Rabu, 14 Julai 2021

Kes positif di WP dijangka menurun

KUALA LUMPUR: Kes positif COVID-19 di Wilayah Persekutuan dijangka menurun minggu depan dengan pencapaian peratusan suntikan vaksin tinggi penduduk ibu kota.

Pengerusi Pusat Penyelarasan Dan Pengurusan COVID-19 Wilayah Persekutuan (CCMC-WP), Tan Sri Annuar Musa, berkata sehingga kini keadaan di Wilayah Persekutuan terkawal dan tiada petanda luar biasa mengenai jangkitan itu.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, majoriti kes di Wilayah Persekutuan iaitu 52 peratus disebabkan kontak rapat positif apabila pesakit gagal mematuhi peraturan kuarantin dalam rumah sendiri selain jangkitan di tempat awam dan pejabat.

"Berikutan kes positif COVID-19 yang begitu tinggi di Selangor seperti dilaporkan, saya mengarahkan Pusat CCMC-WP memperincikan kes di Wilayah Persekutuan supaya langkah lebih tepat dan berkesan dapat diambil.

"Selain disebabkan kontak rapat positif, 18.5 peratus pula iaitu hampir 300 kes positif COVID-19 membabitkan saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang secara umumnya mula bertambah baik.

"Majoriti kes positif di PKPD dan kontak rapat isi rumah dikuarantin di rumah menyebabkan penularan kepada ahli keluarga.

"Manakala 24 peratus lagi adalah kes sporadik dalam kalangan komuniti yang tidak diketahui punca jangkitannya namun berkemungkinan didorong oleh transmisi daripada varian Delta yang lebih mudah berjangkit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Selangor kekal menjadi penyumbang tertinggi kes COVID-19 dengan 5,263 kes daripada keseluruhan 11,079 kes diikuti Kuala Lumpur sebanyak 1,521 kes.

Antara faktor lain menyumbang kes di Kuala Lumpur ialah 1.5 peratus di tapak binaan membabitkan tiga kluster dan 1 peratus kes import.

Annuar berkata, CCMC-WP akan memantau situasi berkenaan termasuk melaksanakan langkah tertentu, terutama berkaitan peraturan kuarantin di rumah sendiri yang dirasakan tidak sesuai diteruskan.

Beliau berkata, CCMC-WP juga akan mengambil tindakan menutup tapak bina yang terdapat kes positif.

"Majikan dan warga Kuala Lumpur hendaklah menyegerakan proses vaksin selaras dengan dasar dan matlamat mencapai 80 peratus menjelang Ogos bagi Kuala Lumpur," katanya.

KUALA LUMPUR: Polis menyiasat dakwaan penambahan 'luar biasa' slot janji temu vaksinasi COVID-19 di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di ibu negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata ia susulan laporan dibuat seorang petugas di PPV berkenaan mendakwa wujud lebihan penerima vaksin tersenarai dalam aplikasi MySejahtera, berbanding jumlah vaksin diperuntukkan di lokasi terbabit.

"Siasatan masih di peringkat awal dan polis dalam tindakan mengambil keterangan beberapa saksi. Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dilaporkan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Integriti dan Siasatan bagi menangani isu penjualan slot janji temu vaksinasi.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, dipetik berkata jawatankuasa itu dianggotai wakil CITF, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Mohd Kamarudin turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memberi kerjasama dan sokongan penuh kepada kerajaan selaras dengan usaha bagi memastikan PICK berjaya direalisasikan.

"Polis tidak akan kompromi dengan usaha untuk mensabotaj program sedang dilaksanakan sama ada untuk kepentingan individu mahupun sebaliknya.

"Tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu didapati ingkar," katanya.

Tiada ulasan: