Sabtu, 14 November 2020

Lima ditahan buat ancaman, provokasi terhadap anggota JPJ

Oleh MOHD RAFIE AZIMI

JITRA: Polis menahan lima individu termasuk seorang perempuan kerana disyaki melakukan ancaman jenayah dan provokasi terhadap anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bandar ini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu berlaku selepas sepasukan penguat kuasa JPJ menahan sebuah van untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim berkata, van tersebut diminta untuk berhenti tetapi pemandunya enggan mematuhi arahan berkenaan sebelum diekori kenderaan JPJ.

“Van berkenaan kemudian telah berhenti di hadapan sebuah premis perniagaan berhampiran sebuah pasar raya.

“Pemeriksaan mendapati van itu dipandu oleh seorang lelaki dan terdapat tiga penumpang iaitu dua lelaki serta seorang wanita berusia antara 20 hingga 45 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pemandu van didapati melakukan kesalahan tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans selain pemeriksaan Puspakom tamat tempoh.

Menurut Mohd. Ismail, salah seorang penumpang van kemudian bertindak melakukan ancaman jenayah dan provokasi ketika anggota JPJ mahu mengeluarkan saman.

“Penumpang itu menolak salah seorang anggota bertugas, melontarkan kata-kata dan perbuatan menunjukkan sejumlah wang yang mengaibkan kredibiliti penjawat awam,” ujarnya.

Katanya, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an tiba-tiba keluar dari sebuah premis berhampiran dengan sebilah parang dan mengeluarkan kata-kata ugutan yang mengancam nyawa.

“Lelaki terbabit turut menikam tayar hadapan sebelah kiri kenderaan pasukan JPJ menggunakan parang hingga pecah.

“Tiada sebarang kecederaan yang berlaku ke atas anggota JPJ terlibat,” ujarnya.

Tambahnya, susulan laporan polis dibuat JPJ, pihaknya menahan lima suspek yang disyaki terlibat dalam kes tersebut.

“Kesemua mereka direman selama tiga hari mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 506, 353, 427, 509 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: