KADANG-kadang ramai yang mengutip maklumat sebelah
pihak sahaja. Mereka hanya membaca apa yang dipapar media harian. Media
oposisi mereka jarang belek.
Lebih-lebih lagi milik gerakan Islam seperti Harakah. Kalau pemimpin pemimpin peringkat pertengahan boleh dimaafkan. Namun kalau label bekas tokoh wartawan, macam tidak kena pula.
Biasanya
tokoh wartawan kalau menulis mengutip fakta lebih lengkap. Mereka
banyak pengalaman. Lagipun sekarang maklumat di hujung jari.
Itupun
kalau hendak diambil kira wartawan yang tidak fanatik berparti. Namun
lain pula bagi wartawan veteran yang cukup dikenali ramai. Beliau juga
bekas ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu. A Kadir Jasin tiba-tiba
mengkritik Presiden PAS. Katanya Ustaz Abdul Hadi dan wakil parti itu
dalam kerajaan dianggap ‘berkecamuk, kehabisan modal, hilang akal dan
terdesak’.
Mungkin ramai tidak faham maksud sebenar wartawan terkenal terbabit. Apabila dia menulis kecamuk seolah-olah kehabisan modal, hilang akal dan terdesak, lain pula jadinya.
Isu itu dilontar pada satu hantaran di Facebooknya baru-baru ini. Wartawan veteran itu seperti kehabisan idea. Dia juga menganggap prestasi Ustaz Hadi sejak dilantik sebagai duta khas ke Timur Tengah, jauh daripada luar biasa. Ditulisnya lagi Duta Khas itu tidak memainkan peranan menangani krisis Palestin.
Jelaslah wartawan veteran itu tidak ada maklumat. Tidak mengikuti dari dekat apa yang Ustaz Hadi buat. Kalau tiada maklumat dan terus menghukum, bukan wartawan pun boleh menulis begitu.
Kalau boleh disebut, sekadar taraf facebooker sahaja. Catat apa sahaja tanpa berlapik pada fakta dan maklumat. Kata orang kampung malang sungguh, bakat anugerah Allah tidak dimanfaat sepenuhnya.
Lebih-lebih lagi kalau hendak bela Islam. Boleh juga disebut sebagai pendakwah dengan mata pena. Namun biarlah wartawan veteran terbabit sekadar bernostalgia.
Berdasar banyak catatannya sebelum ini ramai boleh menjangka. Mungkin jiwanya lebih dekat dengan pembangkang atau Pakatan Harapan.
Sedangkan semua orang tahu ketika rejim Zionis Yahudi mengayangkan Palestin Mei lepas, pemimpin PAS antara yang kehadapan.
Dilancarnya tabung bagi membela nasib penduduk Islam di Gaza. Tabung itu dilancar pemimpin utama PAS. Tabung Kemanusiaan PASRelief berjaya mengumpul dana sebanyak RM12.1 juta.
Sumbangan disalurkan kepada #Aid4Palestine yang dilancar Ustaz Hadi.
Dana terbabit dikumpul pemimpin, ahli PAS dan orang ramai di setiap negeri.
PAS Terengganu sahaja menyumbang sebanyak RM3.7 juta. Pengerusi PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu pihaknya mengumpul sumbangan sebanyak RM12.1 juta hanya dalam tempoh 10 hari.
“PAS memastikan rakyat Palestin mendapat bantuan sewajarnya,” kata Menteri Besar Kedah. Malah Sanusi juga melelong kereta Volvo kesayanganya untuk mengisi tabung tersebut.
Tabung itu digerakkan pemimpin PAS di seluruh negara, termasuk juga di Sabah dan Sarawak.
Di Kelantan lebih RM3.6 juta berjaya dikutip. Pelbagai pihak di negeri itu tampil membantu Tabung Kemanusiaan Palestin. Tabung terbabit dilancar pada 13 Mei lalu.
Kata Menteri Besar Kelantan Ustaz Ahmad, sumbangan itu diperoleh melalui Tabung Serambi Mekah yang mencatat kutipan sebanyak RM1 juta.
Selain itu Badan Perhubungan PAS Kelantan sebanyak RM2.1 juta. Manakala yang diusahakan NGO pula RM545,000.
“Hasil kutipan itu disalurkan melalui Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah,” kata Ustaz Ahmad.
Berdasar maklumat tersebut jelaslah wartawan terbabit menulis tanpa menyemak fakta. Akhbar harian pun menyiarkan berita terbabit. Begitu juga beberapa stesen televisyen menggambarkan naratif serupa.
Banyak sebenarnya fakta bagi menjawab tulisan wartawan veteran terbabit. Begitu juga kalau dibelek kejayaan kementerian yang diterajui pemimpin PAS.
Harga sawit melonjak tinggi ketika pemimpin PAS menerajui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Kenaikan harga minyak sawit Mac lepas menguntungkan tiga juta rakyat Malaysia. Ia sekaligus mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.
Kesan kenaikan dirasai golongan M40 dan T20, kata menteri terbabit Dr Mohd Khairuddin.
Harga minyak sawit mentah (MSM) di pasaran dunia pada Jun lepas sekitar RM4,000 hingga RM4,500 per tan. Sedangkan sebelum itu hanya sekitar RM2,000 pada 2019 dan sebelumnya.
MSM melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah industri sawit negara sehingga RM4,247.50 setiap tan Mac lepas. Harga itu tertinggi sejak 13 tahun lalu.
Apakah kejayaan itu dianggap sebagai kecamuk atau kehabisan modal. Setidak-tidaknya kita toleh ke belakang dahulu sebelum berkongsi maklumat. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan