Jumaat, 20 November 2020

Guna surat tamat tempoh kutip derma

Zuliaty Zulkiffli
 
Lelaki yang ditahan JAIK selepas disyaki mengutip derma di Pekan Jitra menggunakan surat tamat tempoh. Foto Ihsan JAIK

Alor Setar: Lelaki ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam (JAIK) kerana disyaki mengutip tanpa kebenaran di hadapan sebuah bank di Pekan Jitra hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIK Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya menerima aduan awam berhubung kegiatan lelaki berusia 63 tahun itu sebelum melakukan pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang berasal dari Perak dan menetap di Sungai Petani itu dikatakan menggunakan surat kebenaran tamat tempoh ketika memungut derma berkenaan.

"Berdasarkan siasatan, surat kebenaran untuk memungut derma itu hanya dibenarkan sehingga 2018.

"Lelaki berkenaan ditahan pada 3.45 petang tadi untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Radzi berkata, pihaknya turut merampas tabung, bangku, wang tunai RM33, resit kutipan, sijil wakaf dan lesen kutipan derma tamat tempoh.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 69, Enakmen Pentadbiran Undang2 Islam Kedah 2008 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

"Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai supaya meneliti dokumen yang dibawa oleh pengutip derma sebelum menghulurkan sumbangan," katanya.

Tiada ulasan: