Rabu, 20 Mei 2020

Hari ke-37: 'Kalau ramai masuk mahkamah lebih baik bersidang di pasar borong'

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan salahguna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB memasuki hari ke- 37 hari ini.

Malaysiakini membawakan laporan secara langsung prosiding dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.


'Kalau ramai dibenarkan masuk lebih baik bersidang di pasar borong'

9.52 pagi: Jika lebih ramai orang dibenarkan masuk ke mahkamah walaupun ada penjarakan sosial, lebih baik perbicaraan diadakan di Pasar Borong Selayang, kata hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memberitahu peguam bela utama Najib Razak sebagai respons kepada permintaan peguam agar lebih ramai dibenarkan memasuki mahkamah.

Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan telah dimaklumkan sebelum ini bahawa beberapa peguam boleh dibenarkan memasuki mahkamah pagi ini dengan menggunakan lima pas awam.

Shafee berkata, namun apabila mereka tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sekitar jam 7.45 pagi ini, semua pas awam telah diambil.

"Jadi lebih baik pergi ke Pasar Borong Selayang dan jalankan perbicaraan di sana tanpa sekatan.

"Berapa ramai orang yang anda mahu di mahkamah," soal Sequerah kepada Shafee.

"Kebimbangan saya adalah jika kita tidak mematuhi SOP, maka tidak ada gunanya, seperti juga benarkan sesiapa saja untuk masuk," kata Sequerah sambil menambah kesihatan dan keselamatan rakyat adalah paling utama.


9.50 pagi: Perbicaraan 1MDB bermula dengan timbalan pendakwa raya (DPP), Gopal Sri Ram meminta mahkamah membenarkan rakan DPP, Ahmad Akram Gharib duduk di sebelahnya di mahkamah.

Gopal memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa beliau memerlukan Akram untuk membantunya berhubung eksibit semasa pemeriksaan ke atas saksi.

Bagaimanapun, permintaan itu ditolak hakim, yang mengatakan mahkamah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Sequerah enggan berganjak daripada keputusannya, walaupun selepas Gopal memberitahu beliau mengenai mesej dari Ketua Pendaftar bahawa hakim boleh menggunakan budi bicara dalam perkara itu.

"Dalam kes ini saya enggan menggunakan budi bicara saya. Saya akan tetap dengan arahan sekarang.

"Sila tulis kepada Ketua Hakim Malaya," kata Sequerah.

Gopal kemudiannya melanjutkan permintaan lagi kepada hakim, yang datang dari saksi pendakwaan, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Beliau mengatakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB itu tidak dapat hadir sepanjang perbicaraan hari ini, dan telah meminta perbicaraan diteruskan sehingga pukul 2 petang sebelum ditangguhkan.

Sequerah membenarkan permohonan itu.


9.44 pagi: Najib memasuki kandang tertuduh apabila perbicaraan bermula.


9.30 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak memasuki Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dilihat memakai pelitup muka, beliau mengambil tempat duduk di barisan hadapan galeri awam sementara menunggu prosiding bermula.


Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan menyambung keterangan dalam sesi pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan pada hari ke-37 perbicaraan Najib Razak berkaitan dakwaan penyelewengan dana RM2.28 bilion 1MDB hari ini.

Saksi kesembilan pendakwaan itu akan menyambung keterangan daripada  prosiding semalam, selepas perbicaraan selama lebih enam bulan ditangguhkan beberapa kali.

Prosiding semalam menyaksikan banyak perkembangan pada sesi sebelah petang, di antaranya pihak pendakwaan mahu memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Najib berhubung satu kenyataan beliau yang dipetik daripada artikel Reuters.

Dalam artikel bertarikh 4 Mac itu, tertuduh dipetik sebagai berkata beliau menjangkakan keadaan semasa "lebih kondusif" untuk mendapatkan perbicaraan yang adil berikutan perubahan kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN).

Semasa perbicaraan semalam, DPP Gopal Sri Ram memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah bahawa anak tiri Najib, Riza Aziz menyatakan kesediaan untuk memberi keterangan dalam perbicaraan Najib.

Pada 14 Mei, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan Riza atas tuduhan pengubahan wang haram berkaitan AS$ 248 juta wang 1MDB,  selepas bersetuju mengembalikan jutaan ringgit kepada kerajaan.

Ketika disoal oleh Shafee semalam, Shahrol memberitahu mahkamah bahawa lembaga pengarah 1MDB mengeluarkan butiran terpeinci dalam beberapa minit mesyuarat untuk 'melindungi' Najib.

Pada sidang media selepas prosiding semalam, Shafee berkata "kebenaran" daripada kenyataan Riza dapat membantu beliau dalam kesnya dan oleh itu sekiranya Riza memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB ini, sebenarnya ia juga boleh membantu kes Najib.

Di hadapan media semalam, Shafee turut mempersoalkan kritikan terhadap keputusan membebaskan tanpa melepaskan Riza.

Peguam itu mempersoalkan mengapa pembebasan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng atas tuduhan rasuah melibatkan pembelian sebuah banglo pada harga pasaran tidak dibangkitkan.

Lim dibebaskan ketika Jabatan Peguam Negara diketuai oleh Peguam Negara, Tommy Thomas

Perbicaraan terhadap Najib di hadapan hakim Sequerah dijangka disambung semula sekitar jam 9.30 pagi ini.


Tiada ulasan: