KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Mawi tidak kisah jika ada yang menganggapnya suka memilih 'kroni' yang sudah biasa bekerja dengannya.
Baginya, ia bukan masalah besar saat menceburi dunia penerbitan dan pengarahan, sejak beberapa tahun lalu.
Prinsip sama turut dilakukan ketika menerbitkan projek drama terbaru, Sabili: Ali yang sudah siap episod pengenalan untuk disiarkan di Nurflix.TV pada 6 November ini.
Menerusi produksi miliknya, Mawi World Entertainment, penyanyi lagu Aduh Saleha itu masih menggunakan khidmat beberapa pelakon sama yang sering bekerja dengannya.
"Saya mahukan keselesaan dan keseronokan ketika bekerja sebagai seorang pengarah serta penerbit. Jika kita sudah kenal perangai seseorang, tak kira pelakon atau kru balik tabir, ia lebih memudahkan. Ini termasuklah pengurus produksi, pengarah fotografi, jurusolek, penjaga wadrobe dan sebagainya.
"Ada yang anggap saya pilih bulu atau kroni. Hakikatnya, saya tak nak timbul masalah bukan sahaja isu disiplin, ia termasuklah perkara lain perlu dielak awal lagi.
"Pengalaman menerbit 10 karya termasuk drama dan filem Tiada Tajuk membuka ruang untuk saya menapis mereka saya lihat berdedikasi dan tak mendatangkan masalah," katanya kepada BH Online.
Dalam masa sama, pelakon filem Munafik 2 itu mengakui, dia teruja menanti kehadiran episod pengenalan drama berkenaan.
"Penggambaran episod pengenalan dilakukan selama seminggu pada awal Ogos lalu di Kuala Lumpur dan Melaka. Persiapan pos dan pra-produksi pula hampir sebulan.
"Drama ini lebih kepada genre kerohanian dan keagamaan. Ia dibintangi Johan As'ari, Along Cham, Amerul Affendi dan ramai lagi. Selain mengarah, saya turut membintangi drama ini.
"Episod pengenalan ini sempat dipertontonkan kepada penasihat Nurflix.TV, Habib Zaenal Abidin Al Hamid, baru-baru ini. Idea cetusan idea saya bersama Rahman dan KN. Saya sedang menanti lampu hijau daripada stesen TV berkenaan untuk menyambung penggambaran 13 episod seterusnya," katanya.
Mengulas mengenai drama itu, Mawi berkata, ia berkisar seorang ketua kongsi gelap lakonan Johan As'ari yang jauh tersasar daripada ajaran agama Islam.
"Secara kebetulan, di depan kelab malam ada masjid. Malah, jemaah tabligh turut berkumpul di masjid ini. Misi mereka mahu berdakwah termasuk menyedarkan pemilik kelab malam.
"Dalam drama ini, saya cuba mengangkat persoalan hidayah itu milik Allah dan ia boleh diberikan kepada sesiapa sahaja. Ada kala, orang yang kita nampak baik, tetapi Tuhan boleh membolak-balik hati mereka.
"Jadi, kita sebagai manusia jangan cepat menghakimi seseorang dengan label jahat dan sebaliknya," kata Mawi yang melakonkan watak ketua jemaah tabligh bernama Tad.
Dalam perkembangan lain, Mawi turut membolosi pencalonan kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33.
Malah, filem sulung arahannya, Tiada Tajuk turut menembusi kategori Gandingan Serasi Filem Popular membabitkan Along Cham, Joey Daud dan Hazama
"Alhamdulillah, terima kasih atas pencalonan ini. Saya tak meletakkan harapan kerana bersaing dengan filem dan nama hebat.
"Saya doakan semoga ABPBH 33 akan dipermudahkan segala urusan menjelang malam kemuncak pada 13 November ini yang diadakan dengan norma baharu," katanya yang kini bergelar penyampai radio, Zayan FM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan