Isnin, 3 Ogos 2020

Sabah contoh amalan rasuah paling buruk – Tun M

Mohammad Arif Nizam
MGF01032020_SIDANG-MEDIA-TUN-M_07-681x454
Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad  mendakwa budaya lompat parti di negeri itu baru-baru ini adalah contoh amalan rasuah paling buruk.

Bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu mendakwa, ia dibuktikan dengan tindakan  seramai 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri tersebut keluar parti kerana diumpan dengan wang dan mereka telah dirasuah.

Beliau berkata, sekiranya seseorang ahli politik itu keluar parti kerana tidak bersetuju dengan dasar kerajaan, hal itu masih boleh diterima.

“Saya akan pergi ke Sabah kerana saya mendapati bahawa apa yang berlaku di Sabah adalah contoh rasuah yang sangat buruk.

“Saya dapati 13 ADUN yang keluar dari parti kerajaan negeri untuk menyertai parti lawan. Kenapa mereka keluar? Kalau mereka keluar kerana tidak bersetuju dengan dasar, itu kita boleh terima.

“Tetapi kita didapati mereka keluar kerana diumpan dengan duit. Mereka dirasuah. Jadi, ini sesuatu yang ingin kita hapuskan. Pakatan Harapan masa jadi kerajaan kita tumpukan untuk hapus rasuah kerana ia dianggap penting,” katanya.

Beliau berkata demikan pada Live Session With Tun Dr Mahathir Mohamad yang disiarkan secara langsung pada Facebook Dato Howard Chew- Chester Venture Berhad di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas budaya lompat parti hingga menyebabkan pembubaran DUN Sabah seterusnya membuka laluan kepada pilihan raya negeri minggu lalu.

Mengulas lanjut, Mahathir meluahkan rasa sedih kerana amalan rasuah dilakukan secara terbuka di Sabah.

Tegas beliau, ADUN yang keluar parti itu hanya memikirkan soal wang.

“Dapat duit mereka lompat. Jadi ini tidak sihat bagi politik Sabah dan Malaysia.

“Saya harap orang keluar ini akan ditolak sepenuhnya oleh rakyat Sabah kerana mereka tidak boleh dipercayai. Mereka ini cuma ikut duit, bukan ada prinsip dan perjuangan tertentu. Apabila dapat duit, mereka melompat.

“Saya risau kerana dapati bahawa amalan rasuah lama yang ingin kita hapuskan rasuah sudah telah kenali di Sabah.

“Apa yang menyedihkan adalah orang yang dahulu memerangi rasuah adalah orang yang kini terlibat secara langsung dalam memberi rasuah untuk mendapat sokongan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: