Jumaat, 20 November 2020

Lebih 422,000 peminjam PTPTN terus bayar balik pinjaman

Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN memberi manfaat kepada 1.5 juta peminjam 
 dengan jumlah keseluruhan penangguhan bayaran balik pinjaman sebanyak RM1.13 
bilion bermula Mac hingga Dis 2020.

KUALA LUMPUR: Seramai 422,609 peminjam atau 28.17% daripada 1.5 juta keseluruhan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan bayaran balik pinjaman mereka mulai Oktober lepas.

PTPTN dalam kenyataan memaklumkan kutipan bayaran balik yang diterima adalah sebanyak RM103.03 juta, menunjukkan peningkatan sebanyak 173.65% berbanding kutipan pada April berjumlah RM37.65 juta.

“Ini menunjukkan bahawa peminjam PTPTN masih terus berusaha membuat bayaran balik pinjaman mereka walaupun berada dalam keadaan yang sukar akibat pandemik Covid-19.

“Tindakan sebegini seharusnya menjadi ikutan kepada peminjam lain yang berkemampuan dan tidak terjejas,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, atas dasar keprihatinan, kerajaan sebelum ini bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman selama 3 bulan lagi, mulai Oktober hingga Disember depan.

Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN memberi manfaat kepada 1.5 juta peminjam dengan jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik pinjaman sebanyak RM1.13 bilion bermula Mac hingga Dis 2020.

Tiada ulasan: