Selasa, 28 Julai 2020

Keputusan kes SRC kemenangan untuk rakyat – PH

Kumara Sabapatty
MGF26022020_SIDANG-MEDIA-PAKATAN-HARAPAN_15-1-681x454
Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng pada sidang media khas Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI,

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mendapati Datuk Seri Najib Razak bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. sebagai kemenangan untuk rakyat.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dalam kenyataan bersama berkata proses keadilan berkenaan tidak akan bermula sekiranya rakyat tidak bangkit untuk memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan dan mengalahkan Barisan Nasional pada PRU14.

“Malah bila disoroti sejarah isu ini, masalah urus tadbir 1MDB dibangkitkan kali pertama di Parlimen oleh Anwar Ibrahim pada 2011.

“Majlis Presiden merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam proses ini, termasuk mantan Peguam Negara yang telah memulakan proses perundangan ini,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Majlis Presiden PH juga menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk meneliti dan menelurusi penghakiman yang telah dibuat hari ini.

“Majlis Presiden berpendirian bahawa reformasi institusi menyeluruh perlu dilaksana untuk memastikan iklim politik yang memungkinkan kebobrokan dan kerosakan besar yang berlaku pada zaman pentadbiran Barisan Nasional tidak berulang lagi.

“Ini hanya boleh dilakukan dengan pengembalian mandat rakyat ke tempatnya,” kata ketiga-tiga pemimpin itu lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: