Rabu, 22 Julai 2020

Mahkamah arah Najib bayar RM1.69 bilion kepada LHDN

Kasthuri Jeevendran
MGF15072020_NAJIB-MAHKAMAH01-681x454
Datuk Seri Najib Razak. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Datuk Seri Najib Tun Razak membayar cukai pendapatan tertunggak sebanyak RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache ketika membacakan keputusan selama kira-kira 30 minit memutuskan untuk membenarkan permohonan penghakiman terus LHDN dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri itu.

Penghakiman terus akan menyebabkan mahkamah membuat keputusan tanpa perlu menjalani perbicaraan penuh, termasuk mendengar keterangan daripada saksi.

“Saya telah meneliti setip hujah kedua-dua belah pihak sebelum ini. Di bawah Akta Cukai Pendapatan Seksyen 106(3), mahkamah tidak dapat melayan rayuan mana-mana individu yang hendak pertikai pernilaian oleh pegawai LHDN ini.

“Mahkamah tidak boleh menyatakan nilai itu keterlaluan mahupun telah dinilai dengan salah walaupun tertuduh telah menyatakan jumlah yang di nilai itu adalah bentuk sumbangan dan tidak boleh dikenakan cukai.

“Maksud bayar dulu kemudian cakap mungkin tampak agak kasar tetapi tujuan undang-undang ini dilaksanakan juga ada sebabnya kerana banyak kes berlaku di negara ini.

“Seandainya pembayar cukai ini kesnya didengar, sini bukan tempatnya sebaliknya perlu dibawa ke Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan untuk dengar oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan,” katanya.

Difahamkan Najib telah memfailkan rayuan terhadap notis penilaian LHDN kepada tribunal itu sebelum ini.

Pada 8 Ogos lalu, Najib memfailkan permohonan untuk meneruskan prosiding saman sementara menunggu rayuan penilaian semula cukainya dengan mendakwa beliau mempunyai peluang yang tinggi untuk memenangi rayuan penilaian semula cukai itu.

Pada 25 Jun lalu, kerajaan memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

Kerajaan selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi LHDN pada 25 Jun lalu dengan menamakan Najib selaku defendan tunggal.

Dalam saman itu, kerajaan menuntut Najib membayar RM1,692,872,924.83, faedah atas jumlah wang berkenaan pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga kes selesai, kos dan apa-apa relif yang sesuai oleh mahkamah.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: