Jumaat, 15 Mei 2020

Tuntut kes terowong dasar laut babit pemimpin DAP dibuka semula

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim dan Ahmad Suhael Adnan
 
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. NSTP/Saifullizan Tamadi.

   PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. NSTP/Saifullizan Tamadi.

KUALA LUMPUR: UMNO menggesa enam tuntutan daripada parti itu dilaksanakan segera oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memelihara kepentingan agama dan negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tuntutan itu termasuklah mendesak kerajaan membuka semula kes penyelewengan yang dihentikan perbicaraan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Antara kes itu, katanya, termasuklah kes skandal rasuah terowong dasar laut dan tiga lebuh raya membabitkan pemimpin DAP bernilai RM6.3 bilion.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO mahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) membatalkan agenda PH menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), yang didakwa mengongkong dan mengekang tugas serta tanggungjawab polis.

“UMNO juga mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat salah laku dan penyelewengan PH terhadap Barisan Nasional (BN) dan pengurusan Tabung Haji (TH) terdahulu.

“Selain itu, kerajaan perlu menilai semula keputusan penjualan lambak aset strategik negara dan agensi berkepentingan rakyat termasuklah TH, Khazanah Nasional, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, UMNO turut menuntut kerajaan menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap individu dikaitkan dengan kes pembunuhan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Kerajaan juga perlu membekukan keputusan pemberhentian kakitangan awam berstatus kontrak, dasar pengurangan penjawat awam dan mengkaji semula dasar memastikan kebajikan penjawat awam terbela,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid menggariskan panduan untuk UMNO kekal menyokong Muhyiddin sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), antaranya perlu memastikan aspirasi rakyat direalisasikan dan memberi kemakmuran kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama, kenegerian dan darjat.

“Kerajaan baharu harus segera berusaha menangani kelembapan ekonomi semasa, termasuklah melakar pelan tindakan berkesan menghadapi cabaran ekonomi global dan kesan wabak COVID-19.

“Kerajaan baharu juga tidak wajar mengulangi kesilapan PH dalam menguruskan isu menyentuh hubungan sensitiviti kaum negara ini,” katanya, yang memberi jaminan akan menyokong Muhyiddin selagi aspirasi rakyat dipelihara.

Beliau turut mengumumkan penstrukturan semula parti dengan melantik Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung UMNO yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa.

Perubahan lain termasuklah melantik Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Suffian Hamdan sebagai Ketua Penerangan parti, bagi menggantikan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Tiada ulasan: