Majlis Penempatan Sungai Buloh (MPSB) mengadakan protes secara senyap pagi ini berhubung rancangan menjadikan dewan orang ramai di situ sebagai pusat kuarantin Covid-19.
Ini selepas mereka mendakwa Hospital Sungai Buloh gagal mengambil langkah keselamatan dan pencegahan sebelum menjadikan dewan orang ramai itu sebagai pusat kuarantin.
Menurut majlis itu, hospital berkenaan telah menempatkan 110 katil di dewan itu semalam dan merancang untuk memindahkan 106 pesakit ke situ, hari ini.
Jelasnya, hospital itu tidak memenuhi perjanjian yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak pada 27 Okt lalu.
Perjanjian itu antara lain meminta pihak berkuasa mendirikan pagar kawat berduri dan penghadang untuk memisahkan zon merah dan hijau.
Selain itu, majlis itu juga meminta disiapkan kemudahan keperluan harian dan kawasan dekontaminasi untuk kakitangan perubatan.
Sehubungan itu ahli MPSB berkumpul di depan dewan berkenaan sekitar jam 9 pagi tadi dan mengangkat plakad tertera "janji tidak dipatuhi", "tiada pagar jangan masuk" dan "lindungi kami".
Anggota majlis itu adalah sekumpulan bekas pesakit kusta yang berada di bawah Pusat Kusta Nasional dan berumur 65 tahun ke atas.
Pusat Kusta Nasional dibina pada tahun 1930 dan digunakan hingga tahun 1995. Pada asalnya dirancang sebagai penempatan untuk memisahkan pesakit kusta dari penduduk. Ia kemudian dikenali sebagai Lembah Harapan.
Aktivis sebelum ini mendesak agar bangunan tersebut dipelihara dan diiktiraf sebagai warisan negara.
Presiden MPSB Tan Hing, berkata terdapat kira-kira 120 penduduk yang tinggal di penempatan tersebut dan mereka bimbangkan keselamatan kerana hospital berkenaan tidak mematuhi perjanjian sebelum ini.
"Virus itu berbahaya. Sekiranya pusat kuarantin tidak mempunyai pagar, bagaimana jika pesakit melarikan diri?
"Dan belum ada kemudahan disediakan, dewan inni belum bersedia untuk tempatkan pesakit," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan