Jumaat, 20 November 2020

Tangkapan SPRM naik 23.2% tahun lalu, menurut laporan jenayah .

Laporan Statistik Jenayah Malaysia 2020 menunjukkan lelaki paling ramai ditahan atas 
kesalahan rasuah, iaitu sebanyak 82.9% pada 2019. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Laporan Statistik Jenayah Malaysia 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan jumlah tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meningkat 23.2% pada 2019 berbanding 2018.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin berkata, tangkapan bagi kesalahan memberi rasuah meningkat 79%, diikuti tuntutan palsu sebanyak 35.8%.

“Tangkapan bagi salah guna kedudukan dan lain-lain kesalahan masing-masing menunjukkan penurunan pada kadar 24.7% dan 9.8%,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah yang terbabit dalam jenayah menurun 8.7% daripada 5,294 kes pada 2018 kepada 4,833 kes tahun lalu.

Kanak-kanak lelaki yang terbabit dalam jenayah berkurangan 9.2%, manakala kanak-kanak perempuan kekal sama 290 kes seperti 2018.

Beliau berkata, majoriti jantina terbabit dalam jenayah ialah penagih dadah lelaki (95.7%), lelaki paling ramai ditahan atas kesalahan rasuah (82.9%), kanak-kanak lelaki terbabit dalam jenayah (94%) dan kemasukan banduan lelaki (89.5%).

Katanya, nisbah jenayah indeks setiap 100,000 penduduk negara ini pada 2019 bertambah baik, iaitu 256.6 berbanding 273.5 pada 2018.

Nisbah jenayah indeks bagi semua negeri mencatatkan penurunan, kecuali Pulau Pinang (3.7%), Sarawak (4.2%) dan Terengganu (1.3%).

“Tujuh negeri merekodkan nisbah jenayah indeks di bawah paras nasional pada 2019, iaitu Sarawak (214.6), Perlis (207.5), Perak (195.8), Pahang (195.7), Kelantan (188.2), Terengganu (150.3) dan Sabah (143.5).”

Beliau berkata, jenayah rogol dan mencederakan orang meningkat 5.5% serta 2.9% tahun lalu berbanding 2018, manakala jenayah samun dan bunuh menurun 5.3% dan 4.0% pada tempoh sama.

Jenayah pecah rumah dan mencuri naik 4.8% berbanding kecurian kenderaan turun 14.1%, curi ragut berkurangan 86.2% dan kecurian lain (1.7%).

Uzir berkata, jumlah penagih dadah yang ditahan menurun di Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perlis.

Katanya, tangkapan tertinggi penagih dadah direkodkan di Kedah (3,582 orang), Kelantan (2,998 orang) dan Pulau Pinang (2,893 orang).

Bilangan kemasukan banduan meningkat 17.9% atau 138,044 orang tahun lalu berbanding 117,090 orang tahun sebelumnya.

“Selangor merekodkan bilangan kemasukan banduan sabitan tertinggi, iaitu 40,882 orang, diikuti Sabah (15,695 orang), Johor (14,297 orang) dan Pulau Pinang (10,050 orang).”

Katanya, tangkapan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berkaitan perairan ialah 603 kes di bawah Akta Perikanan 1985, diikuti Akta Imigresen 1959/63 (167 kes), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (132 kes) serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (94 kes).

Tiada ulasan: