Ratusan sekatan jalan raya dan pusat pemeriksaan didirikan di seluruh Indonesia tatkala pihak berkuasa mula melaksanakan perintah sekatan dan kawalan lebih ketat bagi membendung penularan virus Covid-19, yang semakin meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan.
Masjid, restoran dan pusat beli-belah di beberapa kawasan panas
penularan Covid-19 di negara paling ramai umat Islam di dunia, ditutup.
Pada Jumaat, negara itu merekodkan lebih 25,830 kes baharu dan 539
kematian, kedua-duanya rekod tertinggi harian sejak kes petama dikesan
Mac tahun lalu.
Rondaan dan sekatan jalan raya yang dipertingkatkan dan tertumpu di kepulauan Jawa – wilayah paling ramai penduduk di Indonesia yang turut menempatkan ibu negaranya Jakarta dan pulau pelancongan Bali.
Kira-kira 21,000 pegawai polis dan tentera akan menguatkuasakan larangan baharu berkuat kuasa hari in, kata Ketua Polis Trafik Nasional Indonesia (Kakorlantas), Inspektor Jeneral Istiono.
“Kami menumpukan rondaan di 21 kategori tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Di kawasan di mana terdapat gerai tepi jalan dan kafe, kami akan menutup jalannya mulai jam 6 petang hingga 4 pagi,” katanya.
Sekatan itu dilaksanakan selepas Presiden Joko Widodo mengumumkan perintah penutupan sektor sosial dan ekonomi bermula Sabtu hingga 20 Julai – tetapi boleh dilanjutkan – susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negara itu.
Perintah itu menetapkan semua perniagaan tidak penting ditutup, sementara semua pelajar yang berpusat di Jawa dan Bali, belajar dari rumah, sementara taman, pusat beli-belah, restoran dan tempat ibadat, ditutup.
Bagaimanapun, beberapa pengecualian diberi kepada individu yang telah menerima vaksin dan diuji negatif untuk melakukan perjalanan jarak jauh ke daerah yang terkesan oleh wabak Covid-19.
Indonesia kini berdepan penularan wabak Covid-19 terburuk di Asia dengan purata kes harian sebanyak 20,000 sejak beberapa minggu lalu. Pihak berkuasa percaya peningkatan kes itu ada kaitan dengan penularan varian Delta yang pertama kali dikesan di India.
Sementara program vaksinasi kebangsaan terus dilaksanakan, data kebangsaan menunjukkan hanya lima peratus atau 13.7 juta daripada 260 juta penduduk negara itu diimunisasi sepenuhnya.
Di Bali, sekitar 71 peratus penduduknya telah diimunisasi namun pulau peranginan itu turut dikenakan perintah penutupan kerana kes baharu terus meningkat dengan purata 200 kes sehari.
Sejak pandemik Covid-19 melanda lewat 2019 lalu, Indonesia merekodkan lebih 2.2 juta kes dengan hampir 60,000 kematian.
Peningkatan kes itu menyebabkan sistem kesihatan Indonesia mengalami krisis dengan kebanyakan hospital kini sudah hampir penuh dengan pesakit Covid-19. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan