GEORGE TOWN: Pada awal abad ke-20, Lebuh Carvarvon di Pulau Pinang menjadi tempat perarakan pengebumian kerana banyak kedai keranda beroperasi di sana yang memanfaatkan jarak tempat itu dengan terusan Sia Boey di mana sampan akan membawa masuk kayu dari pedalaman Tanah Melayu.
Sepanjang jalan itu hanya dipenuhi dengan kedai menjual barangan sembahyang Cina yang melengkapkan lagi perniagaan keranda berkenaan.
Sehingga kini, generasi lama yang bertutur dalam bahasa Hokkien merujuk laluan itu sebagai “kua-cha-kay” bermaksud “jalan keranda”.
Namun pada hari ini, hanya tinggal dua kedai keranda di situ. Salah satunya adalah perniagaan Hock Lean Seng yang sudah beroperasi hampir 100 tahun. Ia pernah menghasilkan keranda bersaiz lima kaki yang mengambil masa 10 hari untuk disiapkan.
Kini perniagaan kurang rancak berbanding sebelum ini kerana ia semakin diambil alih oleh pengusaha moden yang memonopoli pasaran.
Namun kedai itu masih menarik pelanggan.
Ia kini diusahakan oleh Yeap Chin Boon, generasi ketiga pembuat keranda yang meneruskan legasi daripada datuknya sejak 1922.
Ketua keluarga terakhir, Tan Chai Im menjadi tunjang kepada perniagaan itu sebelum ini dengan membimbing seluruh keluarganya mengenai tradisi pengebumian Cina sehinggalah beliau meninggal dunia pada 2015 ketika berusia 85 tahun.
Yeap mengambil alih tanggungjawab perniagaan itu pada 1985 dan sejak dua dekad lalu mempunyai beberapa orang tukang untuk memenuhi tempahan keranda.
Tetapi sejak permintaan meningkat, kerja menjadi lebih sukar menyebabkan kedai itu beralih kepada keranda buatan kilang di Sungai Petani.
Dia berkata, empat adik-beradiknya yang hampir menginjak usia 60 tahun akan mengambil alih perniagaan itu daripadanya. Dua anaknya berusia sekitar 30-an tidak minat dengan perusahaan itu. Begitu juga dengan anak saudaranya.
“Ia tidak bergaya, hanya yang benar-benar minat saja akan melakukannya,” katanya yang lebih mesra disapa sebagai “Uncle Boon” ketika ditemui FMT.
Hari ini, di dalam kedai milik keluarga Yeap sejak sebelum zaman perang itu, berdirinya rak yang menempatkan berpuluh keranda berharga antara RM800 hingga RM15,000.
Keranda paling mahal diperbuat daripada kayu jati berkualiti tinggi tetapi jarang terjual. Ia mempunyai rekaan hiasan, lapisan kain di bahagian dalam dan panel ‘plexiglass’ yang membolehkan si mati dilihat.
Yeap menunjukkan keranda dari lebih 50 tahun lalu yang direka untuk sami Buddha yang mahu mayat dibakar dalam keadaan duduk tegak. Ia bukan untuk dijual dan dia tidak lagi menghasilkannya namun kekal sebagai pameran di kedainya.
Mereka yang mengunjungi kedai itu diberi ang pau wang RM1 yang perlu dibelanjakan untuk membeli gula-gula yang membawa tuah baik kerana ia menjadi pantang larang Cina untuk masuk melawat kedai keranda.
Yeap menyediakan perkhidmatan kepada keluarga daripada pelbagai latar belakang sama ada kaya atau sebaliknya.
Lelaki itu berkata, dia menawarkan perkhidmatan yang diperlukan untuk melakukan pengebumian dan mereka boleh memilih barang sendiri walaupun pakej dengan bayaran sekali gus menjadi trend baru dalam industri perkhidmatan itu yang turut disertakan dengan barang tidak diperlukan pelanggan.
Dia mempunyai sembilan pekerja yang dibayar secara harian dan ditugaskan memakaikan pakaian pada si mati, menghias dan menyediakan jamuan ringan dan tuala untuk orang yang berkabung.
Yeap tidak gemar dengan idea menggunakan kereta mewah sebagai kereta mayat dan memilih kenderaan lebih praktikal seperti van atau lori. Dia menawarkan “potongan harga kasih sayang” kepada golongan yang tidak mampu untuk “menghantar” pemergian orang tersayang.
Terdapat kepercayaan popular bahawa permintaan terhadap perkhidmatan pengebumian semakin meningkat sejak 17 bulan lalu disebabkan Covid-19, tetapi Yap berkata, hanya terdapat “seorang atau dua orang pelanggan” sehari dan kadangkala langsung tiada.
Dia berkata, hanya pegawai kesihatan saja dibenarkan mengendalikan pengebumian atau pembakaran mayat mangsa Covid-19.
Satu-satunya kaedah pemasaran dilakukan Yap adalah dari mulut ke mulut dan sehingga kini dia mengekalkan harga keranda walaupun kos kayu meningkat akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak lebih setahun lalu.
“Saya percaya tempoh ini adalah ujian buat kita semua. Bagi saya, biarlah kita menderita dulu dan mendapat manfaat pada kemudian hari. Perjalanan terakhir amat penting. Terdapat beberapa tradisi yang harus diikuti,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan