JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah menganjurkan program Gerobok Rezeki melibatkan 269 buah masjid dan surau di seluruh negeri ini bagi dijadikan sebagai pusat agihan bekalan makanan keperluan harian.
Timbalan Pengarah Operasi JAINJ, Anoar Sarimin berkata, program Gerobok Rezeki itu mula dilaksanakan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membantu orang ramai yang terjejas pendapatan.
Katanya, program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang turut sama menyumbangkan barangan asas seperti beras, minyak masak, telur, tepung dan gula pasir.
“Antara masjid yang menjadi pusat agihan termasuklah Masjid Kampung Kurnia, Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Masjid Kampung Melayu Pandan dan Masjid Taman Rinting di Johor Bahru.
“Barang-barang dalam projek Gerobok Rezeki ini disumbangkan sendiri oleh jemaah walaupun pada asal pihak masjid yang mengeluarkan modal.
“Kemudian jemaah lain mula memberi sumbangan dan mana-mana individu yang memerlukan boleh datang dan mengambil sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Kampung Kurnia, di sini semalam.
Tambah beliau, beberapa masjid dan surau telah menyediakan jadual pengambilan untuk mereka yang memerlukan manakala ada yang membenarkan barangan diambil pada bila-bila masa.
“Pengurusan masjid dan surau turut memastikan semua penerima dan penyumbang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak kemungkinan penularan Covid-19 sewaktu program bantuan dijalankan.
“Malahan, ada pengurusan masjid dan surau yang mengambil maklumat penerima bagi memastikan kebajikan mereka terus terjaga meskipun selepas menerima bantuan berkenaan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang penyumbang di masjid tersebut, Fatimah Abd. Rahman berkata, pemberian bantuan tersebut lebih bagus diagihkan kepada penduduk berdekatan yang memerlukan.
“Kalau kita nak sedekah atau memberi sesuatu itu kita mesti tengok persekitaran yang dekat sebagai keutamaan. Kita pun tahu kalau kita senang, kita kena tengok keadaan sekeliling,” katanya.
Seorang lagi penyumbang di Masjid Kampung Kurnia, Muhamad Harith Fidhlah pula berkata, mereka yang menyumbang makanan di kawasan masjid tersebut telah bermula sejak bulan Ramadan lagi.
“Alhamdulilah kita nampak golongan sasaran bila yang datang betul-betul memerlukan, ada suami yang bekerja di Singapura, ada yang tidak bekerja beberapa bulan dan ada jiran yang betul-betul susah datang sini ambil bantuan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan