PETALING JAYA: Lapan belas pekebun durian Musang King yang ditahan dan direman selama dua hari semalam di Raub, Pahang dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, pihaknya hadir di Balai Polis Raub bersama peguam yang akan mewakili 18 pekebun itu yang dibebaskan pada 11 pagi tadi.
“Jelas bahawa tempoh empat hari tahanan yang ditetapkan tidak diperlukan kerana kenyataan telah diambil daripada semua pekebun durian dalam waktu yang singkat, malah mereka selalu bekerjasama dengan pihak berwajib,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramkarpal, yang juga ketua Biro Perundangan Nasional DAP, berkata, pihaknya akan terus membantu pekebun dan juga ADUN Tras, Chow Yu Hui, yang ditahan sebentar di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas.
“Perkara ini sangat penting kerana mata pencarian pekebun dipertaruhkan dan harus dipertahankan,” ujarnya.
Terdahulu, mahkamah membenarkan perintah reman selama dua hari ke atas 18 pekebun durian, termasuk seorang remaja berusia 17 tahun untuk membantu siasatan Jabatan Perhutanan atas tuduhan menceroboh.
Kerajaan negeri Pahang mendakwa pekebun berkenaan meneroka tanah secara haram dan berusaha mengusir mereka. Kerajaan negeri juga telah menyewakan tanah itu kepada sebuah syarikat bagi tujuan penanaman durian.
Semalam, Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek Ronnie Liu; Ahli Parlimen Bentong Wong Teck dan Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dilihat hadir ke Mahkamah Raub bagi menyatakan sokongan kepada 18 pekebun durian yang direman itu.
Penahanan reman ke atas pekebun itu dibuat bagi membolehkan Jabatan Perhutanan Pahang menyiasat dakwaan meneroka Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub untuk menanam durian Musang King.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan