Ahad, 18 Julai 2021

Tiada rumah terbuka, ziarah sempena Aidiladha di Sabah

Hanya maksimum 30 orang dibenarkan solat jemaah di masjid dan surau. 
(Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah telah meminda prosedur operasi standard (SOP) sambutan Aidiladha susulan lonjakan jangkitan direkodkan di negeri itu, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Masidi Manjun berkata, rumah terbuka, jamuan dan berziarah sama ada di rumah atau tanah perkuburan kini tidak dibenarkan.

Beliau berkata, hanya 15 orang dibenarkan terlibat dalam acara korban.

Jemaah di masjid dan surau bagi solat sunat Aidiladha, solat Jumaat dan solat lima waktu juga kini dikurangkan kepada satu pertiga daripada kapasiti lokasi berkenaan, atau maksimum 30 orang, yang mana lebih rendah, katanya.

“Semua aktiviti sambutan berkaitan Aidiladha di lokaliti di bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan juga tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan harian Covid-19 hari ini.

“Ini bagi mengekang virus daripada merebak dan meningkatkan jangkitan di Sabah.”

Tambahnya, pindaan ini hanya sementara sehingga kes harian berjaya distabilkan semula.

Masidi berkata, kes positif tinggi di negeri itu, iaitu 647 dalam 24 jam lalu, adalah susulan Jabatan Kesihatan Negeri melakukan saringan besar-besaran bagi mengekang jangkitan dalam komuniti.

Kebanyakan jangkitan direkodkan di ibu negeri dengan 312 kes, katanya. Beliau menambah lebih suku daripada jumlah itu, atau 204 kes, adalah dari Penjara Kepayan atau turut dikenali sebagai Kluster Tembok Kota Kinabalu.

Tiada ulasan: