Sabtu, 3 Julai 2021

Cecair vape dari AS dirampas, lepasi tarikh luput, bahayakan kesihatan

Zazuli Johan menunjukkan cecair vape dari AS yang dirampas JKDM./ Gambar JKDM.

DUA buah kontena bermuatan 1,276.24 liter cecair rokok elektronik atau vape dianggarkan bernilai RM2.73 juta dari Amerika Syarikat dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 24 Jun lepas.

Rampasan itu dilakukan JKDM Zon Tengah Unit III (LTA Kuala Lumpur) hasil pemeriksaan sekitar 6 petang di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, pemeriksaan itu mendapati cecair rokok elektronik berkenaan diikrarkan sebagai ‘atomizer devices’ dalam Daftar Masuk.

“Hasil pemeriksaan mendapati, dagangan juga telah melepasi tarikh luput dan berbahaya untuk digunakan. JKDM mengesyaki dan percaya dagangan ini akan dibungkus semula serta dijual di pasaran tempatan.

“Hasil siasatan mendapati kesemua cecair rokok elektronik disyaki mengandungi nikotin. Dagangan ini diimport dari luar negara tanpa lesen import yang sah dan tanpa membayar cukai dan duti ke atasnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zazuli Johan (dua dari kanan) menunjukkan gambar cecair 
vape dari AS yang dirampas JKDM./ Gambar JKDM.

Zazuli berkata cecair rokok eletronik adalah barangan larangan import di bawah Butiran 4, Jadual Kedua, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan, hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM100,000, mana lebih besar dan tidak lebih dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000.00 mana lebih besar, atau dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan: