Rabu, 11 November 2020

LRA Rantau Panjang, SSP 1, 2 dan 3 beroperasi semula - Amirudin

Astro Awani
 
Tambahan 51 beg 'Activated Carbon' bersamaan 1,257kg telah ditambah malam tadi di sekitar tapak kejadian pencemaran. - Foto Twitter Amirudin Shari
 
KUALA LUMPUR: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2, 3 dan LRA Rantau Panjang telah mula beroperasi semula pada awal pagi ini. 

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia susulan bacaan kadar pencemaran di sungai berkenaan telah berada pada kadar 0 TON dan ia dicapai sehanyak tiga kali.
 
“Alhamdulillah dimaklumkan bahawa Loji Rawatan Air SSP 1, 2 dan 3 dan Rantau Panjang telah mula beroperasi pada jam 4 pagi tadi setelah bacaan 0 TON dicapai sebanyak 3 kali.
 
“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat,” katanya ringkas menerusi ciapan di akaun Twitter beliau pagi ini.
 
Sementara itu, Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, bekalan air dijangka mula diterima pengguna pada jam 3 petang ini secara berperingkat.
 
"LRA SSP 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah beroperasi semula pada jam 2.40 pagi ini secara berperingkat setelah bacaan 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut direkodkan. 
 
"Air Selangor sedang berusaha menstabilkan sistem agihan sebelum bekalan air dapat diagihkan kepada pengguna.
 
"Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan.
 
"Bekalan air akan mula diterima oleh pengguna pada jam 3 petang ini secara berperingkat-peringkat mengikut kedudukan kawasan dalam sistem agihan bekalan air," katanya.
 
Semalam, Air Selangor memaklumkan henti tugas di LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor pada pukul 12.45 tengah hari semalam.
 
Ia menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang, merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang semalam. 
 
BACA: Pencemaran di LRA Rantau Panjang, SSP 1,2, dan 3 kini pada tahap 2 TON - Menteri
BACA: Ganjaran RM5,000 untuk pihak yang salurkan maklumat pencemaran Sg Selangor
 
Terdahulu, Amirudin menulis di Twitter beliau, dalam usaha menghilangkan pencemaran, Operasi Pengepaman Air Kolam (Opak) Bestari Jaya sehingga 192 juta liter/hari (JLH) telah diaktifkan bagi tujuan meningkatkan pencairan.
 
Pelepasan air Sungai Tinggi 500 JLH dan Sungai Selangor 300 JLH turut dilakukan bagi tujuan flushing dan mempercepatkan aliran. 
 
Selain itu, tambahan 51 beg ‘Activated Carbon’ bersamaan 1,257kg telah ditambah malam tadi di sekitar tapak kejadian pencemaran.
 
Menurut Amirudin, tindakan bersepadu ini turut disertai pelbagai agensi termasuk, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Jabatan Alam Sekitar, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Indah Water Konsortium.

Tiada ulasan: