Selasa, 6 Julai 2021

PEMBELA selar pihak pertahan penceroboh haram guna dakwaan salah

Siti Hafidah

Kerajaan negeri digesa ambil semula tanah diceroboh, jadikan Tanah Rizab Melayu

BANGI – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam ( PEMBELA) mengemukakan lima tuntutan kepada pihak berkuasa susulan tindakan pekebun durian haram menceroboh tanah kerajaan di Raub, Pahang.

Menerusi tuntutan berkenaan, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam itu berharap pihak berkuasa konsisten menguatkuasakan undang-undang dengan penuh ketegasan, dan integriti terutama dalam isu pencerobohan tanah, bukan sahaja di Raub bahkan seluruh daerah di Pahang.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan yang diambil oleh Jabatan Perhutanan Pahang ke atas penceroboh tanah kerajaan yang berlaku di Raub seperti yang dilaporkan media Sabtu lalu.

Bagaimanapun, beliau terkilan atas tindakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang dilihat menyokong pencerobohan itu dan bersungguh-sungguh mempertahankan mereka.

“Apakah ini sikap seorang wakil rakyat yang sepatutnya mempertahankan undang-undang bukan menyokong pencerobohan? PEMBELA juga menyelar sikap sebuah NGO, Save Musang King Alliance (Samka), yang bertindak mempertahankan para penceroboh, ia adalah suatu tindakan yang amat tidak wajar.

“Tambahan pula, mereka telah membuat dakwaan salah dengan mengatakan mereka dilindungi dengan arahan mahkamah walhal kes mahkamah itu merujuk kepada pencerobohan di Kampung Sungai Chalit.

“Pencerobohan ini bukan saja salah dari segi undang-undang tetapi mengakibatkan kerajaan negeri kerugian ribuan sehingga jutaan ringgit hasil cukai tanah yang tidak dibayar dan kerugian ganti rugi atas kerosakan tanah kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, PEMBELA menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah untuk dibawa ke muka pengadilan.

Pihak kerajaan negeri juga digesa menuntut semua ganti rugi yang sepatutnya dibayar oleh penceroboh.

Selain itu, PEMBELA meminta pihak polis mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap penceroboh mengikut undang-undang berdasarkan peruntukan Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965 dan Seksyen 47, Akta Perhutanan Negara 1984.

PEMBELA juga mahu kerajaan negeri mengambil semula semua tanah-tanah yang telah diceroboh bukan saja di Tras, Sungai Chalit malah di seluruh negeri Pahang, bahkan siasatan yang menyeluruh perlu dilakukan dan tindakan yang tegas mesti diambil.

“Menjadikan tanah-tanah ini sebagai Tanah Rizab Melayu sebagai ganti terhadap banyak tanah-tanah orang Melayu yang telah digadai dan tergadai,” katanya.

Tiada ulasan: