Isnin, 19 Julai 2021

KKMM benarkan pemuzik jalanan buat persembahan di PPV

Aliff Fikri

KKMM turut mengumumkan penubuhan Perbadanan Industri Muzik bagi meneliti dasar-dasar berkaitan industri tersebut.

Bagi memastikan kelangsungan hidup pemuzik jalanan, kementerian komunikasi dan multimedia (KKMM) memaklumkan mereka kini boleh membuat persembahan di pusat pemberian vaksin (PPV).

Menteri KKMM Saifuddin Abdullah berkata inisiatif itu sudah berjalan dengan usaha dan perbincangan bersama kementerian perdagangan antarabangsa dan industri serta kementerian kesihatan.

“Kita faham kepayahan mereka yang bukan sahaja tidak dapat membuat persembahan, tapi tidak dapat sumber kewangan,” katanya ketika sidang media.

“Tentang bagaimana untuk mereka dapat menyertai atau dijemput, itu kena tanya Khairy (Jamaluddin) dan Adham (Baba). Saya yakin mereka akan cuba usahakan.”

Dalam pada itu, Saifuddin juga mengumumkan penubuhan Perbadanan Industri Muzik yang akan memberi fokus kepada enam aspek.

Aspek itu seperti dasar dan perundangan, akses pasaran; promosi dan platform, pembiayaan ekonomi, pembangunan modal insan dan kapasiti, teknologi dan inovasi serta perspektif masyarakat terhadap industri muzik.

Menurut beliau, objektif penubuhan ini antara lain sebagai sebuah badan khusus yang akan merangka dan memastikan pembangunan industri muzik tanah air diselaraskan secara holistik.

“Badan ini juga akan menjadi pemudahcara dan memberi khidmat nasihat dalam membantu permasalahan, kebajikan termasuk perlindungan hak-hak pemain industri muzik,” katanya.

“Termasuk menjadi pusat maklumat industri muzik negara untuk menyebarkan maklumat mengenai pelbagai aspek muzik dan menyimpan data-data komprehensif bagi tujuan penyelidikan, perancangan dasar dan pelan strategik yang inklusif.”

Saifuddin turut memperkenalkan 11 pemuzik remaja yang dipilih menyertai program Hiburan Di Rumah (HDR) bawah KKMM. Antaranya Alyssa Shahirah, Cheng Shi Ni, Saifeeqa Saiful, Felicia Low Ying Ling dan Dayang Nurazreen Salbador.

Sebanyak RM6 juta disediakan untuk menjayakan HDR bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma).

Seramai 960 orang pengiat muzik terlibat dalam HDR yang dilaksanakan susulan perintah Kawalan (PKP) 3.0. Setiap seorang memperolah RM5,000 dengan tugasan yang telah ditetapkan.

Tiada ulasan: