Jumaat, 20 November 2020

Semua negeri setuju kempen tiada beg plastik

 Oleh AMREE AHMAD

PUTRAJAYA: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bakal melaksanakan kempen tiada beg plastik di premis perniagaan dalam dua fasa sehingga 2025.

Perkara itu diputuskan hasil mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76 semalam yang meluluskan kertas cadangan pelaksanaan kempen berkenaan.

Menurut kenyataan Kementerian Alam Sekitar dan Air, usul tersebut dibentangkan kementerian itu yang diwakili Timbalan Menteri, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad.

“Inisiatif itu bertujuan menangani masalah pencemaran plastik sekali guna dan meningkatkan penghayatan gaya hidup hijau dalam kalangan rakyat,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan menambah, MNKT juga bersetuju meluluskan pelaksanaan caj minimum 20 sen bagi setiap beg plastik diberikan kepada pelanggan di kaunter pembayaran di semua premis seluruh negara.

Ini berpandukan prinsip bagi menghindari penggunaan plastik dan kutipan perlu diserahkan kepada PBT untuk digunakan bagi aktiviti kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

“Fasa pertama mulai Disember ini hingga 2021 di premis kekal iaitu pasar raya hiper dan besar, kedai serbaneka, restoran makanan segera, stesen minyak dan farmasi,” jelasnya.

Sementara fasa kedua meliputi kedai runcit, pasar basah, pasar malam, pasar tani dan sebagainya selari dengan Pelan Hala Tuju Malaysia Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030.

KEmenterian Alam Sekitar dan Air akan bekerjasama dengan semua PBT dalam pelaksanaan kempen termasuk penerangan dan kesedaran kepada masyarakat untuk beralih alternatif mesra alam.

Orang ramai digalakkan untuk membawa beg guna semula semasa membeli-belah dalam usaha melestarikan alam serta bagi membendung pencemaran plastik sekali guna. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: