Rabu, 4 November 2020

Suspek kes MH17 terhempas 'tidak nampak peluru berpandu'

BH ONLINE
Gambar fail menunjukkan serpihan pesawat MH17. - Foto hiasan
Gambar fail menunjukkan serpihan pesawat MH17. - Foto hiasan

THE HAGUE: Suspek warga Russia dalam kes MH17 terhempas mendakwa tidak nampak tanda-tanda peluru berpandu yang digunakan bagi menembak jatuh pesawat itu, dalam keterangan menerusi sidang video pada perbicaraan semalam.

Oleg Pulatov adalah salah seorang daripada empat suspek yang dibicarakan tanpa hadir oleh mahkamah di Belanda berhubung kes pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Penyiasat berkata peluru berpandu BUK era Soviet dilancarkan pemberontak pro Russia untuk menembak pesawat itu, menyebabkannya terhempas mengorbankan semua 298 penumpang dan kru termasuk 196 warga Belanda.

Pulatov, satu-satunya suspek yang diwakili peguam, mendakwa tidak melihat peluru berpandu BUK dan yakin tiada peluru berpandu jenis itu.

"Tiada BUK atau arahan berkaitan pelancaran BUK dikeluarkan ketika perjumpaan dengan pemberontak lain pada hari berkenaan.

"Saya hanya tahu mengenai tragedi itu apabila askar memberitahu ada pesawat terhempas dekat Donetsk.

"Askar turut memberitahu mereka memintas banyak panggilan, dengan ada yang berkata kawasan persekitaran nahas 'dihujani mayat'", katanya dalam rakaman video di mahkamah berhampiran lapangan terbang Schiphol, dari mana pesawat malang itu berlepas.

Empat suspek termasuk warga Russia Pulatov, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko, dituduh sebagai dalang utama serangan itu dan juga pemimpin utama kumpulan pemberontak berperang di Kiev.

Pulatov adalah bekas anggota pasukan khas tentera Russia dan salah seorang timbalan Dubinsky yang didakwa membantu mengangkut peluru berpandu itu ke Ukraine dari markasnya di Russia.

Penyiasat masih cuba menjejaki anggota yang mengendalikan peluru berpandu BUK itu, yang pada asalnya dimiliki Briged Peluru Berpandu Anti Pesawat Ke-53 Tentera Russia yang berpangkalan di Kursk.

Perbicaraan yang bermula Mac lalu itu masih mendengar kes pihak pembelaan berkaitan bukti yang dikemukakan. - AFP

Tiada ulasan: