Selasa, 23 April 2019

Saya ‘team player’ dan DAP tak rancang plot jatuhkan MB, kata Aziz Bari

MALAYSIAKINI

   

Exco Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari menegaskan beliau tidak terbabit dalam sebarang rancangan untuk menyingkirkan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

“Tidak ada plot atau apa-apa usaha untuk menjatuhkan menteri besar oleh saya. Jadi tak betul kata saya nak jatuhkan menteri besar. Langsung tak masuk akal dan melawan sistem.

“Macam mana saya nak jatuhkan dia (menteri besar) saya sudah sebut tidak ada undi tak percaya, kalau Umno nak cakap, itu soal dia.

“Saya ‘team player’ (kerja berpasukan) dan saya tak buat keputusan seperti ini,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online, hari ini.

Malah kata naib pengerusi DAP Perak itu, dakwaan bahawa beliau secara sendirian merancang usaha menyingkirkan Ahmad Faizal juga adalah tidak munasabah kerana ia bukan sesuatu yang mudah.

Portal itu turut memetiknya sebagai berkata, pelantikan menteri besar perlu diputuskan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak dan memerlukan perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sekali gus bukan sesuatu yang boleh dibuat serta diubah begitu sahaja.

Abdul Aziz berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar yang mendakwa beliau sanggup menukar ‘baju’ dari DAP kepada Bersatu bagi memastikan dirinya dilantik sebagai menteri besar.

Ditanya hubungan beliau dengan Ahmad Faizal, Abdul Aziz berkata hubungan mereka berdua secara peribadi adalah baik sebagai rakan, malah dari aspek dasar kerajaan juga setakat ini tidak ada percanggahan.

Mengulas lanjut, katanya, DAP juga tidak merancang sebarang usaha untuk menjatuhkan menteri besar kerana berpegang teguh atas semangat setia kawan dalam PH.

“Jika ia (menjatuhkan menteri besar) dilakukan, segala-galanya akan jatuh. Ini kerana menteri besar ditukar oleh kepemimpinan dan bukan melalui undi tak percaya,” katanya.


Tiada ulasan: