 2011.
Bagaimanapun katanya, perkataan “bersetuju” itu tidak membawa maksud bahawa ia adalah muktamad dan tidak boleh diubah.
Turut memberi keterangan pada peringkat pembelaan ialah 2 bekas ketua
pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu
Dzulkfili Ahmad serta Latheefa Koya dan bekas peguam negara Mohamed
Apandi Ali.
Pendakwaan diketuai timbalan pendakwa raya ad hoc V Sithambaram, manakala Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan.
Perbicaraan itu bermula pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama.
Semasa perbicaraan, pendakwaan mengemukakan lebih 750 eksibit,
termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank Najib, dokumen transaksi
tunai, minit mesyuarat dan perbualan menerusi Blackberry Messenger
berhubung transaksi bekas perdana menteri itu.
Saksi yang memberi keterangan, termasuk pengurus Cawangan AmBank
Jalan Raja Chulan R Uma Devi; bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) KWAP
Azian Mohd Noh, bekas anggota lembaga pengarah SRC Ismee Ismail dan
pengarah bukan eksekutif SRC Suboh Md Yassin.
Turut memberi keterangan bekas ketua setiausaha Kementerian Kewangan
Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu
Ging Ping; bekas menteri kewangan II Ahmad Husni Hanadzlah dan pegawai
penyiasat Rosli Husain.
Pada mulanya Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai
2018 yang menyaksikan beliau berdepan 3 pertuduhan CBT dan 1 pertuduhan
menyalahgunakan kedudukan.
Pada 8 Ogos 2018, beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sekali lagi
dan berdepan 3 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.
Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan kesemua pertuduhan digabung dalam 1 perbicaraan.
Bagi pertuduhan CBT, Najib sebagai seorang ejen dan penjawat awam,
iaitu perdana menteri dan menteri kewangan serta penasihat emeritus SRC
International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng RM27 juta dan RM5 juta
daripada dana sebanyak RM4 bilion milik SRC.
Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di AmIslamic Bank
Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini
antara 24 Dis 2014 dan 29 Dis 2014.
Bagi pertuduhan ke-3, Najib didakwa menyeleweng RM10 juta daripada
RM4 bilion milik SRC di tempat sama antara 10 Feb 2015 dan 2 Mac 2015.
Ketiga-tiga pertuduhan adalah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan
yang memperuntukan hukuman maksimum penjara 20 tahun dengan sebatan dan
boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya, Najib sebagai
perdana menteri dan menteri kewangan, didakwa menggunakan kedudukannya
untuk melakukan rasuah membabitkan RM42 juta menerusi penglibatan atau
penyertaannya dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi
pinjaman yang dipohon daripada KWAP oleh SRC yang berjumlah RM4 bilion.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat perdana menteri,
Presinct 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 17 Ogos 2011
dan 8 Feb 2012 mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang
membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda 5 kali ganda nilai
rasuah atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima RM27
juta, RM5 juta dan RM10 juta hasil aktiviti haram menerusi Sistem
Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Tepat Masa (Rentas) ke
dalam 2 akaun AmIslamic Bank Berhad beliau bernombor 2112022011880 dan
2112022011906.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, AmBank
Group Building, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 26 Dis, 2014,
dan 10 Feb, 2015.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pengubahan Wang Haram,
Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram
(AMLATFPUAA) 2001 dan jika sabit kesalahan, bekas perdana menteri itu
berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda 5 kali ganda nilai
hasil haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, bagi setiap
pertuduhan.
Selain 7 pertuduhan membabitkan dana SRC, Najib berdepan 4 pertuduhan
menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan ganjaran sebanyak RM2.3
bilion membabitkan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram
membabitkan wang sama.
Kes itu masih dibicarakan di peringkat pendakwaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.
Najib turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan
pindaan terhadap laporan akhir audit 1MDB yang dimuktamadkan ketua audit
negara sebelum laporan itu sekali lagi dimuktamad dan dibentang di
hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang
tindakan diambil terhadapnya.
Manakala itu, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy
didakwa bersubahat dengan Najib melakukan pindaan itu bagi melindungi
beliau daripada diambil tindakan.
Kes itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.
Najib juga berdepan 3 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan
RM27 juta dana SRC dan ia masih di peringkat pengurusan kes di hadapan
Mohamed Zaini.
Beliau juga berdepan 6 pertuduhan CBT membabitkan RM6.6 bilion
bersama bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Mohd
Irwan Serigar Abdullah berkaitan urusan membabitkan pembayaran kepada
International Petroleum Investment Company (IPIC) di hadapan Mohd
Nazlan. Kes itu belum dibicarakan.
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan
Datuk Seri Najib Tun Razak membayar cukai pendapatan tertunggak
sebanyak RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache ketika membacakan keputusan
selama kira-kira 30 minit memutuskan untuk membenarkan permohonan
penghakiman terus LHDN dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri itu.
Penghakiman terus akan menyebabkan mahkamah membuat keputusan
tanpa perlu menjalani perbicaraan penuh, termasuk mendengar keterangan
daripada saksi.
“Saya telah meneliti setip hujah kedua-dua belah pihak sebelum ini.
Di bawah Akta Cukai Pendapatan Seksyen 106(3), mahkamah tidak dapat
melayan rayuan mana-mana individu yang hendak pertikai pernilaian oleh
pegawai LHDN ini.
“Mahkamah tidak boleh menyatakan nilai itu keterlaluan mahupun telah
dinilai dengan salah walaupun tertuduh telah menyatakan jumlah yang di
nilai itu adalah bentuk sumbangan dan tidak boleh dikenakan cukai.
“Maksud bayar dulu kemudian cakap mungkin tampak agak kasar tetapi
tujuan undang-undang ini dilaksanakan juga ada sebabnya kerana banyak
kes berlaku di negara ini.
“Seandainya pembayar cukai ini kesnya didengar, sini bukan tempatnya sebaliknya perlu dibawa ke Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan untuk dengar oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan,” katanya.
Difahamkan Najib telah memfailkan rayuan terhadap notis penilaian LHDN kepada tribunal itu sebelum ini.
Pada 8 Ogos lalu, Najib memfailkan permohonan untuk meneruskan
prosiding saman sementara menunggu rayuan penilaian semula cukainya
dengan mendakwa beliau mempunyai peluang yang tinggi untuk memenangi
rayuan penilaian semula cukai itu.
Pada 25 Jun lalu, kerajaan memfailkan saman terhadap Najib bagi
menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar RM1.69 bilion cukai
pendapatan LHDN yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga
2017.
Kerajaan selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi LHDN pada 25 Jun lalu dengan menamakan Najib selaku defendan tunggal.
Dalam saman itu, kerajaan menuntut Najib membayar RM1,692,872,924.83,
faedah atas jumlah wang berkenaan pada kadar lima peratus setahun dari
tarikh penghakiman sehingga kes selesai, kos dan apa-apa relif yang
sesuai oleh mahkamah.-MalaysiaGazette
DATIN Seri Rosmah Mansor yang berdepan pertuduhan rasuah berhubung
pembekalan dan pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah luar bandar
di Sarawak, memohon untuk memaksa pendakwa raya ad hoc, Gopal Sri Ram
mengemukakan lesennya untuk mendakwa.
Isteri kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu juga
meminta perbicaraan yang dijadualkan berlangsung pada Isnin,
ditangguhkan sementara menunggu permohonannya selesai.
Peguam Akberdin Abdul Kadir, anggota pasukan peguam Rosmah berkata, permohonan itu dibuat pada Rabu.
“Sri Ram tidak mengemukakan sijil sebelum perbicaraan bermula. Kami mahu ia diserahkan kepada hakim,” katanya kepada FMT.
Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Mustaffa Kunyalam berkata, pihak pendakwaan akan membantah permohonan itu.
“Kami akan serah afidavit menjawab permohonan itu hari ini,” tambahnya.
Sri Ram, seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik sebagai
pendakwa raya pada 31 Ogos 2018, untuk menyelia siasatan dan mengetuai
pasukan pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB melibatkan Najib dan
lain-lain.
Beliau juga ditugaskan untuk perbicaraan Rosmah.
Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak
Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin sebagai upah membantu syarikat
itu mendapatkan projek solar hibrid untuk sekolah di Sarawak.
Beliau juga dituduh menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.
Pihak pembelaan dijangka memeriksa balas saksi pendakwaan ke-12,
bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan Alias Ahmad, apabila
perbicaraan bersambung di depan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Sebanyak 31 hari diperuntukkan untuk perbicaraan itu, yang berlangsung dari Julai hingga November.
Bulan lepas, Najib juga memohon untuk menyingkir Sri Ram daripada
mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan pindaan laporan audit
1MDB atas sebab berat sebelah.
Zaini, yang juga membicarakan kes itu, akan mendengar perkara itu pada 7 Ogos. –FMT
Mahkamah
Tinggi hari ini diberitahu bahawa beg tangan berjenama bernilai jutaan
ringgit yang disita oleh polis kerana didakwa terlibat dengan skandal
dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah musnah akibat kecuaian
semasa mengendalikan barang-barang berkenaan.
Peguam Muhammad
Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata
mereka mendapat tahu mengenai keadaan beg tangan itu semasa memeriksa
barang-barang berkenaan yang disimpan dalam peti simpanan di Bank Negara
Malaysia (BNM).
Pemeriksaan dibuat oleh Najib, isterinya Rosmah
Mansor dan anak perempuan mereka Nooryana Najwa pada 22 Feb lepas dalam
satu lagi permohonan pemeriksaan di hadapan seorang lagi hakim Mahkamah
Tinggi.
“Tiap
satu beg tangan yang dikatakan mahal itu langsung tidak dipedulikan, ia
dimusnahkan oleh polis kerana mereka menulis terus di atas beg-beg
berkenaan dengan “magic pen”, dan bukannya di atas kertas.
“Beg-beg ini bernilai jutaan ringgit dan begitu cara mereka mengendalikannya,” katanya di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin.
Beliau
berkata demikian semasa berhujah dalam permohonan Najib untuk memeriksa
secara fizikal beg-beg tangan berjenama, barang kemas, dan lain-lain
barang berharga yang disita polis pada 2018.
Beliau juga berkata
anak guamnya tiada bersama semasa barang itu disita, sebaliknya pengurus
bangunan (tempat barang-barang itu disimpan), yang dipanggil untuk
berada di sana.
“Dokumentasi eksibit (barang yang disita) juga
tidak dibuat dengan teratur… dengan itu permohonan kami untuk membuat
pemeriksaan adalah memang amat patut, untuk melihat sendiri eksibit
itu,” katanya.
Timbalan
Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin berkata pihak pendakwaan membantah
permohonan Najib untuk memeriksa barang-barang itu atas alasan
keselamatan, kerana barang yang disita itu bernilai lebih RM680 juta.
Beliau
mengatakan bahawa ia merupakan dakwaan serius untuk mengatakan bahawa
barang-barang itu telah musnah kerana barang-barang itu disimpan dalam
peti besi BNM yang hanya boleh diakses oleh pihak yang yang diberi kuasa
sahaja.
Hakim Muhammad Jamil kemudiannya membenarkan permohonan
Najib selepas memutuskan bahawa dia mempunyai hak untuk memeriksa
barang-barang berkenaan, bagi membolehkan dia menyediakan pembelaan
dalam permohonan lucut hak.
“Soal berhubung keselamatan dan
kuantiti besar barang itu bukan satu isu. Saya juga membenarkan
pemohonan (Najib) untuk diiringi oleh dua peguam cara dalam melaksanakan
pemeriksaan di bawah penyeliaan responden (pendakwaan),” katanya.
Pihak
pendakwaan memfailkan permohonan lucut hak harta aset yang disita dari
premis yang dimiliki oleh Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa mempunyai
kaitan dengan skandal dana 1MDB mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang
Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti
Haram 2001.
Najib merupakan pihak ketiga dalam permohonan lucut hak itu.
Dalam
notis usul yang difailkan terhadap Obyu Holdings, ia menyatakan bahawa
antara aset itu adalah 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 barang
hiasan jam tangan 234 pasang kaca mata, 306 beg tangan, dan wang tunai
bernilai RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi.
Sebahagian besar daripada barang mewah yang disita oleh polis dilaporkan daripada apartmen yang dimiliki Obyu Holdings.
Selain itu satu hartanah di Kuala Lumpur turut dirampas pada 1 Nov 2018.Bernama
Pihak
pendakwaan meminta mahkamah mensabitkan bekas perdana menteri, Najib
Razak atas semua tujuh pertuduhan membabitkan kes dana SRC International
Sdn Bhd (SRC).
Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, berkata
pihak pendakwaan berjaya menangani tiga pertuduhan pecah amanah jenayah
(CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan
menyalahkan kedudukan yang dihadapi Najib.
“Saya dengan rendah
hati mengemukakan bahawa tujuh pertuduhan tersebut telah terbukti. Yang
Arif, saya sudah selesai dengan penghujahan dan esok pihak pembelaan
akan membantah penghujahan pendakwaan,” katanya selepas menyelesaikan
penghujahannya hari ini.
Bagi tiga pertuduhan CBT, Sithambaram
berkata Najib mempunyai pengetahuan mutlak bahawa wang RM42 juta dalam
tiga akaun peribadinya adalah daripada SRC.
”Tingkah
lakunya jelas sebagai seorang yang dengan sengaja melakukan kesalahan
jenayah tanpa hukuman kerana kedudukannya,” katanya sambil menambah SRC
mengalami kerugian sebanyak RM42 juta manakala tertuduh memperoleh
jumlah tersebut.
Bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan,
Sithambaram berkata Najib dapat mempengaruhi pengeluaran pinjaman
Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) bernilai RM2 bilion secara
keseluruhan.
Terakhir bagi tuduhan pengubahan wang haram, timbalan
pendakwa raya itu berpendapat mana-mana orang waras yang memegang
jawatan tertinggi dalam negara akan mengambil tindakan serius jika
menemui wang haram dalam akaun peribadinya.
Sithambaram berkata ia
dianggap sebagai kebutaan yang disengajakan apabila Najib, 67, gagal
menyoal mengenai sumber aliran masuk wang ke akaunnya.
Selalu bertindak reaktif
”Najib,
sebagai pemegang akaun bank, perlu berhati-hati dan waspada mengenai
dana yang masuk ke akaun peribadinya yang akhirnya dibelanjakan
sepenuhnya.
"Tertuduh tidak boleh mengarahkan orang lain untuk
memastikan dana diisi semula dalam akaunnya agar dia dapat membelanjakan
tanpa kisah mengenai sumber dana tersebut.
"Oleh kerana tertuduh
telah menghabiskan wang yang didermakan dan memulangkan sebahagian yang
kemudian diterima dalam akaun banknya, bagaimana dia boleh mengeluarkan
lebih banyak cek tanpa curiga akan dana di dalam akaunnya?
“Orang yang waras akan mempersoalkan jumlah (wang) yang sangat besar,” katanya.
Pada
awalnya, Sithambaram berhujah bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low
Taek Jho atau Jho Low mempunyai pengetahuan jelas mengenai perbelanjaan
Najib dan mengambil langkah proaktif sebelum tertuduh mengeluarkan cek.
Katanya,
walaupun tema utama pembelaan semasa perbicaraan bahawa Jho Low tidak
mempunyai pengetahuan mengenai cek yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen
Pekan itu, bukti menunjukkan ahli perniagaan terbabit mengambil langkah
memastikan sentiasa ada dana yang secukupnya dalam akaun Najib.
Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram (kiri)
Sithambaram
kemudian membaca petikan pemeriksaan balas terhadap tertuduh untuk
menunjukkan koordinasi antara Joh Low dan ketua setiausaha sulit Najib,
Allahyarham Azlin Alias bagi pihak Najib; dan antara Jho Low dan bekas
perdana menteri itu sendiri dalam memastikan dana mencukupi untuk
menulis cek.
Petikan tersebut, antara lain merangkumi perbualan
BBM (BlackBeryy Messenger) berhubung pembelian menggunakan kad kredit
Najib di Hawaii apabila Jho Low memaklumkan Pengurus Perhubungan AmBank,
Joanna Yu supaya memastikan pembayaran dapat dilakukan.
“Bukti
pada perbicaraan telah membuktikan Jho Low bukan selalu bertindak
reaktif bagi memastikan cek Najib tidak ditendang malah Jho Low cuba
memastikan akaun tertuduh mempunyai dana yang mencukupi walaupun sebelum
dia (Najib) mengeluarkan ceknya.
“Bertentangan dengan dakwaan
pembelaan mengenai peranan reaksioner yang dimainkan oleh Jho Low,
beliau aktif dan memudahkan tertuduh menguruskan akaun bank dan akaun
kad kreditnya.
"Ini jelas menunjukkan apabila tertuduh dan Jho Low
berkomunikasi secara langsung dan juga ketika Azlin berhubung bagi
pihak tertuduh ialah memastikan cek tidak ditendang,” katanya.
Najib
didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan
Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur dan di Pejabat
Perdana Menteri, Presinct 1, Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac
2015.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.- Bernama-
Najib
Razak berdepan pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam
pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaun peribadinya.
KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan dalam perbicaraan SRC International
Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, dakwaan
penyelewengan dana syarikat itu dilakukan “pihak ke-3”, bukannya bekas
perdana menteri itu.
Peguam Harvinderjit Singh berkata, RM42 juta yang didakwa dipindahkan
ke akaun bank Najib dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif SRC International
ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil dan ahli perniagaan Low Taek Jho
yang lebih dikenali sebagai Jho Low.
Katanya, pegawai penyiasat Rosli Husain turut memberi keterangan yang
notis merah Interpol sudah dikeluarkan ke atas Nik Faisal dan Jho Low
atas dakwaan melakukan pecah amanah bersama.
“Ada bukti mencukupi untuk membuktikan kemungkinan Jho Low dan Nik Faisal melakukan pecah amanah.”
Harvinderjit berkata, bukti daripada bekas pengurus perhubungan
AmBank, Joanna Yu, yang bercakap dengan Jho Low sebagai orang tidak
diberikan kuasa ke atas akaun Najib, juga menunjukkan ahli perniagaan
terbabit “memanipulasi akaun itu tanpa pengetahuan pemegang akaun”.
Katanya, 3 pertuduhan pecah amanah terhadap Najib menyeleweng RM42
juta daripada SRC International sebagai ejen yang diamanahkan dengan
dana awam “tidak akan dapat dibuktikan”.
“Dalam pembelaannya (Najib), beliau tidak mengarahkan atau terbabit dengan transaksi RM42 juta.
“Untuk mengekalkan pertuduhan pecah amanah, bukti secara keseluruhan
perlu membuktikan sama ada melalui penemuan fakta atau kesimpulan yang
hanya konsisten dengan kesalahannya.”
Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan
memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak
RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.
Beliau turut berdepan pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah
dalam pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaun peribadinya.
Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Najib
Razak berkata, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat tidak mendakwa Riza
kerana mencuri, tetapi menerima wang, iaitu dalam bentuk pelaburan
daripada Aabar Investment milik keluarga diraja UAE.
PETALING JAYA: Najib Razak tidak menafikan bahawa beliau lebih suka
anak tirinya Riza Aziz meneruskan proses perbicaraan di mahkamah.
Bekas perdana menteri itu berkata, ia dapat memberi peluang kepada
Riza dan ahli keluarga merungkai fakta sebenar berhubung pertuduhan
pengubahan wang berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion).
“Kalau tanya saya, saya lebih suka Riza teruskan proses di mahkamah.
Kalau dia teruskan di mahkamah akan timbulkan fakta sebenar.
“Pertama, fakta yang kita perlu faham ialah Riza tidak didakwa kerana
mencuri wang. Ia (tuduhan) tidak dibuat di bawah Akta SPRM dan tidak di
bawah Kanun Keseksaan. Dia didakwa di bawah Akta Pengubahan Wang Haram
(AMLA). Maknanya dia menerima, bukan mencuri wang.
“Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) pun tak saman Riza atas
mencuri, tapi menerima wang. Dia (Riza) menerima (wang) sebab ada
pelaburan daripada Aabar Investment yang diarah keluarga diraja UAE.
“Mereka nak melabur dalam produksi filem Riza. Aabar ini syarikat
‘triple A’. Bila dapat pelaburan, dia (Riza) merasakan ini duit daripada
Aabar. Tak ada orang tegur bahawa wang itu ada kaitan dengan 1MDB,”
katanya ketika wanwancara bersama The Outlook Asia malam tadi.
Najib berkata, selepas Riza menyedari pelaburan Aabar adalah daripada
sumber yang diragui, maka beliau bersetuju untuk menyerahkan kembali
dana yang diterimanya, termasuk menyelesaikan kes pendakwaan di mahkamah
dengan persetujuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan
peguam negara.
“Bila dapat tahu (sumber pelaburan) Riza kata, ‘tak apa, saya sanggup
serah aset untuk diselesaikan’ dengan pihak SPRM serta peguam negara,
Tommy Thomas, pada waktu itu.
“Mereka tahu kes ini susah. Berat bagi mereka sebab semua berlaku di
luar negara. Jadi kalau dibicara pun ada kemungkinan mereka tidak boleh
menang. Jadi kalau nak dapat (semula) aset lambat.
“Malah dari segi Riza pula, kalau sekarang sudah 5 tahun menghadapi keadaan begini, dia tidak boleh buat apa-apa benda baru.
“Kalau dia (Riza) teruskan kes mahkamah, ia akan makan masa mungkin 4
tahun lagi. Jadi ‘total’ dekat 10 tahun, hampir 1 dekad hidup dia.
“Jadi dia (Riza) kata ‘tak apa’, beliau serah balik semua aset dalam
penyelesaian ini. Beliau nak kebebasan untuk memulakan hidup baru, malah
SPRM juga dapat aset lebih awal,” katanya.
Najib berkata, ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Tommy sebagai
peguam negara ketika itu secara prinsipnya bersetuju untuk memberikan
pelepasan tanpa pembebasan kepada Riza.
Pada masa sama, beliau menolak dakwaan ahli politik pro-PH kononnya
aset yang diserahkan oleh Riza bukan pada jumlah yang sebenar daripada
yang beliau dapat.
“Saya nak jelaskan, ada orang politik kata kononnya, (Riza) ibarat
curi 10 ekor ayam bagi balik satu ekor. Ini semua mengarut dengan fakta
tak betul,” katanya.
Katanya, jika pihak pendakwaan kalah di mahkamah apabila kes
diteruskan, kerajaan tidak akan dapat balik aset dan banyak kos dan masa
akan terbuang.
Najib juga menolak dakwaan bahawa kes melibatkan Riza itu
diselesaikan dengan cepat hasil bantuan kerajaan Perikatan Nasional
(PN).
Beliau berkata, kerajaan tidak mencampuri urusan kes tersebut kerana ia dibuat pada masa pentadbiran PH.
Riza baru-baru ini dilepas tanpa dibebaskan daripada 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion).
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azman Ahmad membenarkan
permohonan penyelesaian itu selepas pendakwa raya ad hoc, Gopal Sri Ram
memberitahu mahkamah bahawa penyelesaian tersebut adalah tertakluk
kepada tertuduh memenuhi perjanjian yang dibuat dengan pihak pendakwaan
sebelum itu.
Pada 18 November 2019, peguam Riza menghantar surat representasi memohon semua pertuduhan terhadap beliau dikaji semula.
Surat itu antara lain mencadangkan untuk menyerahkan hak beliau ke atas 3 hartanah yang disita oleh DOJ AS.
Riza juga akan memberi kerjasama untuk mengembalikan harta tersebut atau nilainya kepada kerajaan Malaysia.
Pada 5 Julai 2019 beliau dituduh di bawah Seksyen 4(1) Akta
Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan
Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman denda
tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya
jika sabit kesalahan.
Kerajaan dijangka menerima aset bernilai RM465.3 juta berikutan
keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan penerbit filem Hollywood
itu.
Susulan
keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), bekas perdana menteri Najib
Razak menjelaskan, beliau ingin menumpukan terhadap usaha untuk
membuktikan bahawa dirinya tidak bersalah dan kualiti kepimpinan beliau.
Menurut satu rakaman video yang dikeluarkan portal Malaysia Gazette, beliau bercakap mengenai ketidaktentuaan politik Malaysia.
"Saya
tengok apa nama politik Malaysia ini dinamik sudah berubah dan susah
bagi kita ramalkan apa-apa. Yang tidak terfikir pun boleh berlaku
(tertawa).
“Jadi pada saya ini bukan sama ada saya nak balik ke tidak.
"Tapi yang penting ini saya nak bersihkan nama saya. Saya nak tunjukkan kepemimpinan saya, bantu rakyat,” katanya.
Najib
yang juga MP Pekan kini menggalas tugas penasihat BN walau pun tidak
mempunyai jawatan rasmi dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Bekas
perdana menteri juga sedang berdepan lima perbicaraan di mahkamah
melibatkan pertuduhan kes 1MDB berjumlah RM2.28 billion, kes SRC
antarabangsa (RM27 juta), kes IPIC (RM6.68 billion) dan kes audit 1MDB.
Perbicaraan kes 1MDB akan disambung pada 19 Mei.
Serahan
lisan bagi perbicaraan SRC RM42 juta pula akan didengar pada 1 Jun,
manakala perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB akan bersambung pada
15 Jun depan.
Sementara itu, perbicaraan kes SRC RM27 dan kes IPIC RM 6.6 billion masih belum bermula.
TAN
Sri Shafee Abdullah menjelaskan perintah itu penting untuk dikeluarkan
bagi mengelakkan kenyataan yang tidak adil ke atas kes anak guamnya. -
Foto ASTRO AWANI / Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Perintah
larangan sementara perbincangan merit kes SRC International Sdn Bhd
melibatkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat
kebenaran Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Sofian Abdul
Razak.
Peguam utama Najib, Tan Sri Shafee Abdullah berkata,
perintah itu penting bagi mengelakkan kenyataan yang tidak adil ke atas
anak guamnya.
“Arahan larangan itu adalah bertujuan untuk menghentikan sesiapa sahaja
membuat apa-apa kenyataan yang tidak adil kemudian diterbitkan media.
“Sebagai contohnya sebelum perbicaraan, ada pihak yang membuat
kenyataan bahawa Najib 100 peratus bersalah, atau mereka tidak pernah
melihat kes sebesar ini dan sebagainya.
“Kita ada perlembagaan
perbicaraan yang adil, salah satu asas perbicaraan yang adil adalah anda
tidak boleh berbincang, membuat kenyataan ke atas merit kes,” jelas
Shafee.
BEKAS perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun
Abdul Razak yang juga bekas Presiden UMNO menghadapi empat pertuduhan
iaitu tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan
menyalahguna jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd
berjumlah RM42 juta hari ini.
Beliau mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan atas keempat-empat pertuduhan berkenaan.
Berikut adalah kronologi peristiwa-peristiwa yang membawa kepada pendakwaan terhadap beliau.
KUALA LUMPUR - Serbuan atau tangkapan melibatkan bekas Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak adalah bergantung kepada siasatan serta
keperluan kerana ianya harus melalui prosedur yang ditetapkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, peraturan harus dipatuhi sebelum melakukan tindakan seterusnya.
“Kita semua bergantung pada siasatan dan keperluan, kita bukan boleh serbu atau tahan sembarangan, kita mesti ikut peraturan.
“Ketika ini, yang dituduh semua atas siasatan SPRM. Polis akan terus
bekerjasama dengan badan ditetapkan dan secara dalaman pihak PDRM akan
teruskan proses siasatan kerana kita juga kalau boleh hendak cepat,”
katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri Polis Kuala
Lumpur di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini, hari ini.
Jelasnya, apabila proses ini lengkap, pihaknya akan merujuk kertas
siasatan ke timbalan pendakwa raya sebelum menunggu arahan selanjutnya.
Beliau berkata demikian susulan pertanyaan sama ada akan ada serbuan
dan tangkapan dibuat polis terhadap bekas pemimpin nombor satu negara
itu selepas SPRM bertindak demikian.
Terdahulu, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan
melakukan pecah amanah dan satu dakwaan menyalahgunakan jawatannya
membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Ahli Parlimen Pekan itu meminta dibicarakan selepas empat pertuduhan
itu dibacakan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak.
Hakim menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta untuk semua pertuduhan,
di mana RM500,000 dibayar hari ini dan baki sebelum 3 petang Isnin
depan, bersama dua penjamin.
Ia berlaku ketika bekas perdana menteri bersedia disoal siasat SPRM hari ini.
Harpal Singh Drewal
KUALA LUMPUR: Peguam kepada bekas perdana menteri, Datuk Harpal Singh
Drewal menarik diri daripada mewakili Datuk Seri Najib Razak.
Harpal mengesahkan perkara itu ketika dihubungi selepas meninggalkan
kediaman Najib di Langgak Duta, Taman Duta pada 10.40 malam tadi.
Harpal berkata seorang lagi peguam, M. Athimulan turut menarik diri untuk mewakili bekas perdana menteri itu.
Katanya keputusan itu diambil selepas Najib mengambil keputusan
menggunakan khidmat bekas peguamcara negara, Datuk Mohd Yusof Zainal
Abiden dan 6 lagi rakan guamnya.
“Kami tidak dipecat, tapi kami menarik diri selepas perbincangan pada malam ini,” katanya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan Najib
supaya hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya untuk membantu siasatan
berhubung kes SRC International Sdn Bhd.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki
berkata pihaknya telah menyerahkan notis kepada Najib untuk hadir ke ibu
pejabat suruhanjaya itu pada 10 pagi ini untuk dirakam keterangan.
Beliau berkata setakat ini, SPRM hanya memanggil Najib sahaja dan belum membuat keputusan memanggil mana-mana individu lain.
SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad
(1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Jumaat lepas, sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Najib di
Taman Duta di sini untuk menghantar notis meminta Anggota Parlimen Pekan
itu hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu
siasatan kes berkenaan.
Tinjauan Bernama mendapati kediaman Najib terus menjadi tumpuan
kira-kira 50 pengamal media yang menunggu perkembangan terkini selain
orang ramai yang mengambil peluang untuk bergambar di laluan masuk ke
kediaman itu yang dikawal polis.
Seramai kira-kira 15 pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah
dari Kampung Datuk Keramat di sini turut memasuki kediaman Najib pada
10.50 malam tadi.