Ahad, 18 Julai 2021

‘Jangan balik kampung’

 Oleh KOSMO!

ANGGOTA polis dan tentera membuat pemeriksaan ketat ke atas kenderaan di Pasir Pekan, Tumpat semalam. – ZULHANIFA SIDEK

PETALING JAYA – Penduduk di beberapa buah negeri seperti Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perlis masih trauma dengan insiden peningkatan mendadak kes Covid-19 sehingga mereka terpaksa ‘berkurung’ dan menjalani ujian calitan ekoran kedegilan perantau pulang ke kampung pada sambutan Aidilfitri lalu.

Sehubungan itu, mereka me­minta polis supaya memperketatkan pemeriksaan di sempadan negeri sebelum membenarkan perantau masuk ke negeri-negeri tersebut selain menyeru para perantau supaya jangan pulang ke kampung bagi me­nyambut Ai­diladha Selasa ini.

Di Pasir Puteh, seorang bekas tentera, Mohd. Ariffin Ismail, 69, melarang tiga keluarga iaitu anak serta dua cucunya balik dan kekal sahaja di Selangor meski­pun sudah dua tahun tidak menyambut le­baran bersama.

Katanya, dia terpaksa bertegas supaya penularan jangkitan Covid-19 yang semakin membimbangkan ketika ini dapat dikurangkan.

“Saya juga melarang semua ahli keluarga datang ke rumah dan membatalkan perancangan untuk membuat ibadah korban.

“Amaran keras terpaksa dikeluarkan agar mereka tidak cari alasan untuk balik. Saya tidak mahu mereka dikompaun dan menjadi penyebar Covid-19,” katanya yang berasal dari Kampung Cherang Ruku di sini.

Tambahnya, jika ada orang yang pulang pun, tiada apa yang meriah kerana solat sunat Aidiladha dan ibadah korban tidak dapat dilaksanakan.

ANGGOTA polis dan tentera melakukan pemeriksaan teliti 
ke atas kenderaan yang menuju ke arah Pantai Timur di Plaza 
Tol Bentong, Pahang semalam. – SHIDDIEQIIN ZON

Sementara itu di Kuala Terengganu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Adham, 30, merayu kepada perantau supaya kekal di Lembah Klang kerana dia sudah serik apabila dipaksa berkurung ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Mukim saya di Kubang Jela, Manir dikenakan PKPD gara-gara kluster Aidilfitri yang dicetuskan oleh perantau yang lolos merentas negeri.

“Sebab mereka virus merebak dan 900 penduduk kampung terpaksa berkurung dalam rumah selama dua minggu. Ini semua menyusahkan dan saya minta jangan balik,” kata pengurus sebuah pasar raya itu.

Lebih teruk tambahnya, dia dan orang kampung tidak pasal-pasal diarahkan membuat ujian calitan dan ada yang disahkan positif ekoran kluster Aidilfitri.

“Rindu memang rindu tetapi ketika ini lebih baik jangan balik untuk kesenangan pada masa hadapan,” katanya.

SALAH satu laluan tikus yang ditutup pada PKPD Kubang 
Jela, Manir, Kuala Terengganu yang berakhir 14 Julai lalu.

Di Temerloh pula, Ketua Kampung Felda Jengka 7, Ahmad Zubir Abd. Rahim berharap polis dan tentera melakukan pemeriksaan ketat di sempadan negeri serta laluan tikus bagi menangkap mereka yang degil.

“Dua kali kampung saya dikenakan PKPD dan ia amat pe­rit hingga menyebabkan kami tertekan,” katanya.

Bagi Che Nor Aizie Che Yusof, 52, pula, pengalaman PKPD yang dikenakan di Perumahan Rumah Banjir Kuala Teh di Jerantut di­sebabkan oleh seorang perantau yang positif Covid-19 solat di masjid kariah sangat pe­rit dan tidak dapat dilupakan.

“Mohon semua patuh dengan arahan kerajaan dan jangan balik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Sebertak di Bera, Omar Hussien, 63, mencadangkan supaya digantung sementara surat kebenaran merentas negeri ke­cuali untuk hal mustahak.

Di Kuala Perlis, Norashikin Idros, 36, mahu semua orang bekerjasama demi keselamatan orang tersayang.

“Kita tidak tahu kalau kita sebenarnya bawa penyakit dan menjangkiti ibu ayah serta saudara mara lain di kampung,” katanya.

Bagi kerani, Siti Nadia Omar, 35, dia mahu warga Perlis di perantauan untuk bersabar.

“Banyak varian ganas terhasil ketika ini. Walaupun Perlis sedikit jangkitan, namun ia ibarat bom jangka yang boleh meletus bila-bila masa jika kita leka,” katanya. -K! ONLINE

Tiada ulasan: