Selasa, 10 November 2020

PKPB tamat lebih awal jika lekuk penularan diratakan - Dr Noor Hisham

Gambar hiasan. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Gambar hiasan. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri boleh ditamatkan lebih awal jika negara berjaya meratakan lekuk penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tempoh pelaksanaan PKPB di negeri terbabit sehingga 6 Disember ini, boleh dipendekkan jika lekuk penularan COVID-19 mampu diratakan.

Dr Noor Hisham berkata, sekiranya ia dapat diratakan, tempoh PKPB boleh ditamatkan dalam masa dua minggu sahaja.

Malah, beliau berkata, pihaknya melihat adanya petanda positif apabila kadar jangkitan dilihat semakin menurun termasuk kes di Sabah yang kini menurun kepada 370 kes hari ini.

"Kita mencadangkan PKPB berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan penilaian semula kerana ia cara terbaik untuk menyeimbangkan antara ekonomi dan kesihatan.

"Kalau kita dapat meratakan lekuk, mungkin dalam dua minggu boleh tamatkan PKPB walaupun jangkaan adalah empat minggu.

"Justeru, semua pihak harus patuh terhadap saranan dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk duduk di rumah kerana ia mengurangkan risiko jangkitan," katanya.

Tiada ulasan: