Jumaat, 20 November 2020

PKPB seluruh Kelantan bermula esok

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di seluruh Kelantan susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata, PKPB itu selama 14 hari bermula 21 Nov sehingga 6 Dis.

“Berdasarkan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh KKM mendapati terdapat peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di beberapa daerah dan mukim di negeri ini,” katanya pada sidang media hari ini.

PKPB ini bagi membolehkan KKM melakukan saringan secara bersasar, dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti.

Pergerakan keluar masuk merentas daerah dan negeri tidak dibenarkan kecuali bagi kes-kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran daripada polis.

Kegiatan ekonomi dibenarkan beroperasi di seperti biasa.

“Pekerja yang perlu merentas daerah perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

“Hanya 3 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan. Individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak,” katanya.

Kelantan sebelum ini dikategori negeri hijau bersama, Pahang dan Perlis susulan tiada penularan kes secara mendadak berlaku.

Semalam sahaja 17 kes baharu dilaporkan, dengan daerah Machang menunjukkan peningkatan mendadak, melibatkan Kluster Mengketil yang turut melibatkan Negeri Sembilan.

Tiada ulasan: