Rabu, 11 November 2020

Tun M setuju potong 10 peratus pencennya untuk bantu golongan hilang pendapatan

Astro Awani
Tun M setuju potong 10 peratus pencennya untuk bantu golongan hilang pendapatan
Dr Mahathir berkata, pemotongan 10 peratus dari gaji wajar dilaksanakan kerana ia dapat mengurangkan jarak antara yang bernasib baik dan yang menghadapi masalah. - Gambar fail/BERNAMA
 
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedia memotong 10 peratus dari pencennya dengan syarat ia digunakan untuk mengurangkan beban mereka yang hilang punca pendapatan.
 
Dr Mahathir mengakui kehidupan beliau tidak terjejas kerana Perintah Kawalan Pergerakan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang terpaksa diamalkan.
 
Jelas beliau, pemotongan 10 peratus dari gaji wajar dilaksanakan kerana ia dapat mengurangkan jarak antara yang bernasib baik dan yang menghadapi masalah.
 
"Tiap kali saya jadi Perdana Menteri usul saya yang pertama ialah memotong gaji saya, gaji Menteri dan Timbalan Menteri dan juga Pegawai Tinggi Kerajaan sebanyak 10 peratus. Tidak pun ada masalah ekonomi yang besar di masa itu.
 
"Sekarang gaji sudah naik berkali ganda dari dahulu. Sementara ramai yang hilang pendapatan sama sekali, mereka yang bergaji dalam Kerajaan tidak mengalami apaapa kekurangan. Dalam syarikat swasta pun tidak ada kekurangan gaji.
 
"Untuk mengurang jarak antara yang bernasib baik dan yang bernasib buruk, pemotongan 10 peratus dari mereka yang terselamat untuk memberi kepada yang tidak selamat memang wajar," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
 
Dr Mahathir juga menegaskan beliau telah menyatakan persetujuan terhadap cadangan pemotongan gaji menteri.

Tiada ulasan: