KUALA LUMPUR: Tempoh tiga bulan akan datang bakal menjadi waktu yang sangat sibuk dan kritikal bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Penyelarasnya, Khairy Jamaluddin, ketika memaklumkan perkara itu berkata ia kerana Malaysia akan mula menerima bekalan dos vaksin dalam jumlah yang sangat besar, mulai bulan ini hingga September.
Sebagai perbandingan, jelasnya, jumlah vaksinasi yang dicatatkan sejak PICK mula dilaksanakan pada Februari lalu ialah sekitar lapan juta dos.
"Tetapi bagi Julai ini sahaja, kita bakal menerima bekalan vaksin lebih 12 juta dos. Sudah pasti Julai akan menjadi tempoh yang genting buat PICK apabila kapasiti pemberian vaksin ditingkatkan di seluruh negara.
"Bagi memastikan cabaran pada bulan-bulan mendatang dilalui dengan teratur dan lancar, kapasiti vaksinasi di seluruh negara akan ditingkatkan dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
"Selain itu, tenaga kerja kesihatan dan sukarelawan akan ditambah. Ketika ini, sebanyak 1,400 PPV sedang beroperasi di seluruh negara, selain PPV dalam pelbagai bentuk serta saiz, termasuk secara sementara di perkampungan Orang Asli.
"Kita turut membuka PPV di rumah ibadat, sekolah, universiti, dewan komuniti, tempat kerja, kawasan perladangan dan restoran, selain berteraskan konsep pandu lalu," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Twitter, hari ini.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata usaha
giat juga sedang dilakukan bagi memastikan tempahan vaksin CanSino oleh
Malaysia berupaya dihantar pada bulan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan