Sabtu, 16 Mei 2020

Jika ‘dia’ masih tak faham, panggil Gopal Sri Ram, Tommy Thomas jelaskan – Najib

Wartawan MalaysiaGazette
MGF050719_RIZA-AZIZ-MAHKAMAH04
Riza Aziz

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes Riza Aziz tidak pernah berjalan satu hari pun sejak dia didakwa hampir setahun lalu malah pihak pendakwa yang menangguhkan kes tersebut kepada 25 Februari tahun ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihak pendakwa diketuai Gopal Sri Ram dan juga bekas Peguam Negara, Tommy Thomas – kedua-duanya dilantik oleh Pakatan Harapan semasa memerintah yang memulakan proses penyelesaian dengan Riza.

Riza merupakan anak tiri Najib.

Menjawab persoalan serta kekeliruan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap keputusan Mahkamah Sesyen semalam yang melepas tanpa membebaskan Riza, Najib berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun tidak mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka terkejut kes tersebut diselesaikan.

“Pihak SPRM pun tak keluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka terkejut kerana kes Riza Aziz (yang tidak pernah masuk hari pertama perbicaraan) diselesaikan seperti mereka terkejut apabila kes Guan Eng rasuah digugurkan masa PH walaupun puluhan saksi dah dipanggil dan perbicaraan sudah berjalan hampir sebulan.

“Malah, pihak SPRM tiada masalah dengan penyelesaian kes Riza dan masih tegas ianya keputusan Tommy Thomas,” kata Najib dalam hantaran terbaharu di laman Facebook.

Terdahulu Dr Mahathir melahirkan rasa keliru dan tertanya-tanya terhadap keputusan hakim itu yang menurut beliau tidak terkandung dalam undang-undang jenayah.

Kata Ahli Parlimen Langkawi itu, jika pun peruntukan seperti itu ada dalam undang-undang maka ia perlu dipinda supaya kelak tidak menjadi asas kepada kes-kese seumpama itu kerana menurut Dr Mahathir di Malaysia masih ramai lagi pencuri.

Mengulas lanjut, Najib berkata, jika ‘dia’ (Dr Mahathir) tidak faham, beliau boleh memanggil Gopal Sri Ram atau Tommy Thomas untuk menjelaskan kekeliruan tersebut kepadanya.

“Harap dengan penjelasan cara mudah ini, “dia” akan faham dan kurang konpius,” kata Najib yang di awal hantarannya menyebut bahawa beliau menaip tulisannya itu perlahan-lahan dengan cara paling ringkas supaya ‘dia’ faham.

Najib menjelaskan panjang lebar tentang pembabitan Riza dalam projek filem yang menyaksikan penglibatan keluarga kerabat Abu Dhabi yang mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Aabar melabur dalam projek filem anak tirinya itu.
Kesemuanya itu, katanya, ada perjanjian pelaburan, mahkamah serta jabatan pendakwa raya.
Filem-filem Riza, menurut Najib agak berjaya di mana yang pertama iaitu Wolf of Wall Street (2013) menjana penjualan tiket US$392 juta (RM1.7 bilion) berbanding kos US$100 juta (RM430 juta).

“Ini bukan bail-out Petronas untuk syarikat milik anak sulung tertentu ataupun Vincent Tan jual kumpulan hospital Pantai kepada anak kedua tertentu yang berumur 35 tahun masa itu.

“Ini juga bukan konsesi-konsesi FOMEMA atau kontrak membekal semua hospital kerajaan yang diberi kepada kumpulan Pantai selepas anak tertentu membelinya.

“Ini juga bukan melantik syarikat Petron sebagai syarikat rasmi untuk membekal minyak kepada kerajaan sebaik sahaja PH menang PRU14.

“Dan ini juga bukan syarikat Opcom Bhd milik anak bongsu tertentu yang terlibat dalam projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bernilai RM21.6b yang diwujudkan, diluluskan dan dilaksanakan oleh kerajaan PH dalam tempoh kurang setahun sehingga harga saham Opcom melonjak naik 50%,” tulis Najib. d…

Beliau juga mengimbau pendedahan rakaman audio oleh Latheefa Koya sambil berterima kasih kepada bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu kerana sudi mengeluarkan bukti untuk membantu beliau dan Riza membersihkan nama.

Katanya, menyelesaikan kes-kes di USA dan di Malaysia dengan cara membayar balik dana asal dan sebahagian keuntungan yang diperolehi.

Kesemua transaksi, akaun bank, penggunaan dana, keuntungan yang dijana dari dana, perjanjian dan saksi-saksi adalah di luar negara terutamanya di Amerika Syarikat. Nak bicara di Malaysia pun susah.

“Pun begitu, DOJ Amerika Syarikat juga tak pernah mendakwa Riza atas kes jenayah. Cuma saman sivil yang sudahpun diselesaikan di sana tahun lepas.

“Tapi yang pelik ialah walaupun satu butir transaksi-transaksi Riza pun tak berlaku di Malaysia, didakwa dengan kes jenayah di Malaysia pulak. Tapi USA tak ada,” katanya.

Riza yang berdepan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilepas tanpa bebas.

Artikel berkaitan: Persetujuan lepas tanpa bebas Riza, kerajaan bakal terima semula aset RM465.3 juta

Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad membuat keputusan sedemikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah perkara itu tertakluk kepada tertuduh memenuhi perjanjian di pihaknya.

Dengan keputusan itu kerajaan Malaysia dijangka menerima semula aset-aset di luar negara yang dianggarkan berjumlah USD107.3 juta (RM465.3 juta).

SPRM dalam kenyataannya berkata, pihak pendakwaan berhak mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: