Sabtu, 3 Julai 2021

Digantung tak bertali, Noorlin tekad bangkit demi anak

 Oleh Afiq Mohd. Shah

Noorlin Abdul Razak,40, (tengah) bersyukur selepas menerima bantuan dari Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bagi meringankan beban yang ditanggung untuk menyara ibu serta enam anaknya ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinci, Pantai Dalam, hari ini.GAMBAR: Abd Razak Aid

SETIAP orang mengimpikan kehidupan di samping keluarga yang bahagia lebih-lebih lagi sewaktu tempoh sukar ekoran penularan pandemik ketika ini.

Umum mengetahui ramai yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kehilangan mata pencarian.

Ada juga terpaksa berhadapan dengan kehancuran rumah tangga yang dibina atas dasar cinta sejak sekian lama.

Itu yang berlaku kepada Noorlin Abdul Razak, 40, yang terpaksa berdepan kemusnahan rumah tangga dibina sejak 10 tahun lalu pada PKP 1.0 tahun lalu.

Noorlin Abdul Razak,40, yang merupakan ibu tunggal tabah 
menyara ibu serta enam orang anaknya selepas ditinggalkan 
suami ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) 
Kerinci, Pantai Dalam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Lebih memilukan, kehidupannya ibarat digantung tak bertali apabila ditinggalkan begitu sahaja bersama enam orang anak antara usia empat hingga 11 tahun.

Tidak dapat menyembunyikan kesedihan, Noorlin memberitahu kehidupannya sangat tertekan selepas terpaksa berhadapan dengan fasa yang amat meruntun jiwanya.

“Saya dapat tahu semasa PKP 1.0 tahun lalu, ketika itu saya baru keluar daripada hospital kerana menjalani pembedahan.

Anak-anak menjadi sumber kekuatan kepada Noorlin Abdul 
Razak,40, untuk meneruskan hidup sebagai ibu tunggal selepas 
ditinggalkan suami ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat 
(PPR) Kerinci, Pantai Dalam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Pada awalnya memang saya tertekan, saya habiskan masa menangis tetapi Alhamdulillah, keluarga banyak bagi semangat untuk saya kembali bangkit.

“Saya kena kuat untuk anak-anak. Cuma sekarang ni disebabkan PKP semua urusan mahkamah dan pejabat agama tergantung,” katanya sambil mengalirkan air mata ketika ditemui UtusanTV hari ini.

Noorlin merupakan salah seorang penerima Bantuan Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun, hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, 
Datuk Seri Rina Harun (kiri) menyampaikan sumbangan 
kepada salah seorang anak Noorlin Abdul Razak,40, ketika 
menziarah ke rumah keluarga ibu tunggal tersebut di Projek 
Perumahan Rakyat (PPR) Kerinci, Pantai Dalam, hari ini. 
GAMBAR: Abd Razak Aid

Mengulas lanjut, Noorlin memberitahu, buat masa sekarang dia hanya bergantung kepada jualan popia beku yang dijual di sekitar kawasan projek perumahan rakyat (PPR) Kerinci untuk menampung kehidupan.

Selain itu, dia memaklumkan ada juga menerima bantuan daripada Baitulmal berjumlah RM450 setiap bulan.

“Saya tahu saya kena kuat untuk anak-anak sebab itu saya buat keputusan meniaga secara kecil-kecilan. Walaupun dalam tempoh PKP tetapi saya bersyukur produk saya diterima baik jiran-jiran setempat.

Noorlin Abdul Razak,40, dibantu anaknya, Che Nur Qistina 
Damia Che Shahrul Izwan,11, menyiapkan popia beku untuk 
dijual kawasan perumahannya di Projek Perumahan Rakyat 
(PPR) Kerinci, Pantai Dalam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak 
Aid

“Saya terpaksa menjual dalam kawasan sini sahaja kerana tiada kenderaan. Dalam sebulan tu boleh dapat dalam RM300 untuk belanja anak-anak.

“Namun, saya bersyukur dan seronok dengan apa yang saya buat. Kadang-kadang bila dapat lebih boleh saya bersedekah sedikit.

“Lagi pun, penduduk kawasan ini banyak membantu bila kami dalam kesusahan,” katanya.

Anak-anak menjadi sumber kekuatan kepada Noorlin Abdul 
Razak,40, untuk meneruskan hidup sebagai ibu tunggal selepas 
ditinggalkan suami ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat 
(PPR) Kerinci, Pantai Dalam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Tiada ulasan: