Khamis, 5 April 2018

Mahkamah batalkan ganti rugi RM300,000 pada bekas tahanan ISA

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang membenarkan pemberian ganti rugi kepada seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana tahanan salah.
 
Panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membenarkan rayuan oleh penguasa Pusat Tahanan Kamunting, timbalan menteri dalam negeri dan kerajaan, untuk mengetepikan ganti rugi RM300,000 yang diberi kepada Badrul Zaman P. S. Md Zakariah oleh Mahkamah Rayuan.
 
Badrul Zaman dibenarkan pemberian ganti rugi RM3.3 juta oleh Mahkamah Tinggi pada 2010 tetapi dua tahun kemudian, mahkamah rayuan mengurangkan jumlah itu kepada RM300,000.
 
Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali ketika menyampaikan keputusan mahkamah berkata, berdasarkan seksyen 8B (1) dan seksyen 8C ISA, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dakwaan bekas tahanan ISA terhadap timbalan menteri dalam negeri dan pemberian ganti rugi kepadanya kerana tahanan salah.
 
Beliau berkata keputusan timbalan menteri dalam negeri menggunakan budi bicara untuk mengeluarkan perintah tahanan tidak boleh dipersoal di mahkamah perundangan, melainkan berkaitan isu ketidakpatuhan dengan keperluan prosedur.
 
"Kami menegaskan bahawa prosiding dan keputusan serta perintah Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan adalah batal dan tidak sah dan tidak membawa kesan. Keputusan ini tidak boleh dibenarkan bertahan," kata Hakim Ramly.
 
Beliau berkata ISA adalah undang-undang keselamatan dan kuasa serta budi bicara Menteri Dalam Negeri untuk mengeluarkan perintah tahanan mengikut seksyen 8 (1) ISA melibatkan keselamatan negara, justeru, terpulang sepenuhnya kepada menteri atau eksekutif untuk membuat keputusan, kecuali atas asas ketidakpatuhan prosedur.
 
"Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa dan tidak boleh melaksanakan apa juga bidang kuasa untuk berurusan dengan dakwaan responden (Badrul Zaman). Tindakan semasa oleh responden tiada kena mengena dengan sebarang persoalan berkaitan pematuhan apa-apa keperluan prosedur di bawah ISA," katanya.
 
Tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang turut bersidang dalam panel itu ialah Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Seri Balia Yusof Wahi.
 
Badrul Zaman, yang meninggal dunia pada 2015 akibat kanser, ditahan selama dua tahun mulai 1991, atas dakwaan terlibat dalam pengeluarkan permit dan pasport palsu kepada pekerja asing.
 
Perintah tahanannya kemudian dilanjutkan dua tahun lagi, berkuat kuasa 14 Sept 1993. Badrul Zaman tidak mencabar kesahihan perintah tahanan awal selama dua tahun tetapi hanya mencabar perlanjutan perintah tahanan dua tahun yang dikeluarkan timbalan menteri dalam negeri.
 
​​​​​​​Dia dibebaskan pada 1994 selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan habeas corpus olehnya, dan kemudiannya memfailkan saman sivil terhadap perayu dalam tahun sama.
 
Badrul Zaman menang dalam tuntutannya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan turut membuat keputusan yang memihak kepadanya selepas menolak rayuan dikemukakan oleh penguasa pusat tahanan, timbalan menteri dalam negeri dan kerajaan atas liabiliti.
 
Mahkamah Rayuan, bagaimanapun, mengurangkan kuantum ganti rugi.
 
Peguam kanan persekutuan Alice Loke Yee Ching hadir bagi pihak perayu manakala peguam M. Manoharan mewakili Badrul Zaman.
 
 

Tiada ulasan: