Selepas kehilangan pekerjaan sejak Mei tahun lepas gara-gara perintah kawalan pergerakan (PKP), seorang wanita mengaku pendapatan keluarganya kini hanya bergantung kepada suami yang bekerja sebagai buruh kasar, dengan gaji yang tidak menentu.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ana, 30, itu berkata dia mencuba pelbagai cara untuk meminta bantuan bagi meringankan beban kewangan yang menghimpit, namun semuanya menemui jalan buntu.
“Saya malu macam orang minta sedekah. Tapi apa boleh buat?” katanya yang menetap di Penampang, Sabah, ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Ana merupakan salah seorang pengguna yang dilihat meminta bantuan di salah satu kumpulan Facebook yang mendukung kempen kibarkan bendera putih yang tular baru-baru ini di media sosial.
Asalnya, kempen itu itu meminta pihak yang terputus bekalan makanan untuk menaikkan bendera putih di rumah masing-masing sebagai isyarat untuk orang lain - khususnya jiran tetangga - menghulurkan bantuan.
Meskipun tidak jelas bagaimana atau bila kempen itu bermula, ia mendapat perhatian banyak pihak, termasuk perniagaan dan NGO yang menawarkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Namun, nampaknya media sosial bukan sahaja membantu menularkan kempen itu, bahkan sesetengah pihak menjadikannya platform supaya pengguna turut dapat ‘mengibarkan bendera putih’ di alam maya, berbanding di rumah sendiri.
Beberapa kumpulan Facebook diwujudkan untuk tujuan itu, antaranya, kumpulan Bantuan Bendera Putih PKP, Solidariti Rakyat: Bendera Putih, Kempen Rakyat Malaysia Kibarkan Bendera Putih, Kempen Bendera Putih dan lain-lain.
Cerita Ana, gaji suaminya sebagai jurukimpal bukanlah tetap dan perlu bergantung pada tawaran kerja, sedangkan sewa bilik RM350 sebulan masih perlu dibayar, dengan dua anak mereka kini bersekolah di tingkatan 1 dan darjah 4.
Pendapatan mereka, kata Ana, diutamakan untuk membayar sewa sebuah bilik yang didiami mereka sekeluarga, kerana itu sajalah tempat berteduh buat mereka.
“Paling susah, makanan harianlah. Sangat susah.
“Kalau bukan kerana kesempitan begini, saya tak buat macam ini,” kongsi Ana menceritakan kebuntuannya membuatkan dia menebalkan muka meminta bantuan di Facebook.
Antara mesej utama dibawa Kempen Kibarkan Bendera Putih adalah supaya rakyat yang terdesak kerana kehilangan punca pendapatan atau terputus bekalan makanan tidak mengambil tindakan drastik seperti membunuh diri, sebaliknya menaikkan bendera putih sebagai isyarat bahawa mereka memerlukan bantuan.
Gara-gara Covid-19, PKP mula-mula diperkenalkan pada 18 Mac tahun lalu, dan sejak itu mengalami beberapa fasa pelaksanaan. Terbaru, negara di bawah pelaksanaan fasa pertama PKP di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Sepanjang kawalan pergerakan melalui fasa berbeza itu, banyak sektor yang dahulunya ditutup kini dibenarkan dibuka, namun banyak juga sektor yang tidak beroperasi sejak lebih setahun lalu, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka yang terlibat di dalam sektor berkenaan.
‘Semua saya dah jual, sekarang dah papa kedana’
Seorang pengurus acara yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd, 47, sebelum ini banyak menganjurkan acara seperti pesta ria (fun fair) dan ekspo. Namun, katanya, sejak PKP Mac tahun lalu, dia langsung hilang punca pendapatan.
Mohd mengaku dahulunya dia bukanlah tergolong dalam kumpulan pendapatan terendah B40 dan mempunyai pendapatan agak selesa. Namun perintah kawalan pergerakan untuk tempoh sebegitu lama mengubah segala-galanya, sehingga dia akhirnya terpaksa bergolok-gadai.
“Sofa dah jual, almari dah jual. Barang kemas isteri saya semua dah tak ada dah. Sampai telefon saya pun saya pergi gadai, Iphone 8, ada dekat pajak gadai tu.
“Semua yang boleh saya jual, habis dah dijual. Simpanan pun dah habis digunakan.
“Saya nak mengadu dengan siapa lagi? Sekarang saya adalah jauh lebih teruk daripada B40, dah jadi papa kedana. Hilang pendapatan …” katanya dalam nada sugul ketika dihubungi semalam.
Sewa rumahnya di Teluk Intan itu sudah lapan bulan tertunggak. Mohd akhirnya terpaksa meminta bantuan menerusi salah satu kumpulan Facebook yang mendukung kempen bendera putih.
Dalam keadaan kewangan yang sebegitu sempit, katanya, dia masih harus menunaikan tanggungjawab sebagai bapa untuk membayar dua pakej internet berjumlah RM70 sebulan untuk dua anaknya - tingkatan 2 dan darjah 4 - menjalani kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Bukannya dia tidak cuba mencari pekerjaan lain, namun pada musim wabak sedang mengganas ini, katanya, majikan tidak mahu menggaji pekerja baru, bahkan mahu membuang pekerja sedia ada.
Malang bertimpa buat Mohd, apabila dia akhirnya dipanggil temu duga untuk pekerjaan pengawal keselamatan di sebuah syarikat, PKP 3.0 pula dilaksanakan menyebabkan panggilan temu duganya dibatalkan kerana syarikat itu tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.
Katanya, dia sebenarnya lebih suka jika dibenarkan untuk kembali bekerja dan berusaha sendiri mencari pendapatan. Tetapi jika itu tidak mungkin dibenarkan, maka dia harap diberikan bantuan, setidak-tidaknya dapat melunaskan sewa dan makan-minum keluarganya.
Jika itu pun kerajaan tidak mampu berikan, maka dia meminta kerajaan membenarkan pengeluaran semua wang di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) - mengikut kes demi kes - supaya dia dapat melunaskan hutang tertunggak dan dijadikan modal untuk membuka perniagaan kecil-kecilan.
“Kita tak tahu bila kita mati. Hidup sekarang untuk masa depan, tapi kalau tak ada sekarang, tak adalah hari depan,” luahnya.
Masa depannya, kata Mohd, kini kabur.
“Saya dah jadi murung, dah jadi blur, saya dah tak tahu apa lagi saya patut buat. Saya dah runsing.
“Anak-anak pun menangis tiap-tiap hari, dengan isteri dan saya sendiri. Hanya sembahyang, berdoa sahajalah. Bukan saya tak usaha, dah usaha macam-macam. Tapi …” katanya dalam suara yang bergetar.
Semalam, Mohd menerima bantuan daripada individu yang ditemui di salah kumpulan Facebook kibar bendera putih.
Selain menyediakan platform bagi peminta bantuan, kumpulan-kumpulan Facebook itu juga menjadi ruang masyarakat prihatin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang terkesan.
Salah seorangnya, individu yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 31, yang dihubungi 10 orang yang meminta bantuan setelah dia membuat hantaran di salah satu kumpulan berkenaan pagi semalam.
Ini termasuk dua permohonan daripada NGO serta individu yang mengumpul stok untuk mengagihkan bantuan di kawasan masing-masing, termasuk bantuan bakul makanan, susu bayi dan juga lampin bayi.
Meskipun Tan tinggal di Kuala Lumpur, permohonan bantuan diterimanya dari pelbagai negeri - ada dari Kuala Lumpur, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, dan juga Perak.
Bantuan ke negeri lain dia salurkan dalam bentuk transaksi wang tunai.
“Separuh yang meminta bantuan ialah ibu dan bapa tunggal. Lapan (peminta bantuan selain pengagih bantuan), semuanya tidak bekerja - sama ada dibuang kerja, atau hilang tempat bergantung seperti suami meninggal,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kata Tan, sebelum ini dia tidak terlibat aktif dalam misi bantuan sebegitu, namun kempen bendera putih, ditambah dengan laporan kes bunuh diri yang meningkat baru- baru ini menjentik hatinya untuk menabur bakti, meskipun tidak terlibat dengan mana-mana NGO dan harus mengeluarkan wang sendiri.
“Situasi dah terdesak. Krisis tak berubah menjadi bertambah baik. Jadi, dah sampai masa kita mengambil tindakan. Sudah setahun lebih, orang pun dah makin sengsara. Sebagai seorang manusia, kita kena tolonglah sesama kita.
“Dalam masa ini, saya nampak, rakyat perlu tolong rakyat. Jadi saya pun nak tolong,” katanya lagi.
Kempen kibar bendera putih di lapangan
Selain di media sosial, di lapangan pula, nampaknya kempen kibar bendera putih terus mendapat perhatian pelbagai pihak yang menghulurkan bantuan.
Antaranya, 11 buah rumah yang mengibarkan bendera putih di rumah masing-masing kerana keputusan bekalan makanan, akhirnya, menerima bantuan makanan oleh pihak yang prihatin, seperti dikongsikan pengguna Facebook Muhammad Ridzuan Osman DikWan.
Seorang ibu tunggal yang kehabisan beras selama tiga hari, turut dibantu semalam di Pengkalan Chepa, Kelantan.
Antara yang paling tular, kisah Ah Soon sang penjaja yang putus asa kerana tidak dapat berniaga, sehingga terpaksa menanggung hutang yang banyak - sewa gerai, motosikal, rumah, bil api dan air - yang tertunggak berbulan lamanya.
Dikongsikan oleh ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim di Facebooknya, kisah Ah Soon yang menaikkan bendera putih di rumahnya semalam menyentuh hati berpuluh ribu pengguna maya.
Ketika dihubungi semalam, kata Sim, Ah Soon sudah memaklumkan kepada jirannya bahawa dia ingin “pergi”.
“Saya tanya, dia nak pergi ke mana. Dia jawab, nak pergi ke Jambatan Pulau Pinang. Sangat jelas dia sudah putus asa,” kongsi Sim.
Kata Sim, Ah Soon yang hidup sebatang kara dan tidak mempunyai keluarga itu kelihatan begitu putus asa dan patah semangat ketika ditemui semalam.
Hanya setelah diajak berbincang mengenai perniagaan dan menu-menu baru jika diberi peluang berniaga semula, kata Sim, barulah Ah Soon kelihatan bersemangat semula.
Sim membawa Ah Soon membeli bahan-bahan untuk menu barunya, dan Ah Soon sendiri memilih lot gerai baru yang lebih dekat dengan rumahnya, dengan sewanya ditanggung Sim sehingga hujung tahun ini.
Sim juga membantu melunaskan tunggakan sewa rumah, hutang motosikal, dan bil-bil Ah Soon yang tertunggak supaya Ah Soon boleh memulakan hidup baru dan kembali berusaha.
Kata Sim, kempen kibar bendera putih harus diambil serius oleh wakil-wakil rakyat, kerana bagi sesetengah orang, bendera putih itu salah satu cara untuk meminta pertolongan, sama seperti permohonan bantuan menerusi panggilan telefon, WhatsApp atau SMS.
Pada jam 8.15 malam ketika dihubungi semalam, Sim masih di dalam kereta meronda-ronda kawasan Bukit Mertajam.
Lauk itik kicap, sayur goreng daging dan peria goreng daging yang dibungkus dan diberikan Ah Soon kepadanya sebagai tanda terima kasih akan dijamah apabila sampai di rumah nanti.
“Saya nak tengok sekali pandang
dahulu di sekitar, terutamanya kawasan terpencil, di flat-flat, kalau
ada yang kibar bendera putih. Saya harap-harap tak ada,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan