Ahad, 11 Julai 2021

Jenayah komersial di Pahang meningkat

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Sebanyak 845 kes jenayah komersial direkodkan di Pahang setakat Jun lepas, meningkat daripada 642 kes untuk tempoh sama pada tahun 2020, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof.

Bagaimanapun, Mohd Wazir berkata nilai kerugian untuk tahun ini ialah RM18.01 juta, berkurangan daripada RM21.7 juta yang direkodkan pada tahun lepas.

Jenayah tipu, menurut Wazir merupakan aduan paling banyak diterima pada kedua-dua tahun iaitu 589 kes pada tahun 2020 dengan kerugian RM20 juta dan 773 kes untuk 2021 yang menyebabkan mangsa kerugian RM15.3 juta.

"Selain itu, jenayah berkaitan pecah amanah, jenayah siber, pemalsuan dan Akta Pemberi Pinjaman Wang atau ah long juga menunjukkan peningkatan tahun ini," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata jenayah pecah amanah juga merekodkan kerugian yang tinggi untuk tahun ini, iaitu RM1.21 juta manakala RM297,000 adalah kerugian direkodkan bagi jenayah berkaitan ah long.

Kuantan juga merupakan daerah paling banyak berlaku kes jenayah komersial dengan kerugian RM8.1 juta diikuti Bentong (RM4.6 juta), Temerloh (RM1.4 juta), Raub (RM702,179), Cameron Highlands (RM558,693) dan Rompin (RM570,352).

Untuk tahun ini juga, Mohd Wazir berkata jabatannya menerima dua laporan berhubung wang palsu melibatkan kerugian RM200, berkurangan daripada tiga aduan untuk tempoh sama tahun lepas yang melibatkan penipuan berjumlah RM4,183.

"Kami berharap orang ramai lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa kes penipuan komersial khususnya sindiket Macau Scam dan Love Scam.

"Jangan mudah berkongsi maklumat peribadi perbankan walaupun dihubungi individu yang mendakwa mereka sebagai wakil bank, Lembaga Hasil Dalam Negeri atau pegawai polis.

"Sebaiknya, semak dengan pihak bank atau ke balai polis bagi mendapatkan nasihat jika menerima panggilan seperti ini, supaya wang simpanan tidak hilang dikaut pihak tidak bertanggungjawab," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: