Isnin, 9 November 2020

Kumpulan wanita gesa lebih banyak dana bendung jenayah seksual, buli

 
Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah berkata, lebih banyak dana diperlukan daripada 
Belanjawan 2021 untuk meningkatkan perkhidmatan Pusat Khidmat Krisis Sehenti di 
hospital awam.

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan wanita Sabah menggesa lebih banyak dana diperuntukkan bagi mengambil dan melatih lebih ramai anggota polis untuk unit jenayah seksual.

Presiden Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (Sawo), Winnie Yee menyambut baik peruntukan sebanyak RM21 juta untuk pusat sokongan sosial setempat, tetapi berkata dana itu tidak banyak membantu jika agensi negeri tidak diberikan sokongan sama.

Beliau berkata, pusat berkenaan hanya dapat menawarkan perkhidmatan terhad, melainkan mereka bekerjasama dengan barisan depan seperti doktor dan polis.

“Kaunseling dan sokongan sosial hanya dapat melakukan sebanyak ini. Pada akhirnya, wanita dan kanak-kanak yang berdepan keganasan rumah tangga memerlukan tempat tinggal atau dirawat di hospital. Untuk mengambil tindakan undang-undang, kamu memerlukan bantuan pihak berkuasa terlatih,” katanya kepada FMT.

Yee berkata, lebih banyak dana diperlukan untuk mengambil dan melatih lebih ramai anggota jenayah seksual D11 dan meningkatkan perkhidmatan Pusat Khidmat Krisis Sehenti di hospital awam.

Beliau menyambut baik peruntukan RM3 bilion untuk memastikan sambungan internet bagi kumpulan B40.

“Ia berita baik untuk mempunyai belanjawan cukup besar bagi sambungan lebih baik, tetapi tiada gunanya menyediakan kredit kepada penduduk luar bandar di Sabah apabila mereka tidak dapat akses internet.”

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta agensi lain mesti memikirkan cara menghubungkan menara komunikasi dengan kampung itu.

Nisha Sabanayagam, pengurus program dan operasi Persatuan Tindakan Semua Wanita (Awam), berkata dana sepatutnya diperuntukkan bagi membendung keganasan siber berdasarkan jantina, terutamanya gangguan seksual dalam talian.

Beliau berharap sebahagian daripada peruntukan RM27 juta bagi keselamatan siber boleh menyelesaikan isu itu kerana Awam melihat peningkatan berterusan kes gangguan seksual dalam talian sejak 2018.

“Dalam kebanyakan kes, ia mengambil masa lama bagi SKMM mengambil tindakan dan menurunkan gambar atau video kerana kekurangan petugas dan kapasiti. Kami berharap dengan dana ini, sesuatu dapat dilakukan untuk mengambil lebih banyak tenaga kerja dan melatih anggota menangani keadaan sebegini.”

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita, Sumitra Visvanathan berkata, tidak dibangkitkan insentif Women@Work untuk wanita yang kembali bekerja, yang diumumkan dalam Belanjawan 2020.

Dengan kadar pengangguran wanita meningkat sebanyak 5.5% susulan pandemik Covid-19, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan keperluan wanita yang meninggalkan pekerjaan dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional.

“Ini peluang yang dibazirkan kerana pandemik ini memaksa lebih ramai wanita meninggalkan pekerjaan untuk menjaga tanggungan mereka. Jika tidak ditangani, kumpulan wanita ini lebih sukar memasuki pekerjaan sepenuh masa semula atau perlu menerima status bayaran berkurangan.”

Tiada ulasan: