Sabtu, 26 Mei 2018

Krisis MB Perlis: Shahidan ‘tidak tahu’ Azlan pilihan parti

 
Ketua Pemuda Umno Perlis berkata 'nada’ Shahidan dan 9 Adun mungkin berbeza jika tahu Azlan dipilih kepimpinan parti. 





KANGAR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak mengetahui Datuk Seri Azlan Man dipilih oleh kepimpinan tertinggi parti untuk dilantik sebagai menteri besar.

Ketua Pemuda Umno Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata “nada” Shahidan dan 9 Adun berkenaan mungkin berbeza jika mereka tahu Azlan dipilih kepimpinan parti.

Beliau mendakwa pada 22 Mei lepas, Pemangku Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pemangku Timbalan Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sebagai pemimpin tertinggi parti yang menang dalam pilihan raya umum, menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi mengemukakan nama calon menteri besar.

“Terdapat 2 nama yang dibawa ke pertimbangan Tuanku iaitu Azlan dan Datuk Ismail Kassim.

Sumber yang boleh dipercayai memaklumkan bahawa kedua-dua mereka (Zahid dan Hishammuddin) bersetuju dengan cadangan melantik Azlan sebagai menteri besar Perlis.

“Tetapi keputusan ini tidak dimaklumkan kepada Shahidan serta Adun BN lain menyebabkan mereka terus mempertahankan sokongan kepada Ismail,” katanya hari ini.

Syed Atif berkata dalam keadaan tidak mengetahui keputusan pemimpin tertinggi parti, semua Adun menyuarakan pendapat Azlan membelakangkan parti dengan menerima lantikan menteri besar tanpa persetujuan pucuk pimpinan BN.

Sehubungan itu, keputusan memecat keanggotaan Azlan secara serta merta daripada parti dibuat Khamis lalu sejurus selepas majlis pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar dilaksanakan di Istana Arau.

Katanya sebelum pengumuman pemecatan Azlan, pada hari yang sama, satu mesyuarat bersama pimpinan tertinggi BN diadakan di Kuala Lumpur.

“Dalam situasi dan kemelut ini, mereka tersepit kerana panggilan majlis angkat sumpah dan panggilan berjumpa pucuk pimpinan parti diadakan pada masa yang sama.

“Namun 9 Adun BN memilih menghadiri mesyuarat tersebut bagi berbincang dan mendengar amanat daripada pimpinan tertinggi parti,” katanya.

Shahidan sebelum ini mengumumkan Ismail akan dilantik sebagai menteri besar selepas BN menang 10 daripada 15 kerusi DUN Perlis pada pilihan raya umum lepas.

Tiada ulasan: